Baddrol Bakhtiar ‘Semakin Hampir’ Tinggalkan Kedah, ‘Reunion Ex-Kim Swee’ Akan Berlaku Di Sabah?

Ong Kim Swee Sabah Baddrol bakhtiar 2022

Adakah Sabah FC akan menjadi tempat ‘reunion’ semula bekas-bekas pemain yang pernah dibimbing Datuk Ong Kim Swee sepanjang 14 tahun beliau pernah terlibat dalam kem pengurusan skuad kebangsaan?

Beliau pernah membimbing skuad B-16, skuad B-17, skuad B-23 kebangsaan, skuad Harimau Muda dan juga skuad senior kebangsaan sepanjang bertugas bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Sentuhannya sudah merangkumi ramai pemain-pemain yang sedang beraksi di saingan Liga Malaysia pada ketika ini.

Sejak membimbing Sabah bermula pada 1 Oktober lalu dan mengendalikan mereka dalam aksi Piala Malaysia 2021, The Rhinos tampil bermain lebih baik berbanding ketika di saingan Liga Super di bawah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto. Mereka mengejutkan banyak pihak apabila mara hingga ke suku akhir.

Dalam sidang media terakhir selepas tewas 1-3 agregat kepada Melaka United di suku akhir, Kim Swee memberi bayangan Sabah akan lebih matang dan berkualiti pada musim depan. Apa yang cuba dimaksudkannya itu?

Kata Kim Swee, “Dalam bola sepak, kualiti dan kematangan para pemain dalam padang akan membezakan sesuatu pasukan. Pemain-pemain muda Sabah terutamanya, dalam saingan Piala Malaysia, mereka telah mendapat suatu pengalaman. Saya percaya pada tahun hadapan, mereka akan bertambah matang.”

“Dan dari situ kita mampu merubah skrip pada musim hadapan,” ungkapnya ringkas tentang musim depan.

Terkini, perkongsian bekas jurulatih Baddrol Bakhtiar, Azraai Khor di Facebook seolah-olah memberi gambaran Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan Kedah. Destinasinya, besar kemungkinan untuk ke negeri di bawah bayu!

Aura dan pengaruh Kim Swee

Harus diakui, Kim Swee ada auranya yang tersendiri. Antaranya kejayaan terbaiknya adalah juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan AFC B-23 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018. Ini kekuatan resumenya.

Dan daripada kejayaan yang dilakarnya itu, terdapat banyak pemain yang pernah beraksi di bawah kendaliannya sejak 2007 lagi. Antara yang boleh kita ketengahkan di sini adalah yang sedang hangat dikaitkan dengan Sabah iaitu Irfan Fazail, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. Selain mereka, siapa lagi agaknya?

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelibat bekas kapten skuad B-23 negara, Irfan Fazail sudah kelihatan di Kota Kinabalu. Beliau sebelum ini bermain bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Sudah agak lama pemain yang pernah dilabel ‘The Next’ Safiq Rahim ketika di usia remajanya itu terpinggir. Tentunya, bekas mentornya itu mahukannya walaupun beliau dirundung masalah kecederaan sebelum ini. Kim Swee baru-baru ini mengatakan bahawa abang kepada Afiq Fazail itu ‘seorang ketua’ ketika usia remajanya.

Ciap Kim Swee di Twitternya ketika mengenang skuad Emas Sukan SEA 2011, “10 years ago we won Gold in the SEA Games. What a talented team we had at the time captained by Baddrol with Khairul Fahmi as assistant. Not to forget, Irfan Fazail at just 20 but played like a leader. Great memories.” Terkenang atau sengaja kenang?

Jika dilihat, hanya tiga nama disebut dalam ciapannya dan mereka memiliki pengalaman dan kualiti ‘leadership’.

Bekas pemain yang mencari tempat 

Sudah lama terpinggir atau tiada tempat dalam pasukan mungkin menjadi sebab penghijrahan pemain. Dan Kim Swee tentunya arif benar, siapa bekas pemainnya yang kini sudah mula ‘tenggelam’ dalam saingan liga.

Kim Swee tahu mereka masih boleh bermain dengan baik, jika diberikan ruang dan peluang. Sebagaimana N. Thanabalan yang kembali ‘bernafas’ sebaik sahaja pengendali berusia 50 tahun itu tiba di bumi Borneo.

Turut kedengaran selain Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi dan Irfan Fazail adalah Hazwan Bakri yang kini di JDT dan Rozaimi Abd Rahman yang sudah tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas tinggalkan Kedah.

Hazwan Bakri dan Rozaimi adalah antara penyerang yang menyerlah dibawah sentuhannya selain Thanabalan. Rozaimi sudah memberi gambaran bakal menyertai sesi pemilihan di Sabah untuk kembali beraksi, sementara masih belum ada khabar berita tentang Hazwan Bakri, sama ada JDT mahu lepaskan atau tidak.

Menggunakan sistem taktikal kegemarannya iaitu 3-4-3, siapa yang pernah bermain di bawahnya sudah faham apa kehendak pengendali itu. Ya, pemain-pemain The Rhinos sedia ada terutamanya pemain muda mungkin sudah mula mendapat rentak tetapi mereka masih memerlukan panduan daripada pemain berpengalaman.

Kim Swee akan pujuk tiga bekas pemainnya

Ujarnya kepada New Straits Times mengenai sasaran pemain untuk musim hadapan, Kim Swee menjelaskan “Pada asasnya, kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain ternama untuk membimbing yang lain. Kami sedang berunding dengan beberapa pemain, tetapi saya tidak boleh mendedahkan butirannya lagi.”

“Memandangkan ini [Sabah] adalah pengalaman pertama saya melatih sebuah kelab, saya tidak pasti sama ada sasaran saya akan menyertai saya. Namun, saya akan cuba sedaya upaya untuk memujuk mereka,” ungkapnya.

Beliau dengan jelas menyebut Sabah memerlukan tiga pemain dan di Twitternya, tiga nama ‘sengaja’ disebut iaitu Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi dan Irfan Fazail. Itu mungkin tonggak utama yang menjadi idamannya.

Mereka sudah memiliki tiga pemain yang pernah bermain di bawah Kim Swee sebelum ini iaitu, Thanabalan, Nazirul Naim dan Amri Yahyah. Jadi, hanya sedikit lagi tambah baik perlu dibuatnya untuk mengukuhkan The Rhinos bagi saingan musim depan. Mungkin ‘reunion’ bekas pemain Kim Swee ini akan jadi realiti?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply