Arrigo Sacchi: Dari Jurujual Kasut Kepada Pengurus Pasukan Lagenda

“Satu perkara yang saya perasan dalam semua pasukan besar yang berjaya adalah mereka sentiasa cuba mendominasi lawan mereka dan mengawal segala aspek permainan di atas padang. Itulah matlamat saya bila saya menjadi jurulatih. Tetapi matlamat utama saya adalah membuatkan pemain saya gembira di atas padang.”

 
Pada lewat tahun 80-an hingga awal 90-an, pemain dan peminat AC Milan mempunyai banyak sebab untuk bergembira hasil kerja ajaib seorang bekas jurujual kasut dari wilayah Fusignano, Itali. Aarigo Sacchi tidak pernah bermain bola sepak secara profesional dan mempunyai pengalaman yang terhad sebagai jurulatih, tetapi bertanggungjawab mencipta salah sebuah pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak di AC Milan.

Pada era bola sepak Itali didominasi falsafah bola sepak catenaccio (yang didokong oleh Helenio Herrera di Internazionale pada era 60-an) dan libero adalah pemain paling penting dalam pasukan, Sacchi melawan arus dengan memperkenalkan sistem permainan menyerang yang menekankan pressing dan positioning play berdasarkan formasi 4-4-2.

Sebelum AC Milan

 
Arrigo Sacchi memulakan karier kejurulatihannya di beberapa kelab amatur. Beliau sendiri tidak pandai bermain bola sepak sehingga tidak layak mewakili kelab bola sepak kampungnya, Barraca Lugo. Bak kata pepatah Inggeris: if you can’t play it, you might as well teach it. Sacchi mengambil kerja sambilan menjadi pembantu jurulatih sambil bekerja di kedai kasut bapanya.

Perkembangannya sebagai jurulatih sentiasa meningkat apabila beliau sentiasa mendapat tawaran menjadi jurulatih dari kelab-kelab semi-pro yang lain. Tetapi semuanya bermula dari kejayaannya membawa Rimini menjadi naib juara liga divisyen ke-3 (Serie C1) Itali. Dari Rimini, Sacchi dilamar Fiorentina untuk menjadi ketua jurulatih skuad bawah 18 tahun Fiorentina.

Selepas melatih skuad bawah 18 tahun Fiorentina, Sacchi kembali ke liga divisyen ke-3 Itali untuk menjadi pengurus pasukan Parma. Beliau membawa Parma ke liga divisyen ke-2 (Serie B) pada musim sulungnya. Kemudian pada tahun berikutnya, beliau membawa Parma ke kedudukan ke-7 liga, hanya terpisah 3 mata dari play-off promotion ke Serie A.

Tetapi, pencapaian terbaiknya di Parma adalah dalam Coppa Italia 1987 apabila Parma menewaskan AC Milan dua kali di peringkat kumpulan dan peringkat 16 pasukan terakhir. Silvio Berlusconi yang ketika itu baru mengambil alih AC Milan tertarik untuk membawa Sacchi masuk ke AC Milan dan menawarkan kontrak setahun untuk jawatan pengurus AC Milan musim 1987-1988.

alb4_1989

Mencipta legasi di AC Milan

 
Ketibaan Arrigo Sacchi di AC Milan disambut dengan mood skeptikal oleh media Itali. Kredibiliti Sacchi dipersoalkan sehingga ada wartawan yang menulis:

“Entah-entah Silvio Berlusconi lagi pandai bermain bola sepak dari Sacchi”.

sacchi

Sacchi kemudiannya membalas:

“Saya tak tahu pun anda perlu jadi kuda untuk menjadi pelatih kuda”.

Sacchi membalas kritikan media dengan menghadiahkan kejuaraan Serie A pertama (selepas kemarau 9 tahun) dan kejuaraan Italian Supercup. Pada tahun berikutnya (1989), AC Milan menjadi juara Eropah dengan menewaskan Steaua Bucureşti 4-0 dan menduduki tangga ke-3 liga.

img-arrigo-sacchi-le-collectif-est-meilleur-que-l-individu-1367239676_y500_articles-169071

Pada tahun 1990, AC Milan menjadi satu-satunya pasukan dalam sejarah European Cup (sekarang Champions League) sejak 1980 yang mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Benfica 1-0. Di liga, mereka menduduki tangga ke-2.

5444820025_3f6a27e8a9_o

Pada musim terakhirnya bersama skuad Rossoneri (1991), Sacchi membawa pasukan kendaliannya ke tangga ke-2 liga, suku akhir European Cup dan separuh akhir Coppa Italia. Sacchi kemudiannya meletakkan jawatannya kerana ‘sudah penat dan mahu berehat’. Beliau diganti Fabio Capello.

Taktikal di AC Milan

 
Perkara paling menarik tentang Arrigo Sacchi adalah teknik latihannya yang inovatif dan unik. Dalam satu laporan media Sepanyol, Real Madrid menghantar spy ke sesi latihan AC Milan menjelang pertemuan mereka di separuh akhir European Cup 1989 tetapi spy mereka kembali ke Madrid dengan tangan kosong selepas tidak memahami apa kejadahnya yang Sacchi buat di sesi latihan. AC Milan menewaskan Real Madrid 5-0 di San Siro selepas seri 1-1 di Bernabeu. Mind you, ketika itu Real Madrid yang dibarisi Hugo Sanchez, Fernando Hierro, Bernd Schuster dan Emilio Butragueño merupakan kelab terbaik di Eropah ketika itu.

Di sesi latihan, salah satu sesi latihan Sacchi yang terkenal adalah di mana Sacchi menanam 6 bendera di tengah padang dan menyuruh pemainnya menyusun posisi mereka dengan mengandaikan bendera tersebut adalah bola. Beliau akan memberi simulasi situasi bola dengan suaranya dan membetulkan posisi pemainnya seperti yang beliau mahukan. Sesi latihan ini terkenal dengan nama shadow play.

20130823-150303

GcNLds

Sacchi gemarkan pasukannya melakukan pressing dengan mengecilkan ruang pemain lawan beroperasi, bukannya merampas bola terus. Beliau pernah berkata:

“Berlari dan bekerja keras merampas bola itu bukan pressing namanya. Pressing yang sebenar adalah mengecilkan ruang pemain lawan beroperasi. Ia perlu dilakuakn dengan kerjasama 11 pemain. Saya mahukan 11 pemain saya berada di posisi aktif, dan cuba mempengaruhi keputusan pemain lawan apabila kami kehilangan bola”.

kxsQA4

Pasukan kendalian Sacchi sentiasa kompak, bergerak dalam satu unit dan sangat terlatih. Beliau sentiasa memastikan jarak antara barisan pertahanan dan serangan tidak melebihi 25 meter. Menurut Sacchi, setiap pemain mempunyai 4 titik rujukan untuk membetulkan posisi badannya ketika pasukan kehilangan bola iaitu; bola, ruang, kedudukan pemain lawan dan kedudukan rakan sepasukan. Setiap pergerakan di atas padang perlu bersandarkan 4 titik rujukan tersebut.

“Saya sentiasa memberitahu pemain saya, jika kita mengekalkan jarak kurang 25 meter antara barisan pertahanan dengan penyerang, tiada pasukan yang akan dapat menewaskan kita”.

Perangkap ofsaid yang agresif membuatkan pasukan lawan sukar mengeksploit ruang besar di belakang Franco Baresi dan Alessandro Costacurta. Ruang yang kecil antara pertahanan, tengah dan penyerang mereka bermakna pasukan lawan sukar untuk bermain short pass di tengah padang. Ini membuatkan pemain Sacchi tidak perlu mengeluarkan banyak tenaga untuk merampas bola dan tidak cepat penat.

 0L-y3P

Pasukan Atletico Madrid kendalian Diego Simeone adalah antara pewaris sistem Sacchi ketika ini. Cuma Simeone mengambil pendekatan lebih pragmatik (bermain deep jika pasukan lawan mempunyai penyerang yang laju) berbanding Sacchi yang sangat agresif perangkap ofsaidnya tanpa mengira kelajuan larian penyerang lawan yang boleh memecah perangkap ofsaidnya.

Pemain-pemain AC Milan era Arrigo Sacchi

 
Ketika ditanya oleh wartawan Sky Sports antara Ruud Gullit dan Marco van Basten manakah pemain kegemaran beliau, Sacchi menjawab:

“Van Basten adalah penyerang yang hebat, tetapi dia hanya aising kepada kek. Ahli pasukannya yang lain adalah kek manakala van Basten adalah aisingnya. Bagi saya, Gullit sangat penting bagi pasukan saya kerana beliau mempunyai karakter yang kuat. Beliau merupakan pemimpin di dalam dan luar padang.”

scan11468ks3

Walaupun dalam kertas Milan dilihat seperti bermain 4-4-2, hakikatnya mereka bermain seakan-akan ‘lopsided 4-3-3’ dengan Roberto Donadoni bertindak sebagai pemain sayap tradisional di sebelah kanan dan Angelo Colombo bermain seperti extra central midfielder di sebelah kiri. Carlo Ancelotti berpasangan dengan Frank Rijkaard di tengah padang, dengan jentera serangan yang diketuai oleh pasangan Belanda; Gullit dan van Basten (dan Pietro Paolo Virdis).

milan-1989_posicionamento-1

Di bahagian pertahanan, Mauro Tassotti, Franco Baresi, Alessandro Costacurta dan Paolo Maldini menguatkan barisan pertahanan. Keempat-empat mereka selesa memegang bola dan pada masa yang sama, kental bertahan.

Selepas AC Milan

 
Selepas perletakkan jawatannya di AC Milan, Arrigo Sacchi memimpin pasukan kebangsaan Itali sehingga ke final Piala Dunia 1994 untuk menentang Brazil. Itali tumpas penentuan sepakan penalti dengan sepakan melambung Roberto Baggio yang terkenal menghancurkan harapan mereka di final.

tumblr_lufeboh3uf1qfxktpo1_500

Kemudian pada 1996, Sacchi kembali melatih skuad Rossoneri tetapi gagal mencapai kejayaan lepasnya. Kemudian beliau melatih Atletico Madrid pada 1998 sebelum mengambil tawaran bekerja sebagai Director of Football di Real Madrid untuk musim 2004-2005. Beliau kemudiannya bersara dari bola sepak pada 2005.

Walaupun beliau gagal mengulangi pencapaiannya, Sacchi sentiasa diingati oleh peminat bola sepak kerana kejayaannya membentuk legasi di AC Milan yang penuh dengan trofi dan pemain-pemain hebat. Sebagai bukti kehebatannya lagi, Fabio Capello memenangi 4 kejuaraan liga Serie A hanya dengan mengekalkan formasi dan sistem permainan yang diterapkan Sacchi – dengan hanya sedikit perubahan dalam sesi latihan.

Kesimpulan

 
alb49_1988

Kejayaan Arrigo Sacchi mengajar kita satu perkara: jika anda berusaha keras dan rajin memperbaiki diri sendiri, anda boleh berjaya. Walaupun anda tidak pandai bermain bola. Walaupun anda tak pernah mewakili pasukan bola sepak sekolah anda. Walaupun anda tidak pernah bermain bola sepak professional. Walaupun anda lebih muda berbanding pemain yang anda latih. Jika anda mempunyai work ethic yang hebat, anda boleh mengubah nasib hidup anda – daripada menjadi seorang jurujual kasut kepada pengurus pasukan bola sepak yang bersejarah.

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram