B. Sathianathan: “Kami Mahu Tengok Manifesto”

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan mahu melihat manifesto kesemua calon yang bertanding bagi mengisi jawatan panas, Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau juga mahukan kesemua calon turun padang berkempen serta bertemu dengan kesemua 20 ahli gabungan bagi menjelaskan ‘manifesto’ masing-masing.

Beliau tidak mahu calon diundi hanya berdasarkan reputasi dan pengalaman semata-mata. Dipetik daripada sumber Utusan Malaysa, beliau berkata:

“Orang politik atau siapa sahaja calon yang mahu menduduki kerusi No. 1 itu kena rajin buat kerja.”

“Pergilah dekati ahli gabungan, jumpa mereka dan jelaskan apa manifesto anda seperti visi, dasar, cara mendapatkan dana, penstrukturan FAM, pelan pembangunan akar umbi dan pasukan negara.”

“Selain itu, kami ahli gabungan mahu Presiden nanti adalah orang yang boleh buat keputusan segera tanpa terlalu menunggu Majlis atau Kongres FAM lagi sebab inilah arus bola sepak zaman sekarang yang turut telah menjadi satu industri sukan”.

FAM mengumumkan ada 3 nama yang dicalonkan iaitu Dato’ Hamidin Mohd. Amin, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.

3 calon ini perlu mengesahkan yang mereka setuju dengan pencalonan tersebut sebelum atau pada 14 Jun 2018.

Kerusi Presiden FAM dikosongkan oleh TMJ selepas kemerosotan ranking skuad kebangsaan pada 25 Mac lalu. Jawatan itu kini dipangku oleh Datuk Wira Yusoff Mahadi.

B. Sathianathan berpendapat, buat masa ini beliau merasakan Dato’ Hamidin memiliki kelebihan kerana ada pengalaman 20 tahun dalam pentadbiran bola sepak termasuk di Selangor.

Beliau juga berpendapat, kredibiliti Dato’ Hamidin terserlah selepas TMJ sendiri mengakui akan hal itu sebelum ini.

Namun B.Sathianathan tetap mahukan kesemua calon mengemukakan manifesto mereka seperti mana yang dilakukan TMJ dan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dalam pemilihan Presiden FAM pada 2017.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram