Argentina Keciciran Mata Sekali Lagi Diikat 1-1 Oleh Venezuela Pula

Argentina tercicir 4 mata daripada 6 yang ditawarkan dalam kelayakan Piala Dunia dalam tempoh kurang seminggu.

Dalam perlawanan ini, Argentina terpaksa mengharapkan ‘ihsan’ gol sendiri oleh Rolf Feltscher selepas Jhon Murillo memberikan pasukan pelawat gol pendahuluan.

Mereka mendominasi perlawanan tetapi gagal untuk menemui gol. 71% penguasaan bola dengan 21 cubaan ke arah gol dilakukan Argentina.

Tetapi hanya 6 sahaja yang tepat. Venezuela hanya ada 7 cubaan gol dengan 2 cubaan tepat sahaja. Angel Di Maria diusung keluar padang kerana masalah kecederaan hamstring.

Argentina meminta sepakan penalti pada minit ke-60. Namun pengadil tidak mengendahkannya. Pada minit terakhir, Javier Pastore hampir memberikan gol kemenangan kepada Argentina namun cubaan beliau diselamatkan.

Kini Argentina masih berada di tangga ke-5 dan baki perlawanan kelayakan masih ada 2 perlawanan sahaja lagi.

Apa lagi yang tidak dilakukan Argentina dalam memperbaiki prestasi mereka? Mereka meminta agar Lionel Messi kembali daripada persaraan selepas aksi lemah mereka.

Mereka kemudiannya melantik salah seorang jurulatih terbaik di liga utama Eropah, Jorge Sampaoli yang dikenali dengan pengurusan taktikal bola sepak beliau.

Melihatkan deretan nama bintang di dalam pasukan Argentina, walaupun tidak berada di tangga teratas dalam kelayakan, berada di 4 teratas sepatutnya bukan masalah.

Kemenangan Peru ke atas Ecuador membolehkan mereka memintas Argentina dan Chile untuk berada di tangga ke-4.

2 perlawanan terakhir akhir Argentina akan berhadapan dengan Peru dan kemudian Ecuador.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram