‘Asyik-Asyik Casagrande’, Tomas Trucha Naik Jemu Persoalan Media

Tomas Trucha Casagrande Penang PJ City 2021

Sekali lagi Penang FC melepaskan peluang terbaik untuk mendaki carta Liga Super ke kedudukan lebih baik apabila terikat keputusan seri berdepan PJ City FC, malam tadi.

Perubahan pemain yang dilakukan oleh Tomas Trucha berjaya memberikan perubahan kepada Harimau Kumbang, namun tidak cukup untuk memberikan tiga mata dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ dan hanya mampu berkongsi satu mata.

Menyedari skuadnya kekurangan impak di depan, Tomas Trucha membuat pertukaran dengan memasukkan Sheriddin Boboev menggantikan pemain tengah, Danial Ashraf dan beliau dilihat bertindak di jentera serangan bersama Casagrande di babak kedua.

Namun, ia masih kurang membantu walaupun jaringan penyamaan berjaya dicetak oleh Casagrande pada minit ke-48. Sheriddin Boboev terlepas sekurang-kurangnya dua peluang untuk memberikan Penang kemenangan penting dalam perlawanan tersebut.

Ketika ditanya oleh media mengenai pandangannya tentang prestasi Casagrande, dengan nada agak kurang senang, Tomas Trucha berkata, “Saya tidak faham kenapa soalan ini perlu ditanya. Apa jawapan yang anda mahu dengar? Dia menjaringkan gol.”

“Dia pemain yang penting untuk kami. Dia menjaringkan gol, memegang bola di atas untuk kami dan mencipta peluang kepada pemain-pemain lain. Jadi, untuk kami, dia adalah pemain yang bagus,” tegas Tomas Trucha yang acapkali dilontar soalan yang sama tentang prestasi Casagrande walaupun penyerang itu berjaya meledak gol.

Dalam sembilan penampilannya musim ini, penyerang berusia 30 tahun itu telah meledak lima gol peribadi dan yang lebih mengagumkan, ia jelas lebih baik berbanding rekod jaringannya di Liga Super 2019 bersama Melaka United iaitu hanya dua gol.

Oleh itu, persoalan tentang prestasi Casagrande dilihat kurang sesuai kerana beliau tetap meledak gol walaupun bermula hambar – hanya mula mencipta jaringan selepas enam penampilan. Ramai menjangkakan prestasinya hanya baik di Liga Premier.

Bercakap tentang perlawanan, Tomas Trucha berkata, “Kita perlu menghargai di mana kita ketika ini kerana kita adalah pasukan baharu di Liga Super. Ya, kita menyukarkan diri sendiri [dengan satu lagi keputusan seri], tapi apa yang kita boleh katakan?”

“Di babak kedua kita mencuba. Kita mengawal perlawanan dan mencipta beberapa peluang. Tetapi, penyudah kita kurang tajam, itu yang kita perlu lihat semula. PJ City adalah pasukan yang bagus. Kami tidak layak untuk menang dengan aksi sebegini,” ungkapnya lagi sambil menyatakan yang mereka akan berusaha lagi selepas ini.

Penang terus kekal di kedudukan ke-4 liga dengan mengumpul 16 mata, satu mata di belakang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan dua mata di bekalang Terengganu FC.

KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC

Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC:

Liga Super: Terikat Dengan PJ City, Penang FC Sekali Lagi Lepas Peluang Daki Carta Liga

Janganlah Buat ‘Lecey’, Penyokong Penang Perlu Belajar Terima Teguran

Penang FC Menang, Tapi Tomas Trucha Tak Gembira

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN