Bagaimana David Moyes Ubah West Ham Daripada Pasukan Bergelut Kepada Pencabar Kejuaraan EPL

David Moyes West Ham United

Empat kemenangan berturut-turut, nombor tiga di kedudukan liga dan hanya tiga mata di belakang pendahulu Chelsea. Mungkinkah ini merupakan musim terbaik West Ham United untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL)?

The Hammers membuat kejutan menewaskan Liverpool 3-2 untuk ‘memijak’ skuad Jurgen Klopp itu turun ke bawah dari carta liga sebelum tempoh rehat antarabangsa yang akan bermula minggu ini.

Walaupun saingan baru masuk perlawanan ke-11, West Ham telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk berada di kedudukan yang lebih baik dari pasukan-pasukan pilihan lain.

Langkah demi langkah

West Ham terlepas dari menamatkan saingan musim lalu di kedudukan empat terbaik dengan perbezaan hanya dua mata sahaja, tetapi pencapaian tersebut telah memberi harapan yang tinggi kepada penyokong.

Semasa David Moyes dilantik, tugasnya adalah untuk memastikan pasukannya selamat dari penyingkiran. Bukan hanya sekali, tetapi dua kali bekas pengurus Everton dan Manchester United itu menjalankan misi tersebut.

Maka ia menjadi sebab mengapa pihak pengurusan mula memberikan kepercayaan kepadanya untuk membina era baharu The Hammers.

2021 menyaksikan peningkatan luar biasa West Ham di mana mereka secara keseluruhannya telah mengumpul 65 mata setakat ini. Hanya penyandang juara Manchester City (80 mata) dan juara Eropah, Chelsea (66) sahaja yang meraih mata yang lebih tinggi.

Selain mengekalkan rekod 100 peratus di Liga Europa (UEL) dengan memenangi semua tiga perlawanan di peringkat kumpulan, mereka turut membuat kejutan dengan menyingkirkan Manchester City dari saingan Liga Carabao yang merupakan juara empat edisi berturut-turut.

Kuncinya adalah kombinasi kepada pemilihan pemain yang tepat, permainan yang berdisiplin, corak serangan yang bervariasi.

Era baharu

West Ham juga kini dalam fasa untuk mendapat pemilik baharu selepas jutawan Czech, Daniel Kretinsky bersetuju untuk membeli 30 peratus pegangan saham sebagai langkah awal kepada pengambilalihan penuh.

Berdasarkan rundingan yang telah dipersetujui, West Ham akan melepaskan sebahagian pegangan sahamnya bernilai £150 juta kepada Kretinsky bagi membolehkan lebih banyak tunai disalurkan oleh pemilik baharu.

Ia amat penting bagi mengekalkan daya saing dengan kelab-kelab Inggeris lain yang semakin rancak berbelanja bagi memperkuatkan pasukan masing-masing ketika ini, termasuk Newcastle United yang baru sahaja selesai urusan pengambilalihan tempoh hari.

Perkembangan ini menjadikan EPL semakin menarik. Tiada pasukan yang boleh mendominasi kejuaraan seperti beberapa liga utama Eropah yang lain. Perebutan kejuaraan tidak lagi berkisar kepada persaingan antara pasukan ‘big four’ kepada ‘big six’.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply