Arteta Jamin Aubameyang Akan Kekal Menjelang Aksi Bertemu Man City

skysports-pierre-emerick-aubameyang_mikel-arteta

Pertembungan awal pagi nanti bukan sahaja mengenai Pep Guardiola dan Mikel Arteta, tetapi bagaimana kesan perbincangan kontrak baharu Pierre-Emerick Aubameyang.

Manchester City akan melayan kunjungan Arsenal di stadium kosong – Etihad untuk aksi pertama English Premier League (EPL) selepas 100 hari liga tertangguh akibat pandemik yang melanda seluruh dunia ketika ini – 453 ribu kematian sehingga kini.

Arsenal dalam kondisi terbaik

Mikel Arteta dipetik berkata di ESPN yang skuadnya tiada masalah kecederaan ataupun kecergasan menjelang pertembungan kedua-dua pasukan menjadikan Arsenal bakal turun dengan skuad terbaiknya sebagaimana sebelum liga tertangguh.

Arsenal menang lima daripada enam perlawanan terakhir sebelum liga ditangguhkan dengan kekalahan tersebut adalah kepada Olympiakos dalam pusingan 32 terbaik di saingan Europa League 2019/20 seterusnya tersingkir daripada kejohanan.

Namun, Arteta mengakui segalanya sedikit berlainan dengan aksi pertama ini bakal berlangsung selepas tiga minggu latihan di padang dan juga beberapa bulan latihan di rumah sambil mengakui beliau telah ‘belajar’ cara baharu untuk berkomunikasi.

“Menggunakan teknologi adalah antaranya. Ianya sukar untuk berkomunikasi dengan pemain, bercakap dengan mereka dan memahami mereka tanpa menyentuh dan melihat mereka secara berdepan,” ujar Arteta dalam laporan tersebut.

Biar ‘mereka’ buat tugas mereka

“Jadi, mari kita lihat sama ada kita telah melakukan tugas tersebut dengan baik atau tidak,” jelas Arteta mengenai sesi latihan sebelum ini dan pastinya cabaran adalah untuk memahami kehendak pemain terutama yang berada di tahun akhir kontrak.

Antara pemain yang ketika ini sedang dalam perbincangan kontrak baharu adalah penyerang sensasi, Aubameyang yang telah meledak 17 gol di saingan liga setakat ini – meledak empat gol dalam enam penampilan terakhirnya sebelum ini.

Baru-baru ini, Aubameyang telah dipetik berkata kepada Telefoot, “Hanya mereka yang mempunyai kuasa dan biarkan mereka melakukan tugas mereka [kontrak baharu].”

Sumber terdekat memaklumkan yang pemain Gabon itu mahukan kontrak yang kukuh dan meminta untuk kenaikkan gaji yang setara dengan pemain tengah, Mesut Ozil yang merupakan pemain bergaji besar di Arsenal – £350 ribu seminggu.

Arteta jamin Aubameyang akan kekal

Disamping itu, Arteta dalam temubual sebelum pertembungan dengan Manchester City memaklumkan yang tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu kontrak baharu Aubameyang dan juga pemain muda mereka, Bukayo Saka.

Menyatakan perkara itu ‘sangat penting’, pengurus berusia 38 tahun itu menjelaskan yang kedua-dua pemain tersebut penting dalam skuadnya dan berada dalam perancangan masa depannya sambil menegaskan kelab sedang berusaha keras.

“Kita telah banyak kali berbincang dengan Pierre, dengan keluarganya dan juga ejennya dan saya sangat positif yang kita akan menemui kata putus terbaik untuk kedua-dua pihak,” ujar Arteta mengenai situasi terkini perlanjutan kontrak Aubameyang.

“Dia perlu percaya yang kami boleh membawa kejayaan kepada kelab dengan cara yang kita mahukan dan dia merupakan ‘kunci’ kepada kejayaan tersebut,” tambahnya.

Penutup

Adakah Aubameyang akan terus menjadi The Gunners ataupun segalanya akan berakhir? Aksi awal pagi nanti akan memperlihatkan sedikit sebanyak kesan kepada perbincangan panjang Arsenal dan Aubameyang untuk persetujuan kontrak baharu.

Aubameyang jelas adalah tonggak penting buat Arsenal dan Arteta dengan pemain itu adalah penjaring terbanyak EPL musim lalu menerusi 22 gol. Penyelesaian terbaik adalah berikan kontrak yang beliau mahukan kerana ianya berbaloi!

KREDIT FEATURED IMAGE: SKYSPORTS

Baca lagi artikel mengenai Pierre-Emerick Aubameyang:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply