Barcelona Gagal Lunas Hutang RM558 Juta Kepada Tiga Kelab Termasuk Liverpool

Barcelona dilaporkan gagal melunaskan hutang sebanyak €115 juta (RM558 Juta) kepada tiga kelab membabitkan ansuran pembayaran perpindahan empat pemain, walaupun kelab itu telah berjaya mengurangkan beban hutang keseluruhan yang ditanggung sebanyak 28.4% baru-baru ini.

Joan Laporta dan Pengarah Pengurusan Barcelona, Fran Reverter dijadualkan akan membentangkan laporan audit terkini kelab kepada media pada Rabu ini.

Hutang bayaran ansuran pemain kepada beberapa kelab adalah antara butiran dan maklumat yang telah bocor menjelang pembentangan tersebut.

Menurut portal 2Playbook, hutang berjumlah RM558 juta oleh Barcelona itu adalah kerana kegagalan melunaskan sejumlah €39 juta kepada Juventus untuk perpindahan Miralem Pjanic, €32 juta kepada untuk pembelian Frenkie de Jong, dan €16 lagi untuk Sergino Dest – kedua-duanya perlu sepatutnya dibayar kepada Ajax.

Malah kelab Catalan itu turut masih berhutang kepada Liverpool sebanyak €13 juta untuk pembelian Philippe Coutinho yang dilakukan pada 2018.

Pembayaran secara ansuran selama beberapa tahun untuk pembelian pemain adalah kaedah normal dan sering dipraktikkan oleh kelab-kelab di Eropah.

Namun krisis kewangan yang melanda menyebabkan gergasi Catalan itu menanggung kerugian yang tinggi. Salah urus kewangan dan pentadbiran adalah punca utama kepada perkara krisis tesebut, dan keadaan itu tidak dibantu dengan situasi pandemik yang melanda dunia.

Secara keseluruhan untuk musim 2020/21 sahaja, Barcelona telah merekodkan hutang sebanyak €481 juta.

Baru-baru ini situasi kewangan di Barcelona terus menjadi perhatian apabila La Liga mengumumkan jumlah gaji siling pasukan-pasukan yang bertanding di divisyen teratas bola sepak Sepanyol.

Lelab dari Catalan itu hanya dibenarkan untuk berbelanja dengan had perbelanjaan sebanyak £85 juta sahaja. Jumlah tersebut meletakkan Barcelona di kedudukan ketujuh dari kalangan 20 pasukan yang bertanding pada musim ini.

Langkah oleh La Liga itu adalah sebahagian daripada peraturan polisi kawalan ekonomi (ECP) yang diterapkan oleh La Liga untuk membendung kelab-kelab di Sepanyol berbelanja melebihi kemampuan masing-masing.

Polisi tersebut sebelum ini sudah pun memberikan kesan kepada Barcelona apabila gagal menyambung kontrak pemain bintang, Lionel Messi.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply