Arif Aiman, Pemain Muda Tempatan Yang Telah ‘Tolak’ Cabrera Ke Tepi

Arif Aiman JDT 2021 ACL pemain tempatan Cabrera

Baru berusia 19 tahun, Arif Aiman Hanapi telah berjaya mengetepikan pemain import kelahiran Argentina yang sudah beberapa musim beraksi di JDT, Gonzalo Cabrera.

Bukan sahaja tidak beraksi, malah Cabrera juga tidak dibawa ke Bangkok, Thailand untuk saingan AFC Champions League (ACL). Ini merupakan saingan tertinggi di Asia dan apa jua alasan lain, Arif Aiman sebenarnya telah berjaya mengetepikannya.

Adakah persepsi kehadiran pemain import mengehadkan peluang pemain tempatan untuk turun beraksi dalam sesebuah pasukan di Liga Malaysia adalah benar?

Tersenarainya Arif Aiman dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi menentang Nagoya Grampus malam tadi memberikan jawapan yang sebaliknya. Beliau bermain di posisi dan koridor yang biasanya digerakkan oleh Cabrera.

Sebelum ini ada persepsi kehadiran pemain import akan menyebabkan pemain tempatan terabai. Jelas, di JDT, kelab terbesar di Malaysia, ia tidak berlaku. Mereka juga menggunakan khidmat jurulatih import, Benjamin Mora. Jadi apa lagi alasan?

Mora ada menyatakan tersisihnya Cabrera adalah disebabkan hanya empat pemain import dibenarkan untuk didaftarkan. Mora memilih untuk mengukuhkan bentengnya untuk berdepan kelab-kelab terbaik di Asia dengan pemain import, Shane Lowry.

Gandingan Mauricio dan Lowry telah digunakan oleh Mora dalam perlawanan pertama berdepan wakil Jepun, Nagoya Grampus dan jelas mereka telah berjaya memberikan saingan. Namun, mereka tampak kehilangan pula kreativiti di jentera tengah.

JDT dibolosi atas sebab kehilangan fokus seketika dan pemain tengah, Hiroyuki Abe memanfaatkannya untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-60. Selebihnya, kelab yang menduduki kedudukan ke-3 saingan J-League itu gagal menembusi gol JDT.

Kembali kepada Arif Aiman, beliau bukan sahaja mengetepikan Cabrera, malah pemain skuad negara seperti Akhyar Rashid juga telah tertewas dengannya. Keyakinan Mora terhadapnya mencerminkan betapa JDT menghargai bakat muda yang mereka miliki.

Walaupun mereka mengatakan yang Cabrera tersisih disebabkan kouta import, namun, jika mereka risaukan tentang itu, mereka boleh korbankan Leandro Velazquez di tengah yang mereka miliki pemain seperti Nazmi Faiz untuk kukuhkannya.

Cabrera adalah tunjang kekuatan dan kreativiti buat JDT, tetapi mereka yakin untuk memberikan Arif Aiman peluang terbesar dalam karier bola sepaknya. Baru-baru ini bersama skuad negara juga, beliau telah berjaya mencuri tumpuan ramai.

Jadi, bukanlah ia semata-mata tentang kouta pemain import sahaja, malah bakatnya sangat dihargai oleh Mora. Keyakinan jurulatih import kepadanya memberikan petanda yang pemain tempatan juga mampu bersaing rapat dengan pemain import.

Dalam aksi malam tadi, Arif Aiman diberikan 75 minit masa bermain dan telah menampilkan aksi membanggakan. Beliau menang lima daripada lapan perebutan bola, membuat satu key passes, serta satu percubaan tepat ke gawang lawan.

JDT akan turun menentang wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC pada 25 Jun ini untuk aksi kedua kumpulan. Ini merupakan peluang buat Arif Aiman untuk sekali lagi menampilkan sentuhan baiknya bagi membantu JDT meraih kemenangan.

Baca lagi artikel lain mengenai Arif Aiman dan Gonzalo Cabrera:

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Benjamin Mora Beri Sebab Gonzalo Cabrera Disisih Untuk Saingan ACL

Arif Aiman Buat Pilihan Tepat Pilih JDT, Kini Digelar ‘Revolusi Harimau Selatan’

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply