Bangkitlah Harimau Malaya Dari Lena, Contohi Ngauman Singa Mesopotamia!

Harimau Malaya Malaysia Iraq

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan misi untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan aksi bertemu Vietnam yang kini merupakan pendahulu kumpulan G.

Di atas kertas, harapan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk layak dari kumpulan ini kelihatan agak sukar untuk direalisasikan, dengan Malaysia perlu menang dalam kesemua baki dua perlawanan terakhir.

Berdasarkan prestasi dan kedudukan semasa, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam jelas merupakan dua pasukan pilihan untuk menduduki dua tempat teratas.

Rata-rata peminat bolasepak negara kini sudahpun pasrah dan tidak lagi menaruh apa-apa harapan terhadap skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini. Apalagi dengan prestasi mereka ketika dibenam UAE 0-4 minggu lalu.

Skuad ini tampak tiada sefahaman, clueless dan tumpul walaupun separuh darinya dibarisi oleh pemain naturalisasi. Kehadiran mereka ini tampak sedikit pun tidak menghadirkan rasa gerun terhadap pihak lawan.

Akan tetapi perlu diingat, bolasepak adalah permainan berpasukan. Di dalam bolasepak, tidak ada yang mustahil. Sudah banyak cerita upset yang dicipta oleh pasukan-pasukan ‘kecil’ di seluruh dunia.

Sudah banyak kita mendengar pasukan-pasukan underdog memberikan kejutan. Sudah banyak kisah-kisah David Vs Goliath dipamerkan oleh pasukan-pasukan yang dianggap kerdil ini. Greece pada Euro 2004, Jerman Barat pada Piala Dunia 1954, Leicester City pada musim 2015/16 dan banyak lagi.

Tetapi tahukah anda, ada satu kisah ‘kejutan’ yang pada perkiraan saya merupakan kisah paling hebat dan mustahil pernah dilakukan. Ianya adalah kisah skuad Iraq di kejohanan Piala Asia 2007, sebuah kisah yang patut diteladani oleh pemain-pemain skuad Malaysia ketika ini.

Kisah mereka punya segalanya. Peperangan, pemain yang melarikan diri, ugutan bunuh, jurulatih berenigma yang masuk di saat akhir dan gol-gol dari seorang penyerang prolifik yang berjaya menyatukan seluruh rakyat Iraq buat seketika.

Kejayaan Iraq pada 2007 bukanlah sesuatu yang ‘segera’. Di era 80an, Iraq merupakan kuasa besar bolasepak di rantau Asia Barat. Malah, mereka layak ke Piala Dunia 1986.

Akan tetapi, bolasepak Iraq pada 80an dan 90an dikawal oleh seorang figura; Uday, anak lelaki kepada diktator Saddam Hussein. Beliau dikenali sebagai seorang yang dahaga akan darah dan sukakan kekerasan.

Walaupun Uday merupakan anak sulung kepada Saddam Hussein, hubungan yang kurang baik antara keduanya menyebabkan peluang beliau untuk menerahui Iraq agak tipis. Jadi beliau mencipta empayarnya sendiri melalui sukan; sebagai Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq.

Dalam bolasepak, Uday bukanlah nama baru. Beliau mengasaskan kelab Al-Rasheed, dan menggunakan pengaruhnya dengan memaksa pemain-pemain terbaik menyertai mereka atau berhadapan ancaman penjara.

Dengan taktik kotor ini, Al-Rasheed berjaya mendominasi liga tempatan Iraq. Di sinilah beliau mula menyeksa dengan memukul dan mencukur kepala pemain-pemain yang tidak beraksi dengan baik.

Akibat dari Perang Iran-Iraq dan Perang Teluk 1990an yang meragut berjuta-juta jiwa, ramai pemain yang turut terkesan dan menyebabkan persembahan mereka di atas padang juga merosot. Jawapan Uday kepada persembahan buruk? Lebih kekerasan.

Bekas pemain Iraq pada era tersebut pernah mendedahkan, Uday memaksa mereka menendang bola yang diperbuat dari konkrit akibat kegagalan mereka layak ke Piala Dunia 1994, dan tiga pemain utama yang dijadikan kambing hitam oleh Uday, dikurung dan diseksa di bilik tahanan bawah tanah di ibu pejabat Majlis Olimpik Iraq akibat tersingkir di peringkat kumpulan di kejohanan Piala Asia 2000.

Diseksa, dipenjara dan dicampak ke dalam tangki najis, memilih menjadi pemain bolasepak di Iraq merupakan pilihan berani mati.

Ketika Perang Teluk Kedua, Uday akhirnya terbunuh ketika kejadian tembak menembak dengan tentera Amerika Syarikat. Pasukan pengaman kemudiannya menjumpai bilik tahanan bawah tanah di ibu pejabat Majlis Olimpik Iraq yang  didakwa menjadi tempat Uday menyeksa atlit.

Antara alat seksaan yang ditemui adalah kotak berisi paku tajam, katil besi yang bersambung dengan bekalan arus elektrik, dan alatan purba yang digunakan untuk merobek dubur mangsa.

Selepas Uday, timbul pula masalah lain. Keganasan antara Syiah, Sunni dan Kurdish pula kini meletus. Iraq walaubagaimanapun berjaya menghantar pasukan ke Olimpik Greece 2004 walaupun jurulatih, Bernd Stange menarik diri pada saat akhir.

Stange menjelaskan pemandunya dibunuh, menyebabkan beliau berhenti akibat ketakutan. Walaupun begitu, generasi baru pemain-pemain yang dibimbingnya ketika aksi kelayakan memberikan aksi cemerlang pada Olimpik 2004.

Antaranya termasuklah Hawar Mullah Muhammad, pemain tengah menyerang berbangsa Kurdish dan Nashat Akram, enjin di bahagian tengah pasukan dan seorang penyerang muda, Younes Mahmoud yang menjaringkan gol sewaktu menang 4-2 ke atas Portugal yang turut dibarisi Cristiano Ronaldo di peringkat kumpulan.

Iraq berjaya mara hingga ke separuh akhir sebelum tumbang kepada Paraguay dan seterusnya menduduki tempat ke empat. Walaupun gagal memenangi sebarang pingat, Olimpik 2004 berjaya memberikan pengalaman seterusnya mencorakkan halatuju skuad berbakat ini di masa mendatang.

Menjelang 2007, purata 100 kematian sehari dilaporkan di Baghdad akibat dari keganasan puak. Akibat dari itu, Iraq tidak dibenarkan menjadi tuan rumah kepada mana-mana perlawanan bolasepak, dan UAE dipilih sebagai alternatif.

Walaupun tewas 0-2 kepada Singapura dalam perlawan pertama kumpulan di peringkat kelayakan, Iraq berjaya bangkit menjadi juara kumpulan seterusnya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2007 yang berlangsung di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Namun begitu, persiapan mereka menghadapi kejohanan tersebut kucar-kacir. Selain ancaman militan yang benci melihat Sunni, Syiah dan Kurdish dalam satu pasukan, kumpulan penjenayah juga mengancam dengan menculik ahli keluarga dan mengugut pemain dengan meminta tebusan.

Ancaman sebegini menyebabkan semua pemain terpaksa meninggalkan Iraq. Hawar Mullah Muhammad mendedahkan beliau terpaksa ke padang latihan membawa machine gun.

Penjaga gol Noor Sabri kehilangan abang iparnya akibat ditembak sejurus sebelum kejohanan. Haitam Khalim pula melihat dengan matanya sendiri rakan sepasukannya dibunuh ketika perlawanan.

Mereka akhirnya berkumpul di Amman, Jordan, bersama-sama dengan jutaan lagi pelarian Iraq, di dalam keadaan yang serba kekurangan. Dengan berkeadaan begitu, tidak banyak harapan diletakkan ke bahu mereka.

Tanpa jurulatih, mereka tiada halatuju. Ketika ini muncullah Jorvan Vieira, seorang mualaf dari Brazil yang sebelum itu mencipta nama di benua Afrika Utara.

“Ianya umpama masuk ke kandang singa.”, jelas Viera sebaik sahaja mengambil alih tugas sebagai jurulatih Iraq. Sebelum kejohanan bermula, jurulatih fisio mereka terbunuh dalam satu serangan bom berani mati.

Satu lagi pasukan kebangsaan, pasukan taekwondo gagal sampai ke sempadan Jordan. Kesemuanya dibunuh dan ditanam beramai-ramai di dalam satu lubang sempit. Berita ini meruntuhkan lagi moral pasukan.

Walaubagaimanapun, Viera akhirnya berjaya menyatukan kembali pasukan, memberi impak positif dan semangat satu pasukan kepada skuad tersebut. Mereka akhirnya terbang ke Bangkok, dan sudah tentu dengan Kelas Ekonomi.

Iraq bermula dengan perlahan. Sekadar meraih satu mata dalam perlawanan pembukaan bertemu Thailand. Akan tetapi dalam perlawanan seterusnya, mereka berjaya mengejutkan Australia 3-1.

Mara ke suku akhir, Younes Mahmoud menjaringkan dua gol ketika bertemu Vietnam sekaligus menempah tiket ke separuh akhir bertemu Korea Selatan. Dengan kemaraan ini, ribuan peminat di Iraq meraikan kejayaan mereka di jalanan sekitar Baghdad, perkara yang pertama kali berlaku sejak sekian lama.

Di separuh akhir, Noor Sabri menjadi hero dengan menyelamatkan penalti terakhir dalam penentuan sepakan penalti setelah masa penuh berkesudahan 0-0. Dan pada ketika pasukan menyambut kemaraan ke final, Baghdad turut berpesta, tetapi berakhir dengan tragedi.

Pengebom berani mati mengambil peluang saat ramai yang berkumpul dengan meletupkan dirinya di khalayak ramai menyebabkan lebih 30 lagi peminat bolasepak turut terbunuh. Dan pada malam tersebut, lebih 20 lagi turut terkorban akibat terkena peluru sesat yang jatuh akibat tembakan rambang yang dilepaskan ke udara ketika meraikan kejayaan pasukan.

Berita tersebut bagaimanapun menjejaskan semangat pasukan Iraq. Pasukan malah mengadakan mesyuarat tergempar mengusulkan agar mereka menarik diri dari kejohanan. Akan tetapi, satu berita di televisyen mengubah pendirian mereka.

Ketika ditemuramah, seorang ibu, Umm Haider memberitahu wartawan yang anaknya adalah salah seorang mangsa yang terkorban. Umm Haider merayu supaya mereka meneruskan perlawanan sebagai solidariti kepada anaknya dan berjanji tidak akan mengebumikan mayat anaknya selagi pasukan Iraq tidak membawa pulang trofi kemenangan.

Mereka akhirnya berjaya melakukannya. Dalam perlawanan akhir yang penuh emosi, Iraq berjaya menumpaskan Arab Saudi 1-0. Dan penjaringnya tidak lain tidak bukan, Younes Mahmoud, memberikan Iraq trofi pertama dan satu-satunya trofi Piala Asia buat mereka.

Disebalik pertumpahan darah dan keganasan yang berlaku sepanjang minggu sebelumnya, ratusan ribu rakyat Iraq kembali ke jalanan untuk merayakan kejayaan tersebut.

Skuad Iraq akhirnya pulang ke Baghdad untuk bertemu dengan Perdana Menteri dan Umm Haider. Younes Mahmoud menggunakan platform tersebut dengan menggesa AS keluar dari Iraq.

Beliau kemudiannya dicalonkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan FIFA dan berpindah ke Qatar setelah impiannya bermain di Eropah menemui jalan buntu.

Pemain tengah, Nashat Akram pula dipikat oleh Sven Goran Erikson di Manchester City, tetapi gagal beraksi akibat tidak mendapat permit pekerjaan dari kerajaan British. Beliau akhirnya berpindah ke Eredivisie.

Hawar Mullah Muhammad juga berjaya ke Eropah dengan menyertai Anorthisis Famagusta. Pada 2008, beliau menjadi rakyat Iraq pertama menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara Eropah sewaktu pasukannya menewaskan Panthinaikos, 3-1.

Apa pula nasib Jorvan Vieira? Beliau meletak jawatan sebaik kejohanan tamat dengan menyatakan tugas tersebut adalah mustahil dan menyebabkan beliau hilang kewarasan.

Selepas 2007, kadar kematian orang awam akibat keganasan puak berkurang secara drastik. Pasukan pengaman PBB yang diketuai Amerika Syarikat memainkan peranan besar.

Namun begitu, pasukan bolasepak Iraq yang digelar Singa Mesopotamia adalah pemangkin sebenar yang menyatukan seluruh rakyat Iraq.

Jika dibandingkan dengan skuad Malaysia 2021, jelas kita masih punya kelebihan, punya segalanya. Pemain muda berbakat, bintang di kelab liga Eropah, liga kompetitif, fasiliti bertaraf dunia dan tidur malam yang nyenyak berbantal empuk.

Jadi Harimau Malaya, hiduplah dengan namamu, bangkitlah dari tidurmu, hapuskan musuh-musuhmu.

Kami doakan!

Salman Hamzah merupakan rakyat Malaysia yang masih meletakkan harapan setinggi gunung untuk melihat Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia dalam hayatnya.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan:

Ayah Tan Cheng Hoe Meninggal Dunia

Tak Mungkin ‘Dia’ Akan Buat Kesilapan Yang Sama, Tegas Cheng Hoe

Media Vietnam: ‘Bertahan Di Garisan Tinggi’ Umpama Pedang Dua Mata Buat Malaysia

Leave a Reply