Asal-Usul Identiti 18 Kelab J1 League Pada Musim 2016

Pada era sebelum penubuhan liga professional Jepun, kebanyakan kelab bola sepak Jepun terdiri daripada:

(a) kelab bola sepak universiti dan
(b) kelab bola sepak syarikat perindustrian

Pada mulanya kebanyakan kelab bola sepak syarikat perindustrian ditubuhkan untuk:

(a) tujuan rekreasi pekerja
(b) memantapkan lagi penjenamaan syarikat masing-masing.

Apabila sebuah liga amatur bernama Japanese Soccer League (JSL) diwujudkan pada 1965, ia disertai oleh banyak syarikat perindustrian dengan mengambil pekerja mereka sebagai pemain.

Maka tak hairanlah kebanyakan kelab J1 yang bakal bertanding pada musim 2016 nanti, berasal daripada pasukan syarikat perindustrian. Dalam artikel ini, kami senaraikan asal-usul identiti 18 kelab J1 League pada musim 2016.

1) Albirex Niigata

Asal-usul
Berbeza dengan majoriti kelab J1 yang berasal daripada syarikat perindustrian, Albirex Niigata berasal daripada sebuah kelab amatur untuk penduduk bandar Niigata pada tahun 1955 yang diberi nama, Kelab Bola Sepak Niigata 11.

Untuk menyertai J League, nama kelab ditukar kepada Albireo Niigata. Tetapi kerana masalah hak cipta, nama kelab ditukar sekali lagi kepada Albirex Niigata.

2) Avispa Fukuoka

Asal-usul
Nama asal Avispa Fukuoka adalah Chuo Bohan FC, sebuah kelab bola sepak yang diasaskan pada 1982 oleh pekerja syarikat sekuriti Chuo Bohan yang berpusat di Fujieda, Shizuoka.

Pada 1994, kelab ini memilih Fukuoka sebagai home base baru kerana menerima saingan sengit daripada Jubilo Iwata dan Shimizu S-Pulse di Shizuoka. Oleh itu, nama kelab ditukar kepada Avispa Fukuoka.

3) Gamba Osaka

Asal-usul
Gamba Osaka diasaskan pada 1980 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Elektrik Matsushita Sdn. Bhd (kini dipanggil Panasonic Corporation) di Nara (jiran Osaka) sebelum bertukar nama kepada Gamba Osaka pada 1993.

Pada awal penubuhannya, pemain mereka terdiri daripada bekas pemain pasukan B syarikat Yanmar Diesel, selepas Yanmar Diesel membubarkan pasukan B mereka.

Ironiknya pasukan A Yanmar Diesel yang sekarang dikenali sebagai Cerezo Osaka, kini bermain di J2 League.

4) Jubilo Iwata

Asal-usul
Jubilo Iwata berasal daripada pasukan bola sepak untuk syarikat Yamaha Motor Corporation yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan berpusat di bandar Iwata, Shizuoka.

Untuk menyertai J League pada 1993, Kelab Bola Sepak Yamaha Motor ini menukar nama mereka kepada Jubilo Iwata.

5) Kashima Antlers

Asal-usul
Kashima Antlers ditubuhkan pada 1947 sebagai Kelab Bola Sepak Kilang Industri Besi Sumitomo (kini dikenali sebagai Nippon Steel & Sumitomo Metal) di Osaka tetapi telah berpindah ke bandar Kashima, Ibaraki pada 1975.

Untuk menyertai J League pada 1993, nama kelab bola sepak ini ditukar kepada Kashima Antlers.

6) Kashiwa Reysol

Asal-usul
Kasiwa Reysol ditubuhkan pada 1940 sebagai Kelab Bola Sepak Hitachi Berhad di pekan Kodaira, Tokyo sebelum berpindah ke bandar Kashiwa, Chiba pada 1986.

Untuk menyertai J League pada 1993, nama kelab bola sepak ini ditukar kepada Kashiwa Reysol.

7) Kawasaki Frontale

Asal-usul
Kawasaki Frontale diasaskan pada 1955 sebagai kelab bola sepak untuk syarikat Fujitsu di bandar Kawasaki, Kanagawa.

Pada 1997, kelab bola sepak ini berubah status menjadi kelab bola sepak profesional. Nama kelab pun ditukar kepada Kawasaki Frontale.

8) Nagoya Grampus

Asal-usul
Nagoya Grampus diasaskan sebagai Kelab Bola Sepak Toyota Motor pada 1939 di bandar Nagoya, Aichi.

Untuk menyertai J League pada 1993, nama kelab bola sepak ini ditukar kepada Nagoya Grampus Eight.

9) Omiya Ardija

Asal-usul
Omiya Ardija diasaskan sebagai Kelab Bola Sepak Nippon Telegraph and Telephone (NTT) pada 1969 di bandar Omiya, Saitama.

Untuk menyertai J League pada 1993, nama kelab bola sepak ini ditukar kepada Omiya Ardija.

10) Sagan Tosu

Asal-usul
Pada asalnya Sagan Tosu dikenali sebagai kelab bola sepak untuk syarikat pendidikan dan motivasi dari Amerika Syarikat, PJM Futures di Shizuoka pada 1987.

Pada 1995, kelab ini berpindah ke pekan Tosu yang terletak di Pulau Kyushu dan menukar namanya kepada Tosu Futures.

Pada 1997, Tosu Futures hampir bankrap. Ia diambil alih dan diberi identiti baru, Sagan Tosu untuk melayakkan kelab menyertai J League.

11) Sanfrecce Hiroshima

Asal-usul
Sanfrecce Hiroshima ditubuhkan pada 1938 sebagai Kelab Bola Sepak Toyo Kogyo (yang kini dipanggil Mazda) yang berpusat di Hiroshima.

Untuk menyertai J League pada 1993, nama kelab bola sepak ini ditukar kepada Sanfrecce Hiroshima.

12) Shonan Bellmare

Asal-usul
Shonan Bellmare diasaskan pada 1968 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Estet Towa yang berpusat di bandar Nasu, Tochigi.

Apabila Syarikat Estet Towa dibeli oleh sebuah syarikat pembuat plastik Fujita Kogyo, nama kelab ditukar kepada Kelab Bola Sepak Fujita Kogyo dan mereka berpindah ke bandar Hiratsuka, Kanagawa.

Untuk menyertai J League pada 1993, Kelab Bola Sepak Fujita Kogyo bertukar nama kepada Shonan Bellmare.

13) FC Tokyo

Asal-usul
FC Tokyo bermula sebagai kelab bola sepak untuk syarikat Tokyo Gas pada 1935.

Untuk melayakkan diri menyertai J League pada 1993, Tokyo Gas menjemput syarikat elektrik TEPCO, syarikat kedai serbaguna ampm, TV Tokyo dan syarikat DVD, Culture Convenience Club untuk membentuk FC Tokyo.

14) Urawa Red Diamonds

Asal-usul
Ditubuhkan pada 1950 di bandar Kobe, Urawa Red Diamonds pada mulanya adalah kelab bola sepak untuk pekerja Syarikat Perindustrian Berat Shin-Mitsubishi (kini dikenali sebagai Mitusbishi Motors).

Apabila Mitsubishi berpindah ibu pejabat ke Tokyo pada 1958, kelab bola sepaknya turut berpindah ke Tokyo.

Untuk melayakkan diri menyertai J League pada 1993, Mitsubishi memilih bandar Urawa, Saitama sebagai home base. Nama kelab ditukar kepada Urawa Red Diamonds.

15) Vegalta Sendai

Asal-usul
Vegalta Sendai diasaskan pada 1988 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Elektrik Tohoku yang berpusat di bandar Sendai, Miyagi.

Untuk menyertai J League pada 1995, nama kelab mereka ditukar kepada Vegalta Sendai.

16) Ventforet Kofu

Asal-usul
Ventforet Kofu pada asalnya dikenali sebagai Kofu Club pada 1965, sebuah kelab bola sepak yang dianggotai oleh bekas pelajar Kofu Dai-ichi High School di bandar Kofu, Yamanashi.

Lama-kelamaan kelab ini mengambil pemain dari bekas pelajar sekolah lain untuk menyertai liga bola sepak amatur Jepun pada era 60-an.

Berbanding pasukan lain yang diasaskan oleh syarikat perindustrian, Ventforet Kofu adalah antara kelab bola sepak terawal di Jepun yang ditubuh secara sukarela dan dianggotai secara sukarela, tanpa gaji.

Untuk menyertai J League pada 1995, Kofu Club bertukar nama kepada Ventforet Kofu.

17) Vissel Kobe

Asal-usul
Vissel Kobe ditubuhkan pada 1966 sebagai kelab bola sepak untuk Syarikat Besi Kawasaki yang berpusat di bandar Kurashiki, Okayama.

Pada 1994, Syarikat Besi Kawasaki memilih bandar Kobe sebagai home base untuk melayakkan diri bertanding dalam J League. Mereka kemudiannya menukar nama pasukan kepada Vissel Kobe.

18) Yokohama F. Marinos

Asal-usul
Ditubuhkan pada 1972 sebagai kelab bola sepak untuk Nissan Motors yang berpusat di Yokohama.

Pada 1993, Kelab Bola Sepak Nissan Motors bertukar nama kepada Yokohama Marinos sebagai pra-syarat untuk menyertai J League.

Pada 1998 Yokohama Marinos menyerap kelab Yokohama Flugels yang dilanda masalah kewangan, menjadikan nama mereka Yokohama F. Marinos; sebagai simbol penyerapan identiti Yokohama Flugels dalam Yokohama Marinos.

Baca juga: Senarai 18 Stadium J1 League Yang Bakal Digunakan Pada Musim 2016

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN