AXA KVL M5: Spirito FC Hukum Kelekaan PIB FC, Ikat 2-2

PIB mensia-siakan deretan peluang pada separuh masa kedua untuk memberikan peluang kepada Spirito FC mengikat 2-2 dalam perlawanan kumpulan A AXA KVL M5 yang berlangsung dalam hujan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) amlam semalam.

PIB – salah sebuah pasukan pilihan dalam liga ini – memulakan perlawanan dengan baik apabila sepakan penjuru mereka pada minit ke-8 hampir-hampir membuahkan gol. Bagaimanapun pertahanan Spirito sempat bertindak pantas untuk mengeluarkan bola dari garisan gol.

Di sebalik dominasi PIB, Spirito terlebih dahulu membuka jaringan. Pada minit ke-9’ sentuhan pertama Azad Khalil yang baik daripada hantaran cantik Muhtarr Bah membolehkan penyerang Spirito tersebut menewaskan penjaga gol PIB, Noor Hafiz dalam situasi 1v1.

PIB bagaimanapun tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan. 3 minit selepas gol Spirito, Ahmad Nazrin membuat larian cantik menewaskan 2 pertahanan Spirito di sayap kiri untuk membuat hantaran lintang. Hantaran lintang tersebut mencipta situasi panik dalam kotak penalti Spirito hingga membolehkan Satul Amri menjaringkan gol penyamaan.

Penyerang sayap PIB FC, Ahmad Nazrin (dua dari kiri) kerap memporak-perandakan pertahanan Spirito FC.

Terikat 1-1, Spirito jelas lebih berminat mengekalkan kedudukan dengan bertahan menggunakan garisan defensif rendah dan meminimumkan ruang di tengah untuk pemain PIB beroperasi.

Bagaimanapun kelonggaran man-marking pertahanan mereka membolehkan PIB untuk terus mencipta peluang. Pada minit 18’, Satul Amri yang tidak dikawal ketat menerima hantaran dan berlari melepasi Asyraf Omar untuk menjaringkan gol kedua PIB.

Dari segi serangan, jelas Muhtarr Bah merupakan enjin buat Spirito. Kekemasan hantaran, kreativiti dan mobiliti yang ditawarkannya beberapa kali menghadiahkan peluang gol buat rakan sepasukannya – seperti yang terjadi pada minit 21’. Bagaimanapun Azad Khalil gagal menggandakan jaringannya selepas menerima hantaran cantik Muhtarr.

Seperti Spirito, PIB juga menunjukkan tanda-tanda kelekaan. Pada minit 30’ Satul Amri melepasi kawalan bek kiri Spirito, Adi Jazli sebelum menghantar bola ke laluan Razren Jasni. Bagaimanapun Razren mensia-siakan peluang tersebut dengan menyepak bola ke arah langit.

Masuk separuh masa kedua, Razren sekali lagi gagal memanfaatkan peluang. Pada minit ke-40, beliau berjaya mengawal hantaran jauh dari tengah dengan baik untuk menewaskan pertahanan tengah Spirito. Tetapi percubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Zhafir Ashraf.

Aksi pertahanan Spirito FC (jersi kuning) mempertahankan kubu mereka daripada serangan PIB FC.

Plot perlawanan selepas itu lebih banyak berkisarkan kepada pembaziran demi pembaziran peluang yang dilakukan oleh jentera serangan PIB. Ketika Spirito nampak sudah ‘tiada angin’ untuk menyerang, PIB mempunyai 6 peluang keemasan untuk menambah gol – tetapi semuanya disia-siakan.

Hanya apabila Razren Jasni dibuang padang setelah melakukan bentesan kasar dan bertekak dengan pengadil, barulah Spirito mula menyerang. Usaha mereka membuahkan hasil apabila pertahanan PIB tertekan dengan serangan Spirito sehingga menghadiahkan penalti pada saat-saat terakhir kepada Spirito. Muhtarr Bah tampil menyempurnakan sepakan penalti dengan baik untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Secara jujurnya, Spirito boleh berasa gembira dengan keputusan 2-2 yang menyembunyikan hakikat sebenar dominasi PIB dalam perlawanan ini.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Satul Amri (PIB)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN