Bagaimana Roberto Firmino Akan Membantu Liverpool?

Lewat petang semalam, Liverpool mengumumkan persetujuan pemain tengah Brazil, Roberto Firmino dari Hoffenheim. Perpindahan lumayan sebanyak £29 juta itu menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu akan bersama Liverpool dalam kontrak 5 tahun.

Siapa beliau?



Roberto Firmino dilahirkan pada 2 Oktober 1991 di Maceio, Brazil – tempat sama Pepe (Real Madrid) dan Mario Zagallo dilahirkan. Sudah mempunyai 9 caps antarabangsa, Firmino tidak seperti bintang-bintang Brazil yang lain. Beliau tidak pernah beraksi untuk skuad muda Brazil.

Sebaliknya, Firmino bermula di kelab Figueirense, di divisyen ke-2 Brazil. Beliau menjaringkan 8 gol dalam 36 perlawanan dan dipilih sebagai pemain terbaik divisyen ke-2 Brazil.

Kelab Eropah pertama yang menhantar peninjau bakat untuk melihat Firmino adalah Hoffenheim – kelab sama yang mengenalpasti bakat Luis Gustavo, Carlos Eduardo, Chinedu Obasi dan Demba Ba dari kelab-kelab kecil sebelum menjual mereka dengan harga mahal.

Semasa peninjau bakat Hoffenheim, Ernst Tanner melihat Firmino dalam sesi latihan, beliau perasan sesuatu yang pelik kepada Firmino.

“Apa yang saya saksikan agak pelik kerana dalam latihan tersebut, Firmino tidak berlatih dengan bagus. Tetapi dia tidak mengeluh dan mengomel sahaja. Sebaliknya dia mendengar apa yang diperkatakan oleh jurulatih dan belajar memperbetulkan kesilapannya.”

“Peristiwa itu membuatkan saya mahukan kepada beliau di Hoffenheim.”

Perpindahan ke Hoffenheim

Dengan bayaran perpindahan sebanyak £3.5 juta, Firmino milik Hoffenheim.



Firmino sangat gembira dapat bermain di Eropah sehinggakan beliau sanggup mencacah tatu dalam bahasa Jerman. Cuma satu masalah. Firmino menggunakan Internet untuk menterjemahkan perkataan ‘kasih sayang untuk keluarga’ ke dalam bahasa Jerman.

Akibatnya, tatu Firmino ‘Familie unaufhorlich Liebe’ mempunyai sedikit kesalahan tatabahasa kerana tidak menggunakan ö.

Pada musim sulungnya di Hoffenheim, Firmino bermain dalam 11 perlawanan liga, kebanyakannya dari bangku simpanan. Beliau menjaringkan 3 gol.

Sepanjang kariernya di Hoffenheim, Firmino membuat 140 penampilan dan menjaringkan 35 gol. Di sana, beliau pernah bermain sebagai pemain tengah, pemain sayap, belakang penyerang dan paling terbaru, sebagai penyerang.

Corak permainan

Satu perkara yang pasti, Firmino tidak terkenal kerana rekod jaringannya. Sebaliknya beliau terkenal sebagai pemain yang rajin, serupa dengan kualiti yang dibawa Luis Suarez dan Alexis Sanchez.

Firmino akan berlari tanpa henti untuk memberi tekanan tinggi kepada pemain lawan. Malah, dalam satu laporan perlawanan di Jerman, beliau digelar ‘pencuri bola pertama dalam sistem tekanan Hoffenheim’.



Holger Stanislawski, pengurus pertama Firmino di Hoffenheim menggelarnya sebagai pemain yang ‘sangat bagus dari segi taktikal’. Ini berita baik untuk Brendan Rodgers selepas terpaksa menghabiskan satu musim hanya untuk mengajar Mario Balotelli, cara bertahan ketika sepakan sudut.

Paling penting untuk Liverpool, Firmino juga mempunyai rekod kecederaan yang bersih. Beliau sudah melengkapkan 33 daripada 34 perlawanan Bundesliga untuk Hoffenheim selama 3 musim berturut-turut.

Persembahan Firmino mengikut statistik

2015-6-FirminoHeaderlfc

11013378_10205577237682659_8057262335904464950_o

Walaupun bermain untuk kelab pertengahan Bundesliga, statistik Firmino sangat baik apabila dibandingkan dengan pemain-pemain kelab besar.

Bermain sebagai pemain tengah menyerang, Firmino menjaringkan 32 gol dan 21 bantuan gol untuk Hoffenheim pada dua musim lepas.

Laman web statistik WhoScored, memberikan purata rating sebanyak 7.79 kepada Firmino pada akhir musim lepas.

Hanya nama-nama besar seperti Alexis Sanchez, James Rodriguez, Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Neymar, Arjen Robben, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sahaja yang mempunyai rating yang lebih baik dari Firmino.

Firmino turut disenaraikan sebagai lima penggelecek terbaik di liga Eropah musim lalu; dibelakang Robben, Messi, Hazard dan Ronaldo. Secara purata, Firmino melakukan 4.2 gelecekan dalam setiap perlawanan.

Sebagai perbandingan, penggelecek terbaik Liverpool musim lepas, Coutinho, hanya mempunyai purata 3.1 gelecekan dalam setiap penampilan.

Bagaimana Firmino akan melengkapkan Liverpool?

Bagi kami, Firmino adalah pembelian yang bagus untuk Liverpool. Setiap pasukan besar di Eropah mempunyai seorang pemain seperti Firmino di jentera serangan mereka.

Arsenal mempunyai Alexis Sanchez. Chelsea mempunyai Diego Costa. Barcelona mempunyai Luis Suarez. Bayern Munich mempunyai Thomas Mueller. Pemain-pemain ini bukan sahaja memberi sumbangan besar dalam bahagian serangan, malah turut membantu secara aktif ketika pasukan mereka kehilangan bola.

Dari segi perbandingan berdasarkan statistik musim lepas, Firmino adalah Raheem Sterling versi yang lebih bagus. Apabila Firmino sudah menyesuaikan diri di Anfield (bukan satu masalah dengan kehadiran Coutinho dan Lucas Leiva), Liverpool bakal menjadi pasukan yang boleh mencabar kejuaraan liga.

Firmino bukanlah kepingan terakhir dalam jigsaw puzzle Liverpool kerana mereka masih memerlukan seorang lagi penjaring gol sejati. Tetapi dengan pembelian Firmino, mereka berada di landasan betul untuk menjadi pencabar kejuaraan liga.

11403161_10205577202641783_5772689418118527594_n

Kesimpulan

Firmino bukanlah asing daripada kesusahan hidup. Dibesarkan di salah sebuah bandar yang mempunyai kadar jenayah paling tinggi di Brazil, Firmino juga terpaksa berpindah berseorangan ke Figueirense pada usia 16 tahun.

Pengalaman hidupnya membolehkan beliau mengadaptasi dengan cepat di Jerman. Dan tak mustahil di England juga. Ketika ini, Firmino sedang mengetuai jentera serangan Brazil yang terpaksa melupakan khidmat Neymar yang digantung 4 perlawanan.



£29 juta mungkin kedengaran banyak bagi pemain kelab pertengahan Bundesliga, tetapi Firmino masih muda dan mempunyai ruang masa yang cukup besar untuk berkembang.

Liverpool tiada masalah untuk melepaskan Sterling dengan kehadiran Firmino. Jika Sterling kekal di Liverpool, pemain pertahanan lawan akan menghadapi lebih banyak masalah.

Baca juga: Salahkah Raheem Sterling Beritahu Dia Penat?

Sumber: Transfermarkt, Liverpool FC, The Guardian

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN