Baqiuddin Gembira Diberi Kepercayaan Jadi Watak Utama Sri Pahang

Baqiuddin Sri Pahang

Pemain sayap Sri Pahang FC, Muhd Baqiuddin Shamsudin menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Dollah Salleh untuk terus membarisi skuad utama dalam misi memperbaiki kedudukan bagi saingan Liga Super musim ini.

Daripada 16 perlawanan yang telah berlangsung, hanya dua perlawanan sahaja Baqiuddin diturunkan selaku pemain gantian dan ini membuktikan bahawa kehadirannya benar-benar ditagih untuk terus membantu pasukan apatah lagi selepas kemasukan empat pemain import baharu sebelum ini.

Setakat ini, pemain berusia 27 tahun ini telah menjaringkan dua gol dan bertekad untuk sekurang-kurangnya meledak tiga hingga lima jaringan lagi pada baki perlawanan Liga Super melebihi apa yang telah dilakukan ketika bersama UKM FC pada musim lepas dengan meraih tiga gol secara keseluruhan.

Kali terakhir dia menjaringkan gol adalah ketika menentang Sabah FC pada minggu lalu yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.

“Saya gembira apabila dapat bermain dengan Pahang dan saya juga tidak sangka sentiasa diberi kepercayaan untuk terus beraksi.

“Setiap kali jurulatih letak saya dalam kesebelasan utama, memang misi saya untuk buat yang lebih baik bantu pasukan.

“Kalau ikutkan daripada segi minit permainan, saya memang sudah berpuas hati dan sekarang kalau boleh daripada segi jaringan, harapnya dapat kumpul dalam lima gol lagi.

“Sekarang ini, kita ada pemain-pemain import baharu dan saya akui gandingan kami semua di atas padang lebih baik daripada sebelum ini yang menyaksikan pasukan agak bergelut untuk meraih kemenangan,” jelasnya.

Menjelang perlawanan akan datang, Baqiuddin mengakui mereka sepatutnya lebih aggresif untuk melakukan asakan dan tidak sekadar banyak bertahan sepertimana yang telah dilakukan ketika aksi menentang PJ City FC, Ahad lalu.

Ini kerana, misi utama adalah untuk cuba meletakkan pasukan di kedudukan lima terbaik selain layak ke Piala Malaysia, dan aksi yang ditampilkan setakat ini masih belum cukup untuk mereka terus mengejar mata.

Apatah lagi aksi yang akan datang dijangka lebih sukar apabila bakal berdepan Terengganu FC pada Sabtu depan dan Kedah Darul Aman FC yang masih lagi ditunda sehingga diputuskan dalam masa terdekat.

“Saya setuju dengan apa yang pernah dikatakan oleh jurulatih apabila ketika lawan PJ City, kami lebih berhati-hati di separuh masa kedua kerana tidak mahu bolos seterusnya seri atau kalah.

“Kami memang inginkan kemenangan, dan kami perlu lebih aggresif untuk terus mengumpul mata dan tidak boleh lagi tercicir dalam aksi-aksi akan datang.

“Saya rasa tidak mustahil pun untuk kita terus mengejar sehingga ke tangga kelima kerana jurang mata juga tidak terlalu jauh, yang penting perlu elak untuk tewas”, tambahnya.

Sri Pahang FC masih belum selamat apabila berada di tangga kesembilan liga setakat ini selepas 16 perlawanan. – MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN