Nor Azam Azih Tinggal Satu ‘Talian Hayat’ Untuk Tersenarai Ke Piala AFF

Nor Azam Azih

Semalam, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh telah menyatakan yang skuad kebangsaan memerlukan sentuhan pemain tengah muda Pahang, Nor Azam Azih.

Sememangnya jentera tengah skuad Harimau Malaya kekurangan impak dan penyelesaian yang jelas ketika ini adalah dengan menyenaraikan Nor Azam ke Piala AFF Suzuki 2018.

Pemain berusia 23 tahun yang dihubungi Berita Harian itu juga telah menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AFF nanti.

Dia turut menjelaskan yang kecederaan yang dialaminya ketika beraksi bersama Pahang di Piala Malaysia sudah pulih sepenuhnya dan menanti panggilan daripada Cheng Hoe.

“Apa yang boleh saya katakan lutut kanan yang sebelum ini cedera sudah pulih sepenuhnya dan jika dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya, saya sedia memberikan komitmen 100 peratus.

Kredit: Goal.com

“Pada masa sama, saya amat teringin untuk menyertai skuad negara kerana belum berkesempatan beraksi di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe,” ujarnya lagi.

Cheng Hoe sebelum ini telah menguji beberapa gandingan pemain tengah sepanjang 8 perlawanan yang dilaluinya bersama skuad kebangsaan setelah dilantik Disember tahun lalu.

Antara pemain yang pernah diuji olehnya adalah Nazmi Faiz Mansor, Akram Mahinan, Azzizan Nordin, Nik Akif Syahiran dan terbaharu Syamer Kutty Abba serta Kenny Pallraj.

Begitupun, Nor Azam yang pernah membantu skuad B-23 meraih pingat perak Sukan SEA 2017 dan juga layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 masih belum beraksi di peringkat senior.

azam azih
Foto: PAHANG FA

“Sebelum ini jurulatih pernah menyenaraikan saya tapi disisihkan kerana cedera,” ujarnya yang pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan sebelum aksi menentang Mongolia, Mac lalu.

Nor Azam hanya tinggal satu peluang dan ‘talian hayat’ iaitu perlawanan pemanas badan menentang Maldives untuk memikat Cheng Hoe, bergantung juga sekiranya dia dipanggil nanti.

Perlawanan yang akan berlangsung pada 3 November depan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi medan ujian terakhir skuad Harimau Malaya sebelum beraksi di Piala AFF.

Skuad kebangsaan kemudian akan berangkat ke Phnom Penh bagi aksi sulung Piala AFF bertemu Kemboja pada 8 November.

Adakah Cheng Hoe akan menggunakan perlawanan terakhir ini untuk memberikan ‘talian hayat’ terakhir kepada beberapa pemain yang masih belum berjaya memikatnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram