Barcelona Makin Hancur Tanpa Messi, Nasib Koeman Ibarat Telur Di Hujung Tanduk

Ronald Koeman Barcelona

Prestasi buruk Barcelona di bawah Ronald Koeman musim ini nampaknya masih belum ada tanda-tanda bakal berakhir. Terbaharu kelab Catalan itu sekadar terikat tanpa jaringan bertemu kelab ‘kerdil’ Cadiz.

Walaupun pengurus warga Belanda itu optimis dengan pembinaan Barcelona ‘era baharu’ tanpa pemain bintang Lionel Messi, tetapi apa yang sedang berlaku adalah sebaliknya.

Walaupun berjaya mendominasi penguasaan bola, tetapi semangat luar biasa Cadiz memaksa Barcelona bermain di bawah tekanan sehingga Koeman diarahkan meninggalkan bangku pemain simpanan kerana menerima layangan kad merah.

Sudah tiga perlawanan Barcelona buntu mencari kemenangan dalam semua pertandingan. Lebih memburukkan keadaan, pemain tengah Frenkie de Jong turut dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-65.

Ia sekaligus membuatkan Koeman berang dan mengkritik pegawai perlawanan secara terbuka.

“Saya dibuang kerana memberitahu pengadil kerana ada satu lagi bola di atas padang dan permainan perlu dihentikan. Di negara ini, mereka suruh kamu keluar tanpa sebab!” ujar Koeman.

Jurulatih berusia 58 tahun itu diberikan kad merah kerana membantah keputusan pengadil yang melayangkan kad kuning kepada Sergio Busquets kerana didakwa menendang bola selepas wisel dibunyikan.

Sedangkan pada waktu itu terdapat dua biji bola di atas padang pada masa yang sama dan pemain tengah Sepanyol tersebut menyepak bola kepada pemain Cadiz yang sudah pun memegang bola lain.

Keputusan seri itu ternyata menambah tekanan ke atas Koeman yang sudah pun diberi amaran. Malah ketika sidang media sebelum aksi bertemu Cadiz, beliau enggan menjawab soalan wartawan, sebaliknya hanya membaca teks yang telah ditulis lebih awal.

Presiden kelab, Juan Laporta menegaskan tindakan drastik akan diambil sekiranya beliau gagar menghadirkan keputusan positif walaupun Koeman telah merayu kepada pihak pengurusan dan penyokong agar diberikan lebih banyak masa bagi memperbaiki keadaan.

Pemergian Messi dan penjualan Griezmann tidak seharusnya menjadi alasan untuk Barcelona terus mencatat keputusan buruk.

“Kita boleh lihat pasukan ini tidak menjadi seperti yang diharapkan. Disebabkan itu, kita perlu fikirkan sesuatu demi kebaikan Barcelona. Jika keputusan [memecat Koeman] perlu diambil, kami akan melakukannya,” kata Laporta.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply