“Attitude” Tidak Betul Antara Punca Harimau Malaya Diratah UAE

Malaysia mudah tewas 0-4 kepada UAE dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 untuk meraih kemenangan ketiga mereka, sebentar tadi.

Perlawanan yang jelas dikawal oleh UAE dengan skuad Harimau Malaya gagal menghadirkan ancaman buat tuan rumah sepanjang perlawanan. Dua gol oleh Ali Mabkhout dan Fabio de Lima telah membolehkan mereka meraih kemenangan.

Di manakah silapnya sehingga cabaran pasukan negara dilihat begitu longlai sepanjang perlawanan?

Masalah attitude atau terlalu hormat lawan?

Di atas kertas, Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah pasukan terkuat di Kumpulan G. Di dalam ranking FIFA pasukan itu menduduki kedudukan ke-73 dunia. Sebagai perbandingan, Malaysia menduduki kedudukan ke-153 dunia.

Melihat kepada aksi barisan pemain Harimau Malaya pada malam tadi, timbul persoalan jika barisan pemain negara terlalu menghormati lawan? Di peringkat ini, perkara ini sepatutnya tidak timbul. Ini kerana siapa pun lawan yang dihadapi, objektif utama ialah untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki. Di dalam kes Malaysia, kita mahukan mata.

Liridon Krasniqi Guilherme de Paula Malaysia Baharain UAE 2021
FOTO: FAM

Bukan kerana terlalu menghormati lawan semata-mata, tetapi barisan pemain negara dilihat mempunyai masalah attitude di dalam perlawanan ini. Pemain bahagian tengah terdiri daripaa Liridon Krasniqi, Azam Azih, dan Syamer Kutty dilihat seperti tiada daya empati untuk memenangi bola.

Ini membuatkan bahagian pertahanan terdedah kepada ancaman serangan UAE. Bahagian tengah begitu longlai memainkan peranan mereka sehingga gagal membantu bahagian pertahanan. Apatah lagi untuk mengatur gerakan untuk menyerang dalam perlawanan yang kita semua tahu juga sukar. Dalam perlawanan penting sebegini, pemain sepatutnya masuk ke padang dengan sikap yang betul dan menampilkan intensiti tinggi untuk memenangi bola.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe boleh memberikan apa sahaja alasan untuk kekalahan memalukan ini, termasuk dari segi kuaiti dan tahap permainan yang dimiliki kedua-dua pasukan.

Apa pun alasan diberikan, ia tetap tidak boleh menyembunyikan hakikat kelemahan yang disebabkan oleh pemikiran pemain sendiri.

Syafiq Ahmad buktikan pengkritik salah

Ada sebab mengapa masalah attitude sebagai point pertama dalam artikel ini. Ini kerana Syafiq Ahmad yang dimasukkan oleh Tan Cheng Hoe pada babak kedua menunjukkan karakter berbeza dan kontra berbanding pemain yang bermula dari kesebelasan utama.

Sejak dimasukkan pada awal babak kedua perlawanan, kita boleh melihat sendiri mobiliti Syafiq yang sentiasa berada di merata padang (lihat heat map di bawah) untuk mendapatkan bola, melakukan pressing untuk menyukarkan lawan, selain sentiasa berusaha merampas bola secepat mungkin untuk mendapatkan penguasaan bola.

Kegagalan melakukan pressing dan membenarkan lawan terlalu selesa dengan bola merupakan punca utama gol pertama UAE. Pemain pertahanan UAE diberikan terlalu banyak masa dan ruang untuk ‘mengukur padang’ dan mecari sasaran sehingga mampu melakukan hantaran pembunuh dari bahagian bawah – sekaligus membocori gawang negara.

Pemilihan Syafiq Ahmad adalah antara yang dipersoalkan ramai sebelum ini. Minit perlawnan dijadikan alasan mengapa beliau tidak layak berada di dalam pasukan. Sebagai perbandingan, Azam Azih yang digantikan oleh Syafiq beraksi kesemua 12 perlawanan untuk Sri Pahang dan merekodkan 1068 minit aksi. Begitu juga dengan De Paula yang tampil dalam semua 12 perlawanan ketika masih bersama Perak FC.

Sekurang-kurangnya Syafiq berjaya menutup mulut pengkritik beliau di sini. Tidak seperti sebahagian pemain yang kelihatan seperti penumpang hampir sepanjang tempoh perlawanan, Syafiq tampil dengan attitude yang berbeza. Di peringkat antarabangsa tanpa attitude yang betul, mustahil untuk seseorang pemain memahami kehendak taktikal jurulatih dengan baik. Kerana di peringkat ini, pemain harus ‘all out’ terlebih dahulu, barulah perancangan jurulatih itu boleh dilakukan.

Naturalisasi jadi terlalu-sensasi

Kita tolak ke tepi dahulu barisan pemain warisan. Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menurunkan ketiga-tiga pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadao Sumareh dalam perlawanan ini. Hasilnya tidak seperti yang kita harapkan.

Maka timbul persoalan: Adakah mereka pemain yang benar-benar berbaloi digelar pemain naturalisasi, atau sekadar terlalu sensasi? Adakah mereka memiliki kualiti yang kita harapkan untuk meningkatkan keupayaan pasukan negara?

Body language De Paula dalam perlawanan ini misalnya, menimbulkan kebanyakkan penyokong. Adakala beliau keliharan terlalu santai, sehingga sekadar berjalan di atas padang, tidak berusaha untuk memenangi bola, terlalu mudah melepaskan bola, dan sentuhan juga tatkala peluang terhidang secara terbuka.

Statisktik Mohamadao Sumareh vs UAE. Sumber: SofaScore

Begitu juga Liridon Krasniqi. Ada masanya beliau terlalu drop deep sehingga menyukarkan transisi dari bertahan kepada serangan. Situasi ini menyebabkan beliau hilang bola sebanyak 16 kali. Tiada larian off the ball untuk membuka ruang dilakukan ketika perlawanan. Pendek kata, Liridon seperti berada di tempat yang tidak sepatutnya membuatkan beliau gagal membantu pasukan dengan efektif. Satu-satunya gerakan menarik dilakukan pemain kelahiran Kosovo ini ialah gerakan di kawasan penalti lawan yang disudahkan oleh percubaan Syafiq Ahmad Рtetapi sedikit tersasar.

Dalam perlawanan-perlawanan lalu, terutama pada 2019, Sumareh membuktikan mengapa dirinya layak bergelar pemain naturalisasi. Namun dalam perlawanan ini, Sumareh seperti juga Safawi Rasid – kedua-dua pemain sayap – juga mengecewakan. Hilang bola sebanyak 10 kali, tiada langsung percubaan ke arah gawang, dan tiada hantaran lintang tepat berjaya dilakukan menjadikan ini persembahan terburuk Sumareh.

Di peringkat ini pemain naturalisasi negara harus menyedari tujuan utama dan tanggungjawab mereka menyertai pasukan negara. Satu perkara pasti, lagak primadona mencari sensasi peribadi bukan tidak pernah berada dalam senarai tersebut.

Farizal cemerlang, benteng lemas

15 percubaan tepat dilakukan oleh barisan serangan UAE, lapan daripadanya diselamatkan oleh Farizal Marlias. Tiga lagi berjaya dihadang benteng pertahanan pasukan negara. Jika ada pemain outstanding di dalam perlawanan ini, maka beliau adalah Farizal Marlias.

Penjaga gol JDT ini sentiasa peka kepada ancaman oleh barisan serangan UAE, dan pantas keluar dari garisan gol untuk menyelamatkan beberapa percubaan, termasuk situasi satu lawan satu.

Ali Mabkhout Aidil Zafuan Farizal Malaysia UAE 2021
FOTO: VNExpress

Untuk komen yang adil, barisan pertahanan negara (back four) juga sebenarnya beraksi dengan baik. Dion Cools berjaya melakukan beberapa pintasan. Begitu juga dengan Matthew Davies dan Corbin Ong yang konsisten dengan aksi masing-masing di sebelah kiri dan kanan pertahanan negara.

Malaysia bagaimanapun bergelut untuk mengekang serangan balas lawan disebabkan kurangnya perlindungan daripada pemain tengah.

Fokus pemain yang menjadi semakin hilang pada lewat babak permainan membenarkan garisan tinggi pertahanan berjaya dilepasi dan ini memberikan habuan lumayan kepada pasukan lawan.

Rumusan

Malaysia tewas kepada UAE, tetapi ini tidak bermakna harapan pasukan negara untuk mara ke peringkat seterusnya sudah terpadam. Berbaki dua perlawanan seminggu dari sekarang, Malaysia wajib menewaskan Vietnam (11 Jun) dan juga Thailand (15 Jun).

Buat masa ini pasukan negara wajar dikritik. Tetapi ketahuilah bahawa harapan penyokong negara tidak pernah terpadam.

Cabaran Tan Cheng Hoe selaku jurulatih selepas ini juga semakin sukar. Bukan sahaja beliau perlu memperbaiki kelemahan yang ditampilkan, beliau juga perlu menghidupkan kembali bara dan api perjuangan yang hilang sebelum pasukan negara kembali beraksi nanti.

Ayuh Harimau Malaya. Bangkitlah dari lenamu!

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:

Selepas India & Jordan, Giliran Malaysia Pula Dijinakkan UAE

Perlu Bagi Lebih Ruang Buat Liridon Krasniqi Dan De Paula?

7 Perkara Mengenai Pertemuan UAE VS Malaysia Yang Perlu Anda Tahu

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply