Bagaimana EPL Dapat ‘Lampu Hijau’ Benarkan Kehadiran Penuh Penyokong Di Stadium?

Bagaimana Premier League boleh membenarkan kehadiran kapasiti penuh di stadium walaupun dengan kes Covid-19 yang masih tinggi di UK?

Old Trafford mengalu-alukan 72,732 penyokong pada hujung minggu lalu dan menjadi stadium dengan kehadiran teramai di England pada minggu pertama Premier League musim 2021/22. Ini bermakna 95.7% daripada kapasiti stadium terbesar di England itu telah diisi untuk menyaksikan Manchester United menewaskan Leeds United 5-1 pada perlawanan pada Sabtu lalu.

Perlawanan kedua yang menyaksikan jumlah kehadiran teramai pula adalah di London, melibatkan pertemuan di antara Tottenhan Hotspur yang menewaskan Manchester City 1-0, di mana 58,262 kehadiran direkodkan – meliputi 92.7% kehadiran.

Stadium-stadium lain melibatkan perlawanan Premier League lain turut merekodkan jumlah kehadiran yang ramai. 50,673 direkodkan di St. James Park untuk perlawanan di antara Newcastle United menentang West Ham, 27,023 hadir di Carrow Road untuk menyaksikan Norwich City melayan kunjungan Liverpool, dan 16,479 penyokong menjadi saksi kelab yang mendapat promosi, Brentford menewaskan Arsenal di Stadium Komuniti Brentford pada hari pertama Premier League.

Sudah tentu antara persoalanan yang dilemparkan kepada meja editor kami selepas minggu pertama Premier League berlangsung ialah mengenai jumlah kehadiran yang tinggi di stadium di England. Bagaimana ia boleh dibenarkan walaupun kes di United Kingdom (UK) masih lagi tinggi?

Data Covid-19 di UK

Seperti yang kita ketahui Varian Delta merupakan Variant of Concern (VOC) di selurh dunia dan paling bahaya. Ini kerana varian tersebut boleh merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara sekaligus akan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti.

Varian tersebut dikatakan menjadi salah satu punca jangkitan utama Covid-19 di Lembah Klang, yang kemudiannya telah merebak ke seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

Data terkini jangkitan dan vaksinasi di UK.

Varian Delta turut menjadi punca peningkatan kematian di kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia yang sehingga kini telah mencapai angka 12,510 kematian secara kumulatif. Apakah perbezaan data di Malaysia berbanding yang direkodkan di UK?

Menurut laporan dan kemaskini kerajaan UK, Varian Delta adalah varian yang paling dominan di negara tersebut pada har ini, meliputi 99% jangkitan yang ada pada hari ini.

Sehingga semalam, UK terus merekodkan 26,750 kes sehari dengan purata 200,327 kes sejak tujuh hari lalu – menunjukkan peningkatan 4.9% jangkitan berbanding minggu sebelumnya.

Data yang sama turut menunjukkan 40,577,198 rakyatnya telah menerima vaksinasi penuh, meliputi 76.7% populasi negara tersebut – iaitu bersamaan 66.65 juta penduduk.

Sebagai perbandingan, hanya 32.9% penduduk di Malaysia telah menerima dua dos vaksin penuh sehingga semalam.

Impak Premier League kepada ekonomi

Sebenarnya kelonggaran untuk penyokong kembali ke stadium telah dibenarkan oleh kerajaan UK sejak 17 Mei yang lalu – secara berperingkat.

Ia adalah sebahagian daripada roadmap kerajaan untuk keluar dari perintah kawalan pergerakan (lockdown) sehingga tidak membenarkan kehadiran penyokong sejak Mac 2020 merangkumi usaha melandaikan perkara berkaitan kehidupan sosial yang lain – pengembaraan dari luar, dan kehadiran di majlis sosial.

Ia bukan menghairankan mengapa kerajaan UK turut mengambil kira Premier League sebagai sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian.

Sumber: Premier League

Sejak musim 2016/17, populariti Premier League di dalam dan luar negara telah menyumbang RM19.39 billion (£3.3bn) pendapatan melalui cukai telah dikutip untuk tiga musim berturut-turut kepada ekonomi UK.

Daripada jumlah tersebut RM6.6 (£1.1bn) billion adalah pendapatan yang diperolehi daripada pemain. Jumlah tersebut tidak termasuk jumlah RM44.66 (£7.6bn) yang disumbangkan oleh Premier League kepada hasil produk dalam negeri.

Sejak beberapa musim yang lalu, kelab-kelab Premier League turut telah menyumbang kepada 12,000 peluang pekerjaan secara terus, dan 100,000 pekerjaan lain kepada industri berkaitan.

Ia turut membantu sektor lain, khususnya industri perlancongan apabila hampir 700,000 pelawat direkodkan melawat UK untuk melawat kelab-kelab Premier League.

Ekonomi vs kesihatan

Faktor ekonomi dan kepentingan mengenai kesihatan telah menjadi perkara yang sering dibincangkan sepanjang tempoh pandemik ini.

Malah adakalanya kepentingan kedua-duanya dilihat sebagai satu pertembungan. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa, wujud persepsi bahawa salah satu sektor harus dikorbankan untuk membenarkan sektor yang lain aktif.

Kajian yang ditulis oleh The Wall Street Journal (WSJ) ini pula membawa kita kepada perspektif di mana ekonomi dan kesihatan boleh berjalan seiring sepanjang tempoh pandemik ini.

Apakah yang mendorong Kerajaan UK melonggarkan peraturan sehingga Premier League dibenarkan menerima kembali penyokong seperti kebiasaan? Jawapannya adalah kepada kajian saintifik dan hakikat yang perlu diterima pakai oleh setiap daripada kita.

Menurut laporan WSJ tersebut, saintis di UK optimis Varian Delta Covid-19 boleh dicegah melalui vaksinasi dan pematuhan protokol kesihatan yang berterusan dan berdisipin.

Menurut laporan yang sama, walaupun jangkitan Varian Delta di UK semakin meningkat, kadar kemasukkan ke hospital dan kematian telah menurun dengan ketaranya.

Bagaimana kelab Premier League kendali norma baharu

Mulai musim 2021/22, setiap penyokong di England yang mahu hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan melibatkan kelab masing-masing wajib divaksin penuh. Tidak cukup dengan itu, penyokong diminta untuk melakukan ujian dan mempunyai keputusan negatif sebelum sepak mula.

Itu adalah antara protokol baharu yang diumumkan oleh Premier League menjelang musim baharu setakat ini. Bagaimanapun belum ada arahan untuk melakukan semakan terhadap status setiap penyokong yang hadir wajib dilakukan secara mandatori.

Pemeriksaan akan dilakukan secara rawak tehadap penyokong yang hadir, dan arahan seperti memakai pelitup muka turut diwajibkan di tempat tertutup. Buat masa ini, penguatkuasaan masih lagi diserahkan kepada budi bicara kelab.

Laporan dari BBC pula menunjukkan setiap kelab mempunyai cara berlainan berkenaan penguatkuasaan. Kelab seperti Arsenal, Manchester United, West Ham dan Newcastle United, misalnya tidak melakukan semakan secara mandotori.

Tetapi beberapa kelab lain seperti Brighton, Tottenham dan Chelsea mewajibkan setiap penyokong yang hadir mempamerkan bukti vaksinasi penuh telah dilakukan sebelum memasuki stadium.

Apa yang boleh kita pelajari?

Sehingga artikel ini ditulis, kerajaan belum lagi membenarkan perlawanan Liga Malaysia dihadiri oleh penonton. Persoalannya sampai bila?

Tidak dapat dikenalpasti berapakah kerugian dialami setiap kelab bertanding disebabkan keadaan pandemik kerana tiadanya data yang sahih. Tetapi satu perkara yang pasti, tiada pihak yang mendapat keuntungan dari situasi semasa.

Paling terjejas adalah bola sepak akar umbi. Laporan pada tahu lalu mendedahkan industri bola sepak akar umbi di dalam negara menanggung kerugian mencecah RM11.5 juta sebulan.

Situasi bola sepak akar umbi di dalam negara  jauh berbeza dengan di luar negara kerana seperti di UK misalnya, bantuan penuh diberikan oleh pihak persatuan dan kerajaan agar industri itu tidak mati.

Rumusan

Satu perkara yang pasti, semua pihak harus menerima hakikat bahawa manusia sejagat pada hari ini hidup di dalam persekitaran berbeza yang lebih rapuh disebabkan wabak Covid-19.

Dua kaedah diterapkan oleh kerajaan UK sebelum membenarkan bola sepak diteruskan seperti biasa ialah vaksinasi penuh, dan pematuhan kepada protokol atau norma baharu.

Industri bola sepak di dalam negara mungkin tidak sebesar seperti di UK dalam sumbangannya kepada ekonomi. Tetapi ia tidak bererti pihak-pihak tertentu boleh terus dengan ‘momokan’ bola sepak akan memusnahkan sektor kesihatan.

Sekecil-kecil industri bola sepak di negara ini, beringatlah bahawa masih ramai pihak yang bergantung kepadanya demi sesuap nasi. Soalan yang lebih patut kita jawab: “Sejauh mana kita mahu berhadapan dengan realiti sebenar dunia pada hari ini?”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN