Quantcast

BERITA KOMUNITI

AXA KVL M5: Level Up Serah Kelebihan 2 Gol, Sekadar Seri 2-2 Dengan KL Gators

Level Up FC mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki ketika perlawanan hanya berbaki 5 minit untuk sekadar seri 2-2 dengan KL Gators dalam perlawanan menarik AXA KVL M5 di Stadium MPAJ.

KL Gators yang masih mengejar kemenangan pertama musim mereka memulakan perlawanan dengan mentaliti yang betul. Level Up yang sudah pun mengutip 2 kemenangan daripada 2 perlawanan sebelum ini, langsung tidak diberi ruang untuk bermain dek kerana pressing yang intensif daripada KL Gators.

Di sebalik pressing agresif yang dilakukan oleh KL Gators, kelebihan teknikal dan fizikal yang dimiliki oleh pemain Level Up membolehkan mereka mengawal perlawanan.

KL Gators pula menghadapi kesukaran menggerakkan bola ke zon final third kerana gagal melepasi Joshua Lee dan Aritz Zainal yang melakukan kerja cemerlang melindungi Sharran Raj dan Ashvin Kumar. Pada satu ketika, penyerang KL Gators, Kizito Somadina terpaksa turun sehingga ke kawasan padangnya sendiri untuk mengutip bola.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tanpa ada satu pun percubaan yang benar-benar menguji penjaga gol kedua-dua pasukan. Bagaimanapun pada minit 34’, semuanya berubah.

Berpunca daripada kerja keras Joshua Lee yang berjaya merampas bola di tengah, beliau melakukan dua pertukaran hantaran kemas dengan P. Ramanan dan Juan Badathuruge sebelum menghantar bola ke T. Subhramani yang kosong di kanan.

T. Subhramani kemudiannya membuat hantaran lintang rendah pantas yang gagal dikeluarkan oleh pertahanan KL Gators. Hantaran lintang Subhramani ini menemui kaki Badathuruge yang menampan masuk menewaskan penjaga gol KL Gators, Syed Adney untuk gol pembukaan Level up.

Pada separuh masa kedua, KL Gators yang dilatih oleh Toshiya Hosoe meneruskan pendekatan sama. Tetapi pemain-pemainnya gagal mengekalkan intensiti sama – barangkali kerana tidak mempunyai tahap kecergasan yang diperlukan untuk melakukan pressing lebih 35 minit.

Keadaan menjadi bertambah buruk buat KL Gators apabila pertahanan tengah mereka, Yohei Iwasaki dibuang padang oleh pengadil kerana menyiku Badathuruge pada minit 48’.

Kesempatan ini digunakan oleh Level Up untuk menyerang lawan mereka bertubi-tubi. Sharran Raj dan Ashvin Kumar yang sebelum ini bermain dengan garisan defensif yang rendah mula meninggikan garisan defensif mereka untuk membantu jentera serangan mereka memburu gol kedua. Tetapi kecekapan Syed Adney membantu KL Gators bertahan.

Kesungguhan Level Up bagaimanapun berhasil juga pada minit 66’. T. Subhramani – yang cemerlang sepanjang perlawanan – menemui ruang kosong di sebelah kanannya untuk membuat hantaran lintang ke laluan Juan Badathuruge yang tenang menjaringkan gol kedua Level Up.

Penyerang Level Up FC, Juan Badathuruge meraikan gol keduanya bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang KL Gators.

Ketinggalan 0-2 ketika perlawanan hanya berbaki 5 minit, Gators patut dipuji kerana tidak menyerah kalah. Barangkali menyerap semangat never-say-die jurulatihnya, pemain-pemain KL Gators mula melancarkan serangan direct dengan menggunakan kelebihan fizikal penyerang gantian, Razeen Khalid.

Taktik ini berjaya kerana seminit selepas Level Up menjaringkan gol kedua mereka, Kizito Somadina menjaringkan gol pertama KL Gators selepas mudah menanduk masuk hantaran lintang sebelah kanan.

Gol ini menyemarakkan lagi api semangat Gators yang memperolehi gol penyamaan 2 minit kemudian selepas hantaran Kizito mencipta situasi kelam kabut dalam kotak penalti Level Up. Cemas dengan apa yang berlaku di hadapannya, penjaga gol Level Up, T. Rajkumar melengkapkan malam kebangkitan Gators apabila tertampan bola ke gawang sendiri.

Pemain terbaik perlawanan: Kizito Somadina (KL Gators)