Barcelona Mungkin Tukar Nama Nou Camp Kepada ‘Stadium Leo Messi’

Nou Camp Barcelona Lionel Messi

Apa pendapat anda sekiranya Barcelona menukar nama stadium ikonik Nou Camp  kepada ‘Stadium Leo Messi’ sebagai tanda penghargaan kepada legenda kelab tersebut?

Calon Presiden Barcelona, Emili Rousard berkata beliau berjanji perkara berkenaan akan menjadi salah satu komitmennya sekiranya memenangi jawatan tersebut yang akan dipertandingkan pada Januari ini.

Status Messi selaku pemain terbaik Barcelona sepanjang zaman tidak perlu dipertikaikan lagi selepas merekodkan 640 gol setakat ini dan mengumpul 10 kejuaraan La Liga, enam Copa del Rey serta empat Liga Juara-Juara Eropah.

Kapten Argentina itu juga merupakan pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or.

“Kami akan jalankan satu referendum untuk menukar nama stadium kepada ‘Nou Camp – Leo Messi’,” ujar Rousard dalam satu temubual bersama Marca.

Perkara tersebut juga pernah disuarakan oleh pemain senior, Gerrard Pique yang menganggap ianya sebagai cara untuk menghargai jasa Messi yang sudah 20 tahun menabur bakti bersama kelab tersebut.

Bukan itu sahaja, bekas Naib Presiden Barcelona itu juga berjanji akan berusaha untuk membawa masuk dua pemain berkelas dunia ke kelab tersebut termasuk menandatangani semula Neymar dari Paris Saint-Germain.

Ianya menjadi perkara biasa buat mana-mana calon presiden kelab Catalan tersebut untuk menabur janji-janji manis membawa masuk pemain-pemain hebat.

Bagaimanapun, seorang lagi calon presiden, Victor Font pada minggu lepas telah mengingatkan bahawa kantung kewangan Barcelona kini berada dalam keadaan kritikal dan mengingatkan tindakan membawa masuk pemain baharu bukan langkah yang baik.

Font dalam manifestonya memberi keutamaan dalam menyelamatkan kelab dari ambang bankrupsi kerana kini sedang menanggung hutang yang tinggi.

“Situasi kelab tidak pernah dalam keadaan [seteruk] begini, dengan krisis pandemik telah menjadikan keadaan semakin kritikal. Maka adalah lebih penting untuk fokus kepada projek memulihkan kewangan pasukan,” kata Font.

“Jadi sesiapa yang berjanji mahu menandatangani nama-nama besar seperti [Kylian] Mbappe dan Neymar boleh lupakan hasrat tersebut.”

Tambah Font lagi, permintaan pengurus baharu Barca, Ronald Koeman untuk mendapatkan pemain pertahanan Manchester City, Eric Garcia dan bintang Lyon, Memphis Depay juga tidak mampu dipenuhi oleh pihak kelab buat masa, sekarang.

Malah pemain-pemain kelab tersebut juga telah diminta bersetuju untuk pemotongan gaji, jadi mana mungkin mereka mampu untuk mendapatkan pemain baharu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Barcelona dan Lionel Messi:

Tewas Kepada Atletico Madrid, Projek ‘Barcelona Baharu’ Koeman Dipersoal

City Sudah Ada Perancangan Untuk Lionel Messi, Mahu Ikat Kontrak 10 Tahun

Calon Presiden Baharu Mahu Satukan Kembali Messi & Guardiola Di Barcelona

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply