Arsenal Akan Terus Bayar Gaji Staf Sehingga Penghujung Mei

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal tidak akan menggunakan skim pengekalan pekerjaan kerajaan dan akan terus membayar gaji penuh semua staf dan pekerja am mereka sehingga hujung bulan Mei.

Liga elit itu setakat ini telah digantung sehingga 30 April ekoran pandemik Covid-19 dan kelab dari utara London itu memberi jaminan mereka komited untuk terus membayar gaji pekerja mereka.

“Semua pekerja kami akan menerima gaji penuh dan ia akan diteruskan seperti mana perancangan kami. Ketika ini kami tiada sebarang niat untuk menggunakan skim pengekalan pekerjaan dari kerajaan itu,” kata Arsenal dalam kenyataan rasminya.

“Sebagai tambahan untuk pekerja kami, kami akan memberi komitmen untuk membayar gaji mereka seperti biasa untuk bulan April dan juga Mei.

“Untuk pekerja am hari perlawanan, bermakna mereka akan tetap dibayar untuk empat perlawanan EPL yang telah ditangguh dan akan dibayar sekali lagi apabila perlawanan tersebut diatur semula.”

Sebahagian kelab EPL sebelum ini mengesahkan telah memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka dan memohon skim pengekalan yang memerlukan kerajaan membayat 80 peratus daripada nilai gaji mereka.

Bagaimanapun Liverpool, Tottenham Hotspur dan Bournemouth telah menarik balik keputusan tersebut selepas mendapat kutukan dan kecaman termasuk daripada penyokong mereka sendiri.

Arsenal mengnatkan mereka akan mengadakan perbincangan dengan pemain-pemainnya mengenai isu kewangan kelab, namun sehingga kini masih belum ada sebarang persetujuan dicapai.

Minggu lepas, West Ham United dan Southampton telah mengumumkan pemotongan gaji pemain mereka selepas pasukan masing-masing menerima impak kewangan yang besar sepanjang krisis pendemik ini.

Dengan sebahagian daripada pemain EPL menerima gaji mingguan jauh lebih tinggi daripada purata gaji tahunan rakyat di United Kingdom dan keputusan beberapa pasukan untuk menjadikan pekerja bawahan sebagai ‘mangsa’ ternyata tidak disenangi oleh pelbagai pihak.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Arsenal dan isu gaji kelab EPL:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply