Arsene Wenger Gembira Dengan Aksi Yang Dipamerkan Oleh Henrikh Mkhitaryan

Henrikh Mkhitaryan

Pemain antarabangsa Armenia, Henrikh Mkhitaryan terus mempamerkan aksi meyakinkan dengan menghasilkan satu bantuan jaringan buat Arsenal ketika bertemu Ostersunds FK yang menyaksikan The Gunners menang 3-0.

Pemain berusia 29 tahun ini juga turut terlibat dengan jaringan kedua Arsenal selepas serangan yang dilancarkannya terkena pemain pertahanan Ostersunds FK, Sotirios Papagiannopoulos lalu menerjah ke gawangnya sendiri.

Dengan prestasi baik yang ditampilkan, Arsene Wenger memuji anak buahnya itu selepas menjadi antara tonggak yang membantu Arsenal menang pada perlawanan yang berlangsung di Sweden itu.

”Dia (Mkhitaryan) bekerja dengan begitu keras, saya rasa ini adalah persembahan yang positif darinya,” kata Wenger mengulas mengenai tonggak barunya yang menghasilkan bantuan jaringan kepada jaringan ketiga dari Mesut Ozil.

”Dia dengan perlahan-lahan berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan. Aksi yang dipamerkannya begitu positif.”

Mkhitaryan yang bergelut untuk beraksi cemerlang pada pertengahan kariernya bersama Manchester United musim ini menjadi pertukaran kepada perpindahan Alexis Sanchez ke Old Trafford pada penghujung bulan Januari yang lalu.

Henrikh Mkhitaryan hanya memerlukan 243 minit masa permainan untuk memperolehi lima bantuan jaringan buat Arsenal setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Mkhitaryan tidak melihat perlawanan kedua bertemu Ostersunds FK di Stadium Emirates (23 Februari) perlu dipandang ringan setelah bayangan kemungkinan Arsene Wenger akan menurunkan pemain simpanan bagi persiapan perlawanan akhir Piala Carabao bertemu Manchester City pada 26 Februari nanti.

”Kami perlu menang pada setiap perlawanan untuk meningkatkan keyakinan dan menikmati kejayaan yang lebih baik.”

”Ia tidak penting bagi sesiapa sahaja yang akan diturunkan pada perlawanan kedua, ya, kami akan menghadapi perlawanan akhir tetapi saya rasa, kami perlu beraksi dengan pasukan yang sama dan memenangi perlawanan di tempat sendiri (bertemu Ostersunds FK).”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram