Apakah Pendorong Utama Lukaku Kembali Sertai Chelsea?

Chelsea telah mengesahkan Romelu Lukaku kembali menyertai kelab London itu dengan nilai perpindahan €115 juta.

Penyerang antarabangsa Belgium itu telah bersetuju dengan kontrak selama lima tahun bernilai sekitar €12-13 setahun atau bersamaan dengan pendapatan €195,000 seminggu. Ia akan menjadikan Lukaku sebagai pemain dengan gaji termahal di Stamford Bridge.

Pemain berusia 28 tahun itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Itali pada Isnin lalu sebelum terbang ke Nice di mana ejennya mengumumkan kerjasama di antara kedua-dua pihak sehingga 2023.

Terlepas perlawanan UEFA Super Cup menentang Villareal, Lukaku hanya akan beraksi untuk Chelsea pada perlawanan kedua musim baharu Premier League.

Selepas disahkan sebagai pemain Chelsea, Lukaku berkata: “Saya gembira dan bersyukur kerana dapat kembali menyertai kelab hebat ini. Ia perjalanan yang sungguh panjang buat saya: Saya tiba di sini sebagai budak baru belajar, dan kini kembali di sini sebagai seorang pemain yang lebih matang.

“Hubungan saya dengan pihak kelab seperti yang anda semua tahu, amat bermakna buat saya. Saya adalah penyokong Chelsea sejak kanak-kanak, dan sekarang kembali untuk membantu kelab ini memenangi lebih banyak kejuaraan.

“Sejak saya meninggalkan Chelsea, ia adalah perjalanan yang jauh, adakalanya di atas, adakalanya di bawah. Tetapi pengalaman itu membuatkan saya lebih kuat dan cabaran utama sekarang ialah untuk membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi.

“Saya sudah tidak sabar untuk bermula dan membantu kelab meraih lebih banyak kejayaan.”

Mengapa Lukaku begitu mahu pulang ke Chelsea?

Lukaku sebenarnya tidak mempunyai masalah di Itali. Malah beliau sebenarnya lebih gembira ketika bersama Inter Milan dan beraksi di Serie A, dan lebih dihargai di sana berbanding ketika beliau beraksi di Premier League sebelum ini.

Malah pemergian pengurus pasukan, Antonio Conte tidak menjejaskan kedudukan dan hubungan Lukaku bersama Inter.

Tetapi jika ada satu kelab lain di Premier League yang boleh meyakinkan Lukaku kembali ke England, ia haruslah Chelsea. Minat mendalam yang ditunjukkan kelab itu cukup untuk meyakinkan Lukaku.

Lukaku hanya beraksi sebanyak 15 perlawanan untuk Chelsea di antara tahun 2011-2014, sejak melengkapkan perpindahan bernilai £18 dari Anderlecht.

Impian beliau yang tidak pernah tertunai sehingga kini ialah untuk beraksi setanding atau lebih baik daripada apa yang pernah ditampilkan penyerang legenda The Blues, Didier Drogba.

Bekas penyerang antarabangsa Ivory Coast itu kekal sebagai idola kepada Lukaku sehingga ke hari ini. Kepulangan kedua ke Stamford Bridge memberi peluang untuk Lukaku berbuat demikian.

Lukaku tidak akan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan Premier League. Beliau juga memiliki rekod menakjubkan sebelum ini dengan 113 gol dari 252 perlawanan ketika bersama Chelsea, West Brom, Everton dan Manchester United.

Lukaku juga bukanlah asing di Chelsea, dan boleh dikatakan biasa dengan persekitaran di kelab London itu.

Mengapa Inter sanggup lepaskan Lukaku?

Inter Mla masih bergelut dengan masalah kewangan walaupun sudah menjual Achraf Hakimi kepada Paris Saint-Germain pada harga €60 juta.

Setakat ini Oaktree Caiptal Management yang sebelum ini bersetuju untuk melabur sebanyak €275 juta kepada Serie A hanya telah membayar 20% jumlah yang dijanjikan.

Jumlah gaji terkumpul di Inter masih lagi menjadi isu utama, dan Inter harus mengurangkan 15% – 20% yang mereka bayar untuk pendapatan pemain untuk menyeimbangkan kewangan mereka.

Kedudukan kewangan Inter tidak akan terkesan banyak sekiranya menjual Lautaro Martinez yang cuba dipancing oleh Arsenal dan Tottenham. Penyerang Argentina itu hanya dibayar sekitar €2.5 juta setahun.

Sebagai perbandingan, gaji Lukaku pula bernilai tiga kali ganda daripada apa yang Inter bayar kepada Martinez.

Nilai Lukaku juga lebih mahal iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding Martinez (dianggarkan £50 juta). Dengan menjual Lukaku Inter boleh mengaut keuntungan dan pada masa sama berjimat dari segi jumlah gaji pemain yang harus dibayar.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply