Kisah Atalanta Yang ‘Garang’ Sejak Kehadiran Gian Piero Gasperini

Kerjasama Semuanya BOLA

Atalanta

Kebangkitan Atalanta menjadi antara pasukan pencabar kejuaraan Serie A sejak beberapa musim kebelakangan ini serta melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah 2019/20 jelas membuka mata pemerhati bola sepak dunia.

Hal ini kerana kelab yang berpangkalan di Bergamo, Itali itu sebelum ini hanyalah sebuah pasukan di kelompok pertengahan liga dan turut pernah tergelincir ke saingan Serie B sebanyak enam kali.

Kehadiran Gian Piero Gasperini ubah nasib

Bagaimanapun, langkah yang diambil pengurusan tertinggi Atalanta dengan membawa masuk Gian Piero Gasperini bagi menghadapi saingan musim 2016/17 nyata telah mengubah sepenuhnya nasib kelab tersebut.

Sebelum kehadiran Gasperini ke Gewiss Stadium [sebelum ini Stadio Di Bergamo], Atalanta yang kembali ke saingan Serie A 2011/12 tidak pernah berada di kedudukan 10 pasukan teratas liga.

Senario itu berubah dengan sekelip mata apabila Gasperini memulakan tugasan walaupun pada awalnya beliau berdepan tekanan hebat setelah tewas empat daripada lima perlawanan awal.

Atalanta pada ketika itu hanya mampu mencatatkan kemenangan ke atas Torino manakala tunduk kepada Lazio, Sampdoria, Cagliari dan Palermo sehingga menyebabkan Gasperini hampir dipecat susulan permulaan buruk tersebut.

Tidak mahu menerima nasib yang sama ketika beliau membimbing Inter Milan [dipecat selepas lima perlawanan], Gasperini menarik nafas lega apabila anak buahnya berjaya menundukkan Crotone 3-1 pada aksi keenam di gelanggang lawan.

Selepas daripada itu, Gasperini dan anak buahnya tidak memandang ke belakang untuk mengekalkan momentum cemerlang dengan mencatatkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan.

Lebih manis, skuad yang dikenali sebagai La Dea itu berupaya mengejutkan kelab-kelab gergasi seperti Inter Milan, Napoli dan AS Roma.

Musim pertama berada di bawah kendalian Gasperini, Atalanta berjaya menamatkan saingan 2016/17 di kedudukan keempat sekali gus melayakkan diri secara automatik ke Liga Europa musim berikutnya.

Beraksi dalam saingan Liga Europa 2017/18, Atalanta melangkah ke peringkat 32 selepas mengakhiri peringkat kumpulan di tangga teratas, namun perjalanan mereka terhenti di peringkat 32 apabila tunduk kepada Borussia Dortmund.

Kempen liga juga sedikit menampakkan penurunan selepas Atalanta menghuni tangga ketujuh hasil 16 kemenangan, 12 keputusan seri dan 10 kekalahan untuk mengumpul 60 mata.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih melayakkan Atalanta ke pusingan kelayakan UEL 2018/19 tetapi disingkirkan oleh wakil Denmark, FC København di peringkat kelayakan terakhir.

Embed from Getty Images

Dua musim seterusnya yang menakjubkan

Sedar terdapat perubahan terutamanya dalam rekrut pemain perlu dilakukan, Gasperini mengambil langkah dengan membawa masuk Duvan Zapata dan Marco Pasalic secara pinjaman dengan pilihan pembelian tetap.

Tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa kehadiran dua pemain tersebut adalah pelaburan yang berbalosi kerana mereka berjaya membentuk gandingan mantap bersama pemain utama lain seperti Alejandro Gomez dan Josip Illicic.

Ia dibuktikan setelah Zapata membuktikan beliau peledak berbisa yang diperlukan Atalanta susulan 23 jaringan diledakannya dalam kempen Serie A 2018/19 manakala Illicic dengan 12 gol serta Gomez menjaringkan tujuh gol.

Perkembangan positif itu juga telah merintis kepada penamat saingan yang cukup cemerlang apabila Atalanta berada di tangga ketiga. Kedudukan terbaik direkodkan sejak kelab tersebut mula menyertai saingan Serie A pada 1937.

Selain itu, Atalanta juga menjadi kelab yang paling banyak menjaringkan gol pada musim tersebut setelah berjaya menyumbat 77 jaringan, berkelebihan tiga gol berbanding Napoli.

Musim cemerlang itu juga diserikan lagi dengan kejayaan melayakkan diri ke pentas final Coppa Italia tetapi mereka dikecewakan Lazio dengan keputusan 0-2 hasil jaringan lewat permainan oleh Sergej Milinkovic-Savid dan Carlos Correa.

Gasperini dan pencari bakat Atalanta terus mengambil langkah bijak bagi menghadapi musim baharu yang lebih mencabar berikutan kemaraan ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20.

Mereka telah membawa masuk Luis Muriel dan Ruslan Malinovskyi bagi memperkuatkan jentera pasukan serta menjual pemain-pemain yang tidak sesuai dengan sistem diamalkan Gasperini seperti Franck Kessie, Bryan Christante dan Andrea Petagna.

Lebih menarik, ketiga-tiga pemain itu juga dijual dengan harga yang baik sekali gus dapat menyuntik dana dalam usaha membuka jalan kepada Atalanta yang baharu.

Seperti yang diketahui, Atalanta berjaya mencabar antara pencabar hebat buat Juventus dalam mengekalkan kejuaraan Serie A pada musim lalu dan hanya ketinggalan lima mata [tangga ketiga] di belakang juara sembilan musim berturut-turut itu.

Taktikal berkesan di samping kualiti penyudah tahap terbaik dimiliki para pemain, Atalanta sekali lagi menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam satu-satu musim.

98 gol yang diledakkan pada kempen musim lalu sudah cukup untuk menghadirkan rasa gerun pasukan lawan sekiranya berdepan dengan anak buah Gasperini tersebut

Luis Muriel dan Duvan Zapata bukan sahaja sama-sama merupakan pemain dari Colombia, malah mereka berdua turut berkongsi 18 jaringan. Illicic pula berupaya mencetak 15 jaringan manakala pemain pertahanan, Robin Gosens dan Pasalic masing-masing menjaringkan sembilan gol.

Dalam pada itu kejayaan Atalanta mara ke peringkat suku akhir UCL menjadi kisah indah buat kelab yang ditubuhkan pada tahun 1907 tersebut. Langsung tidak diberikan harapan oleh banyak pihak, Gasperini dan anak buahnya mengharungi saingan itu dengan cemerlang.

Berjaya menundukkan Valencia dengan aggregat 8-4 [peringkat 16], Atalanta hampir melakukan kejutan terbesar ke atas finalis, Paris Saint-Germain pada pada suku akhir.

Perlawanan di Lisbon itu menyaksikan Atalanta sudah mendahului PSG sehingga minit ke-90, tetapi mereka terpaksa menelan kepahitan susulan dua jaringan pada masa kecederaan dihasilkan oleh Marquinhos dan Maxis Choupo-Moting telah menghancurkan impian besar La Dea.

Embed from Getty Images

Taktikal berkesan Gasperini

Gasperini dilihat cenderung untuk menggunakan pendekatan formasi 3-4-2-1 dan manakala 3-4-1-2 digunakan sekiranya beliau menggandingkan Luis Muriel dan Duvan Zapata atau Illicic di bahagian serangan.

Seperti kebiasaan bermain dengan tiga pertahanan tengah, apabila menerima tekanan pasukan lawan dan memerlukan untuk bertahan di blok rendah, mereka akan membentuk lima pemain pertahanan.

Keadaan itu jelas menunjukkan bahawa dua pemain bek sayap, Robin Gosens dan Hans Hateboer perlu memainkan peranan penting dalam sistem ini.

Gasperini juga dilihat sebagai seorang pengurus yang tidak takut untuk mengambil risiko. Dari aspek bertahan, beliau mahu barisan pemain melakukan ‘man-marking’.

Ketika pasukan lawan memulakan serangan dari bawah, Gasperini menerapkan tekanan tinggi [high pressing] dengan tujuan untuk menghalang usaha gerakan lawan dari bawah sekali gus cuba untuk mendapatkan semula penguasaan bola.

Dalam pada itu, kualiti tinggi dimiliki Alejandro Gomez turut menjadi tunjang kepada keberkesanan taktikal ini terutamanya dalam memburu jaringan berbekalkan kepada kemahiran teknikalnya.

Gasperini turut mahukan jentera serangannya bergerak pantas ke hadapan untuk bermain ‘satu-dua’ serta memecah-belahkan pertahanan pasukan lawan.

Kredit featured image: Paolo Bruno/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Gian Piero Gasperini dan Atalanta:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram