Aung Naing Dinobat Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Myanmar 2019

Aung Naing

Bekas penyerang import Perak, Aung Naing yang kini merupakan jurulatih pasukan Shan United telah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Myanmar, malam tadi.

Aung Naing, 52 tahun, menikmati musim sulung yang cemerlang selepas berjaya mengemudi Shan United menjuarai persaingan Liga Myanmar 2019 tanpa sebarang kekalahan.

Sekadar mencatatkan dua kemenangan dan tiga keputusan seri pada lima perlawanan terawal liga serta prestasi kurang baik dalam saingan Piala AFC, pihak pengurusan Shan United mengambil keputusan drastik dengan mengumumkan pemecatan pengendali terdahulu, Min Thu selepas aksi bertemu Persija Jakarta.

Aung Naing yang juga merupakan Pengarah Teknikal Shan United diberikan tanggungjawab untuk mengambil tugasan tersebut.

Langkah itu boleh dianggap satu keputusan tepat yang diambil Shah United selepas Aung Naing dan anak buah dilihat berjaya menyerap tekanan hebat diberikan Ayeyawady United dan Yangon United.

Keadaan tersebut membolehkan Shan United menamatkan persaingan di tangga teratas bagi memperoleh 46 mata susulan 12 kemenangan dan 10 keputusan seri yang diraih.

Mengimbau kembali karier beliau ketika bersama Perak, Aung Naing menjadi antara watak utama dalam membantu skuad ‘Yob’ menumpaskan Selangor 4-2 sekaligus muncul juara sulung Piala FA pada tahun 1990. Pada perlawanan di Stadium Merdeka itu, Aung Naing berjaya menjaringkan dua gol.

Kredit foto: Myanmar National League

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram