AXA KVL M5: Ultimate FC Mudah Atasi Spirito FC 4-0

Pasukan pilihan, Ultimate FC merakamkan kemenangan kedua dalam saingan AXA KVL M5 selepas mudah menundukkan Spirito FC 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, malam semalam.

Ultimate FC yang turun tanpa penyerang berbisa, Phillip Abbah jelas tidak berdepan sebarang masalah bagi meraih kemenangan.

Ia dibuktikan apabila Ultimate FC begitu bersemangat melancarkan serangan dalam usaha membocori gawang Spirito FC yang dikawal Afiff Aizad Azman.

Ultimate FC tidak menunggu lama bagi memberikan ancaman buat Spirito apabila percubaan dalam kotak penalti pada minit kelima dari sebelah kiri pintu gol yang diledakkan Jacque Faye berjaya ditepis keluar Afiff.

Walaupun berdepan dengan pasukan pilihan, Spirito FC tidak memberikan laluan yang mudah buat Ultimate apabila sesekali melakukan gerakan berbahaya terutamanya menerusi Muhammed Jawo.

Usaha mereka bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan Ultimate FC.

Pertahanan Spirito FC, Adi Jazli (jersi kuning) cuba menghalang penyerang Ultimate FC daripada mendapat bola dalam aksi kumpulan A AXA KVL M5 malam semalam.

Serangan demi serangan yang dilancarkan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-20 apabila hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Spirito FC oleh Haikal yang terkena tiang gol terus menerjah gawang.

Jaringan tersebut nyata semakin menyemarakkan api perjuangan Ultimate FC yang kemudiannya menambah jaringan kedua pada minit ke-34.

Gol tersebut dihasilkan oleh Mohd Hafif Jazimin Harun yang bijak menggunakan kesempatan apabila melakukan sepakan lambung hasil hantaran silang dari rakan sepasukan ketika Afiff Aizad berada sedikit keluar dari posisi beliau untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Enam minit selepas aksi babak kedua bersambung, penyerang import, Chukwu Chijioke terus meletakkan Ultimate FC selesa hadapan.

Chijioke dengan tenang menanduk masuk bola selepas beliau menerima hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol lawan.

Serangan Ultimate FC yang semakin sukar dibendung hampir sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila sepakan percuma cantik yang diambil Mohd Fadhil Azmi berjaya dinafikan Afiff Aizad.

Ketika keputusan 3-0 dilihat akan kekal hingga tamat permainan, Jacque Faye yang tidak dikawal pertahanan Spirito FC dalam kotak penalti dengan mudah menolak bola untuk mengesahkan kemenangan 4-0 buat Ultimate FC.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Jacque Faye (Ultimate FC)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN