Azman Adnan, Penyerang Bernilai RM1 Juta Yang Dipancing Selangor

Azman Adnan Kuala Lumpur Selangor 1 juta

Pernah dilabel sebagai jelmaan Mokhtar Dahari, penyerang ikonik negara, Azman Adnan pernah menjadi fenomena di arena bola sepak tempatan di era 90-an dahulu.

Azman Adnan mula bermain dan mengasah bakatnya bersama pasukan Kuala Lumpur dan terus diserapkan ke dalam pasukan utama pada tahun 1989. Beliau telah beraksi untuk pasukan Kuala Lumpur sehingga tahun 1992 sebelum ‘terpaksa’ dilepaskan.

Kuala Lumpur terpaksa melepaskan ‘anak emas’ mereka dek kerana tidak lagi mampu menahan jiran mereka, Selangor yang cuba memancing penyerang sensasi itu untuk menyertai Gergasi Merah selain Kedah dan Pahang yang dikatakan turut berminat.

Untuk menyekat usaha beberapa pasukan tersebut, Kuala Lumpur telah meletakkan tanda harga RM1 juta bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang yang telah menjaringkan 22 gol dalam semua pertandingan untuk musim 1992.

Harian Metro 18 Disember 1992. FOTO: Biografi Azman Adnan

Pada masa yang sama, Kuala Lumpur turut menawarkan kepada beliau gaji dua kali ganda daripada apa yang beliau dapat ketika itu iaitu RM3,000 sebulan bagi mempertahankan pemain sensasi mereka yang juga Pemain Terbaik 1992.

Khabar angin bertiup kencang sewaktu beliau mewakili Malaysia dalam Piala Merlion di Singapura. Walaupun mempunyai baki kontrak selama setahun, Kuala Lumpur dikatakan sanggup bayar elaun belasan ribuan ringgit kepadanya setiap bulan.

Jurulatih kebangsaan, Ken Worden, amat prihatin akan situasi ini dan mendapati ini memberi tekanan dan menganggu minda tonggak utama beliau dalam kem latihan skuad kebangsaan dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala Merlion.

Menurut penulisan di Legasi Lagenda, Ken Worden memberi amaran kepada Azman Adnan bahawa beliau terpaksa disingkirkan jika situasi itu berterusan dan untuk menunjukkan beliau serius, Azman Adnan pernah dikecualikan daripada satu sesi latihan dan diarahkan tinggal di bilik dan elak daripada bercakap dengan media.

Harian Metro 24 Disember 1992. FOTO: Biografi Azman Adnan

Selangor akhirnya berjaya mendapatkan penyerang sensasi itu dengan nilai dikatakan RM500 ribu, separuh daripada tanda harga yang telah diletakkan oleh Kuala Lumpur. Pengurus Selangor ketika itu, Dato’ Aini Taib menafikan perkara tersebut.

Namun, bekas Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), S. Anthonysamy pernah mendedahkan bahawa FAS telah mengeluarkan dua cek bernilai RM350 ribu dan RM150 ribu kepada Kuala Lumpur sebagai pampasan mendapatkannya.

Dilabel sebagai pengganti SuperMokh, itulah nilai perpindahan tertinggi yang pernah diterima oleh seorang pemain tempatan ketika itu yang juga merupakan penyerang muda yang berbakat besar dan berbisa di Liga Malaysia (Liga M) di era 90-an.

Beliau membalas pelaburan mahal Gergasi Merah itu dengan menyumbang 147 gol daripada tahun 1993 hingga 1998. Tiga Piala Malaysia (1995 hingga 1997), Piala FA 1997, Piala Sumbangsih (1996, 1997) serta gelaran Divisyen 2 (1993).

KREDIT FEATURED IMAGE: HarithSidek.blogspot

Baca artikel lain mengenai Azman Adnan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram