Bangkok United vs. JDT: Harimau Selatan Mara Ke Play Off Terakhir ACL 2017!

Bangkok United vs. JDT berakhir dengan keputusan 1-1, namun JDT menang selepas aksi cemerlang Farizal Marlias dalam penentuan sepakan penalti.

Laporan perlawanan

JDT memulakan perlawanan ini dengan lebih berhati-hati. Pemain mereka lebih banyak bertahan pada awal perlawanan.

Pada minit ke-2, Farizal Marlias melakukan aksi menyelamat kelas dunia untuk menafikan dari dibolosi oleh Pokklaw dari jarak dekat. Satu refleks yang kuat oleh bekas penjaga gol no.1 Malaysia itu.

JDT bergelut untuk mencari rentak dalam awal aksi. Akhirnya, JDT semakin yakin selepas 15 minit perlawanan. Mereka mengacam pintu gol Bangkok United pada minit ke-21 menerusi cubaan deras Azamuddin Akil namun sedikit tersasar.

Berselang hanya seminit, Fadhli Shas melakukan tandukan hasil daripada sepakan penjuru Safiq Rahim. Hampir-hampir mereka mencipta gol yang mirip ketika menentang Felda tempoh hari.

JDT berjaya melakukan ancaman dan lebih baik dengan bola pada fasa 20 minit.

Giliran Bangkok United pula bergelut untuk mencari rentak. Bangkok United cuma kembali mendapat rentak mereka kembali selepas minit ke-27.

Namun JDT masih berupaya meneutralkan ancaman mereka. Selepas minit ke-30 perlawanan agak hambar. Kedua-dua pasukan bergelut di bahagian tengah.

Minit ke-37, Farizal Marlias melakukan aksi menyelamat penting sekali lagi, menafikan cubaan jarak dekat oleh Boskovic.

Sebelum rehat Azamuddin sekali lagi menjadi ancaman utama Bangkok United dengan satu cubaan lob yang sudah menewaskan penjaga gol Bangkok United namun bola hanya sedikit tinggi.

Minit ke-44 Farizal menepis sepakan percuma lawan. Perlawanan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Pada minit ke-54 Brian Ferreira mencuba dari luar kotak penalti dan ia sedikit tersasar. Itu sumbangan terakhir beliau sebelum dikeluarkan.

30 minit terakhir perlawanan, Bangkok United menguasai sebahagian besar perlawanan. Namun banyak hantaran lemah daripada mereka. JDT pula lebih selesa bertahan lebih ke bawah dan cuba mencipta gol menerusi ancaman bola mati.

Perlawanan 90 minit berakhir dengan kedua-dua pasukan buntu. Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Pada minit ke 101, Jaycee John mensia-siakan tandukan bebas di hadapan pintu gol JDT.

Jeronimo Baralles dimasukkan pada minit ke-102 menggantikan Cabrera. Tidak sampai seminit id padang, Silence Assassin melakukan kekasaran kepada pihak lawan.

Bangkok United menggandakan usaha untuk mendapatkan gol menerusi hantaran lintang.

Namun gol yang dicari-cari dalam perlawanan ini muncul menerusi tandukan bebas Safiq Rahim yang menerima bola cantik daripada Jeronimo Baralles. Kredit juga kepada Azamuddin Akil yang menghantar kepada Baralles.

Namun pencipta gol itu, Baralles dibuang padang pada minit ke-110 dengan kad merah (straight red) selepas menyiku Boskovic.

Tidak lama selepas itu, Jaycee John melakukan tandukan lemah sekali lagi di hadapan gol. Bangkok United mulai panik mencari gol berhadapan dengan 10 orang pemain JDT.

Seminit sebelum perlawanan berakhir, Bangkok United hampir menyamakan kedudukan selepas pergelutan ketika JDT mengeluarkan sepakan penjuru.

Namun Bangkok United menyamakan kedudukan pada masa kecederaan selepas 120 minit menerusi Jaycee John.

Kedudukan seri bermakna, perlawanan berlarutan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan penalti, sepakan kedua Marcos Antonio liar. Namun Farizal cemerlang menafikan Boskovic sekali lagi.

Farizal Marlias menjadi hero sebenar JDT pada perlawanan ini apbila menyelamatkan cubaan penalti yang membolehkan JDT menang 4-5 dalam penentuan sepakan penalti.

Ia sekaligus meneruskan cabaran JDT dalam usaha untuk mara ke peringkat kumpulan ACL 2017. Lawan mereka yang seterusnya adalah Gamba Osaka.

Tahniah JDT!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN