Badhri Radzi Mahu Tuntut Hutang Tertunggak Daripada Perlis FA

Selepas skuad singa utara disingkirkan daripada Liga Malaysia (Liga M) minggu lepas kerana masalah kewangan yang serius, beberapa pemain Perlis mahu membuat tuntutan terhadap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Menurut laporan daripada Berita Harian, ejen pemain bola sepak tempatan, Wan Mohd Anwari Wan Amran mengesahkan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi akan membuat tuntutan dan kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci mengenai kontrak pemain tersebut.

“Sebelum membuat aduan atau tuntutan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kami kena lapor kepada PFAM dulu. Laporan akan dibuat kepada PFAM dalam masa terdekat dan ia mengenai apa yang PFA sudah buat kepada Piya (Mohd Badhri).

“Kami akan tuntut semua termasuk tunggakan gaji, kos ujian perubatan dan deposit rumah yang dijelaskan sendiri sebelum ini. Tindakan ini diambil bagi menuntut keadilan terhadap pemain,” katanya.

Perlis
FOTO: Northern Lions Perlis

PFA semalam memutuskan untuk menggantung jawatan presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, berkuatkuasa serta merta. Penggantungan tugas presiden itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan berkenaan.

Selain itu, jawatan naib presiden 2 PFA yang dipegang Muhammad Sukur Hashim turut digantung di samping ‘merehatkan’ setiausaha agung PFA yang disandang Adib Rabani Muaz Abul Malik sehingga tarikh Kongres PFA seterusnya.

Hal ini kerana Muhammad Sukur dan Adib Rabani Muaz adalah individu yang mewakili Kelab Bola Sepak Qhaleefa milik Datuk Ahmad Amizal.

Mengulas mengenai tindakan Ahmad Amizal bersikap lepas tangan terhadap masalah yang membelenggu PFA, Wan Mohd Anwari mahu bekas Presiden PFA itu bertanggungjawab dan tidak menghilangkan diri.

“Apa-apa pun dia kena bertanggungjawab untuk selesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan bukannya harap presiden baharu yang datang menyelesaikan isu itu,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram