Azraai Mahu Negeri Sembilan Bangkit Dalam Saingan Liga Super

Pengalaman kapten pasukan Negeri Sembilan, Kim Do-Heon ditagih bagi memastikan misi melakar kemenangan pada perlawanan Liga Super yang akan datang tercapai.

Pengendali skuad Hoben Jang Hoben, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata kepada Berita Harian, pihaknya menuntut perancang utama bahagian tengah berasal dari Korea Selatan itu, memberikan aksi yang lebih mantap.

Pemain dari Korea Selatan itu merupakan pemain yang paling berpengalaman dalam pasukan ini kerana pernah beraksi dua kali di pentas Piala Dunia dan sekali di Olimpik.

“Setakat ini ketumpulan jentera serangan pasukan begitu ketara kerana kita hanya mengharapkan seorang pemain (Nicolas Velez) untuk menerajui bahagian depan.

“Situasi itu menyukarkan kita untuk menjana barisan depan yang lebih mantap dan Do-Heon dilihat berupaya untuk membantu dalam usaha mendapatkan gol.

“Saya mengharapkan dia (Do-Heon) dapat bertindak lebih agresif dalam menjana bahagian tengah dan seterusnya membantu jentera serangan,” katanya di sini, hari ini.

Selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan sekadar merakamkan satu kemenangan dan satu seri untuk menduduki tangga terbawah carta dengan empat mata.

Azraai yang mula mengambil alih tugas penting itu pada awal Mac lalu, juga mengharapkan sentuhan pemain tempatan lain seperti Khairul Izuan Rosli dan Muhamad Fakrul Aiman Sidid, dalam memperkasakan lagi jentera serangan pasukan itu.

Justeru, beliau mengharapkan perubahan positif daripada pemain skuad Hobin Jang Hobin pada pertemuan menentang Selangor, di tempat lawan hujung minggu ini.

“Pemain juga diingatkan supaya tidak hilang fokus pada penghujung saingan yang boleh mengakibatkan pasukan kehilangan mata seperti yang berlaku ketika seri dengan Kelantan, di tempat sendiri, tempohari.

“Saya lihat perkara ini sudah dua kali berlaku dan ia jelas merugikan pasukan dan berharap ia tidak berulang pada pertembungan dengan Selangor nanti.

“Walaupun berdepan dengan pasukan yang berwibawa seperti Selangor, tapi Negeri Sembilan perlu mendapatkan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply