Bangkit Dan Tunjukkan Taring Sebenar Harimau Malaya – Hamidin

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin mengingatkan pemain skuad kebangsaan agar menunjukkan taring sebenar Harimau Malaya semasa beraksi bertemu pasukan Thailand dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada malam ini.

Hamidin menyampaikan pesanannya ketika beliau meluangkan masa bersarapan dengan semua pemain skuad kebangsaan pada pagi ini. Beliau meminta para pemain turun dengan semangat yang tinggi dan tampil lebih garang demi meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Kredit Foto: FAM

Turut sama hadir adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta Dato Posa Majais, penolong pengurus pasukan.

Tambah Hamidin lagi, perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini amat penting untuk menentukan hala tuju skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe untuk memburu slot ke Piala Dunia dan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Sudah tentu sebelum ini saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu yang mana permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti apa yang ditampilkan pada perlawanan menentang Indonesia dan UAE sebelum itu.

“Jadi untuk perlawanan menentang Thailand malam ini, saya mahu para pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam itu dan apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar bertemu Thailand ini.

Hamidin jelas mahukan kemenangan malam ini. Oleh yang demikian, beliau mahu semua pemain yang diberi kepercayaan untuk beraksi malam ini tampil lebih garang dan agresif lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong di tempat sendiri.

“Tunjukkan yang anda semua pemain yang bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan Thailand, malam ini,” katanya lagi.

Hamidin juga menyeru Ekor Harimau Malaya supaya hadir beramai-ramai menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini memberikan sokongan padu kepada pemain negara. Beliau percaya kehadiran penyokong yang ramai mampu memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pemain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram