Azmi Muslim: Kalau Ikutkan Tak Mahu Pun Sertai Pemilihan MyTeam

Azmi Muslim

Bermula hanya daripada sebuah rancangan realiti bola sepak, MyTeam, Azmi Muslim kini boleh berbangga dengan apa yang telah dicapainya selepas bergelar sebagai pemain profesional di Liga Malaysia, malah pernah mewakili skuad negara.

Pengorbanannya melepaskan pekerjaan tetapnya sebagai Pembantu Stor di Nippon Express Cargo di Pulau Pinang dan melangkah ke Kuala Lumpur untuk sebuah rancangan realiti boleh dikatakan berbaloi apabila dilihatkan pencapaiannya kini.

Pernah membantu skuad negara menamatkan kemarau 20 tahun dan memenangi Sukan SEA 2009 di Laos mungkin adalah antara kenangan terindah pertahanan kiri itu yang kini merupakan ketua pasukan bagi skuad Liga Premier, Pulau Pinang.

Rancangan Realiti MyTeam 2006

MyTeam adalah projek Khairy Jamaluddin yang kini adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama rakannya yang ketika itu merupakan DJ radio, Jason Loo dengan Shebby Singh telah dilantik sebagai pengendali pasukan ‘amatur’ tersebut.

Ideanya adalah untuk mencari 22 bakat amatur di seluruh negara dan dibentuk sebagai sebuah pasukan yang akan menentang skuad kebangsaan yang pada ketika itu dilihat kurang menyerlah dan juga suram, tewas lima perlawanan berturut-turut.

Poster Perlawanan MyTeam vs Malaysia. FOTO: chedinsphere.blogspot

Namun, selepas pelbagai kontroversi, Persatuan Bolasepak Malaysia telah menghantar skuad yang dibarisi majoritinya daripada skuad B-20 dan dikendalikan oleh Datuk K. Rajagobal dengan hanya beberapa pemain senior telah diserap masuk.

Malaysia melalui malam yang sukar apabila hampir tunduk kepada pasukan amatur yang hanya dibentuk selama tiga bulan oleh barisan kejurulatihan MyTeam, namun jaringan Zaquan Adha dan Farderin Kadir berhasil menyelamatkan segalanya.

Malaysia yang dibarisi Khaironnisam Shahabuddin, Indra Putra Mahayuddin dan kembar sensasi negara, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan menang 2-1 di hadapan lebih 50 ribu penyokong yang turun menyaksikannya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penyokong ketika itu menyokong MyTeam

Bercakap kepada Semuanya BOLA ketika dihubungi, Azmi Muslim menceritakan bagaimana perasaannya turun ke padang untuk menentang skuad negara yang dibarisi pemain-pemain muda dan penyokong ketika itu pula lebih memihak kepada MyTeam.

“Kalau hendak difikirkan ketika itu bola sepak Malaysia tengah terumbang ambing. Dan majoriti penyokong yang datang stadium ketika itu menyokong MyTeam. Rasa teruja masa itu lain macam sikit,” ungkap Azmi Muslim mengenai perasaannya malam itu.

Kesebelasan utama MyTeam menentang Malaysia pada 28 Mei 2006. FOTO: Azmi Muslim

“Gemuruh itu biasalah, kita tidak pernah beraksi dengan penyokong yang sebegitu ramai sebelum ini sebab bukan pemain profesional. Kita cuma mahu buat yang terbaik ketika itu,” ujarnya lagi sambil menyatakan Shebby Singh hanya mahukan aksi terbaik.

“Siapa yang kalah bermain bola, tentulah kecewa. Tetapi dengan apa yang kawan-kawan berikan masa itu, kami cukup berpuas hati,” tambahnya lagi selain turut berbangga ‘memberi cabaran’ kepada pemain profesional walaupun baru dibentuk.

Menurutnya lagi yang ketika itu berusia 20 tahun, sepanjang rancangan tersebut, tiga kali beliau hampir tersingkir tetapi akhirnya terselamat dan menganggapnya mungkin rezekinya dalam bola sepak panjang walaupun tidak berapa jelas matlamatnya.

Ini kerana, semua pemain yang terpilih masih tidak tahu hala tuju MyTeam selepas berakhirnya perlawanan menentang Malaysia tersebut dan ada dikalangan mereka terpaksa berhenti kerja demi menyertai latihan di Kuala Lumpur termasuklah dirinya.

Nekad berhenti kerja

Daripada 16 pemain di peringkat akhir pemilihan di Pulau Pinang yang diadakan di Stadium Mini Bertam, hanya dua yang terpilih dan diluar jangkaannya, beliau telah dipilih oleh Bojan Hodak untuk layak ke sesi seterusnya di Kuala Lumpur.

Barisan pengurusan dan pemain MyTeam sebelum aksi menentang Malaysia. FOTO: chedinsphere.blogspot

Penyelianya yang secara kebetulan turut berada di lokasi tersebut berkata kepadanya supaya memikirkan sebaiknya kerana syarikat mereka tidak membenarkan pekerja mengambil cuti untuk satu tempoh yang panjang – walaupun cuti tanpa gaji.

“Hang pandai-pandai la buat surat. Kalau hendak minta cuti tanpa gaji, memang susah syarikat hendak bagi,” kenang Azmi Muslim kata-kata penyelianya sambil berkata yang seminggu adalah tempoh yang diambilnya sebelum nekad untuk berhenti kerja.

“Sebelum itu saya memang tidak mahu sertai pemilihan program tersebut. Keluarga dan rakan sekerja yang memberi sokongan dan menyuruh saya mencuba nasib,” ceritanya mengenai bagaimana terniat untuknya menyertai sesi pemilihan.

Namun, kesudahannya beliau berjaya melangkah sejauh ini dan menjadikan karier pemain bola sepak sebagai kerjayanya. Beliau turut berkongsi bagaimana daripada seorang pemain sayap menyerang beliau diubah untuk menjadi pertahanan.

Perubahan posisi yang menjadi

Ketika bersama MyTeam dan juga skuad UPB-MyTeam yang dibentuk untuk menyertai Liga Perdana 2007, Azmi Muslim adalah seorang pemain sayap dan telah dicuba oleh Shebby Singh di pelbagai posisi ketika dalam rancangan realiti tersebut.

Azmi Muslim dan Norshahrul Idlan Talaha ketika beraksi di saingan Liga Premier bersama UPB MyTeam. FOTO: chedinsphere.blogspot

Namun, segalanya berubah ketika beliau bersama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2009. Dan satu kebanggaannya buatnya apabila pengendali skuad muda negara memandangnya yang masih ‘mentah’.

“Posisi ketika itu bukan pertahanan kiri. Masa main MyTeam, saya main merata. Saya mula bermain di pertahanan kiri ketika bersama skuad K. Rajagobal. Sebelum Sukan SEA, kami ada persahabatan dan masa itulah Rajagobal cuba saya,” jelasnya.

Setelah itu, beliau menyertai Kedah dan terpaksa kembali ke posisi sayap kiri. Mengakui bergelut pada awalnya, namun selepas dua bulan, beliau dikembalikan ke posisi pertahanan kiri atas arahan pengendali Kedah ketika itu, Ahmad Yusoff.

“Masa mula menyertai Kedah, dua bulan pertama memang tekanan. Sebab pertama saya tidak bermain di posisi saya. Coach Ahmad Yusoff pada mulanya letak saya di sayap kiri. Hendak comeback main di posisi itu agak lambat sikit,” ujarnya.

Pengaruh Bojan Hodak

Antara jurulatih yang memberi pengaruh besar kepadanya adalah Bojan Hodak. Selain merupakan jurulatih pertama karier profesionalnya, pengendali tersebutlah yang mengumumkan yang dirinya terpilih dalam sesi pemilihan di Pulau Pinang.

Bojan Hodak. FOTO: FAM

“Daripada rancangan realiti tersebut, saya rasa dia yang pilih saya. Saya masih ingat lagi ketika pemilihan di Kepala Batas, beliau yang bertanggungjawab menyebut nombor bip saya ketika semua menyangka orang lain yang akan terpilih.

“Daripada rancangan tersebut sehinggalah menyertai skuad UPB-MyTeam, dia banyak pengaruhi karier saya. Dia banyak beri tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi pemain profesional,” jelas Azmi Muslim mengenai Bojan Hodak.

Tambahnya lagi, kehidupannya berubah terus apabila bergelar pemain profesional. Daripada bermain secara suka-suka, selepas itu berubah kepada latihan, perlu pemilihan pemakanan, perlu jaga kesihatan dan kecergasan serta perlu faham taktikal.

“Memang banyak perbezaan daripada seorang pemain amatur menjadi pemain profesional,” tambahnya lagi sambil menjelaskan pengalaman di UPB-MyTeam yang banyak mengajarnya ditambah dengan tunjuk ajar daripada Bojan Hodak.

Penutup

“Terus terang, saya tidak pernah terfikir akan menjadi pemain profesional dan juga skuad kebangsaan. Mungkin ini rezeki Allah dan saya turut banyak berusaha serta dibantu dengan umur yang agak muda,” ujar Azmi Muslim kepada Semuanya BOLA.

Walaupun tidak terlibat sepenuhnya dalam aksi di Sukan SEA 2009, namun beliau tetap tampil bermula pada saingan separuh akhir dan final. Namun, sejak daripada itu, kariernya semakin baik menyertai beberapa pasukan ternama di Liga Malaysia.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN