Quantcast

BERITA KOMUNITI

AXA KVL M5: Shah Alam Antlers Benam Ampang United 2-0 Di Halaman Sendiri

Shah Alam Antlers bangkit daripada kekalahan minggu lepas (tewas 0-2 kepada CNA FC) untuk mencatat kemenangan 2-0 menentang Ampang United dalam satu perlawanan AXA KVL M5 menarik yang berlangsung di Stadium MPAJ semalam.

Shah Alam Antlers yang sering membangkitkan aura persembahan terbaik daripada lawan mereka, ternyata perlu bekerja keras sebelum dapat menang. Walaupun setelah diberi pressing yang agresif oleh Antlers, Ampang United tetap berjaya menemui cara untuk melepasinya – terutamanya pada separuh masa pertama.

Ini terbukti pada 15 minit pertama perlawanan, jentera pertahanan Ampang United yang diketuai oleh Eneh Cletus hanya menghadkan Shah Alam Antlers kepada 1 percubaan sahaja. Mereka turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol ekoran kesukaran Antlers mengeluarkan bola dari kubu mereka dari sepakan sudut.

Pemain tengah Shah Alam Antlers, Okpe Solomon cuba melarikan bola dari jangkauan pemain Ampang United, Abdul Rahman Ismail. Foto: Asiana.my

Fizikal tinggi yang dimiliki oleh pemain import Ampang United, Eneh Cletus dan Reuben Dalliah ternyata sukar ditangani oleh Antlers. Sehinggakan pada satu ketika, pertahanan Antlers dilihat terpegang bola dengan tangan dalam kotak penalti sendiri. Bagaimanapun pengadil tidak memberikan penalti buat Ampang.

Pada minit 31’, tandukan Cletus daripada sepakan penjuru kiri berjaya menghasilkan gol buat Ampang. Tetapi pengadil tidak mengira gol tersebut kerana Cletus didakwa telah pun membuat kekasaran terlebih dahulu sebelum menjaringkan gol tersebut.

Penyerang tunggal Ampang United, Zarif Norzamry dan pemain tengahnya, Abdul Rahman turut beraksi baik. Kebolehan mereka melakukan link-up play pada pertengahan separuh masa pertama membuatkan Shah Alam Antlers terpaksa berkampung di kubu sendiri.

Tetapi Shah Alam Antlers terlebih dahulu membuka jaringan. Pada minit 34’, Faris Syazwan menerima hantaran dari tengah, menewaskan pertahanannya sebelum melepaskan rembatan rendah yang kencang untuk menewaskan penjaga gol Ampang United, Fadhil Ab Hamid.

Mendahului 1-0, selera Shah Alam Antlers untuk menyerang menjadi lebih besar. Baru seminit separuh masa kedua bermula, gelecekan baik dan hantaran lintang Salihan Jamil di sebelah kiri membolehkan Sherif Ahmed menerima bola di kotak penalti Ampang. Biarpun dikepung oleh 3 pertahanan Ampang, Sherif tetap berjaya melepaskan satu rembatan dengan kaki kirinya. Tetapi ia tidak tepat dan tersasar.

Pada minit 43’, Sherif Ahmed sekali lagi mempunyai peluang. Kali ini beliau berjaya merampas bola dari pertahanan Ampang United yang kelihatan semakin letih. Bagaimanapun ketika tiba detik membuat percubaan, rembatan penyerang dari Mesir kali ini pula lemah.

Penyerang Shah Alam Antlers, Sherif Ahmed (kiri, jersi putih) merupakan pemain yang kerap menghadirkan masalah buat Ampang United pada separuh masa kedua. Foto: Asiana.my

Jika pada separuh masa pertama Ampang United nampak boleh menyaingi kecergasan pemain-pemain Shah Alam Antlers, lain pula ceritanya pada separuh masa kedua. Antlers yang lebih bertenaga melancarkan serangan demi serangan ke kubu Ampang.

Bagaimanapun ketika rakan-rakan sepasukannya yang lain sudah layu, Eneh Cletus masih cergas. Kerap kali beliau berseorangan berjaya menghentikan serangan-serangan Antlers melalui tandukan, pintasan hantaran dan bentesan yang baik.

Tetapi bola sepak bukanlah sukan individu. Akhirnya pada minit 70’, Sherif Ahmed berjaya juga mendapat gol beliau. Sejurus selepas menerima hantaran dari tengah, sentuhan pertama yang baik membolehkan Sherif menewaskan Cletus sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua Antlers. Kemenangan 2-0 ini nyata menggembirakan kira-kira 100 penyokong Shah Alam Antlers yang datang ke Stadium MPAJ.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Sherif Ahmed (Shah Alam Antlers)