Bagaimana Pato Berubah Dari Pemecah Rekod Pele Kepada Badi Sialan Corinthians?

Pada 13 September 2011. AC Milan diundi dalam satu kumpulan dengan BATE Borisov, Viktoria Plzeň dan Barcelona dalam kempen UEFA Champions League 2011/2012.

Perlawanan pertama kumpulan menyaksikan AC Milan bertandang ke Nou Camp untuk bertemu dengan Barcelona, dalam perlawanan kumpulan UEFA Champions League 2011/2012.

Seperti biasa Pep Guardiola mengarahkan Barcelona bermain dengan garisan defensif yang tinggi (high defensive line). Ini menyebabkan Pato terpaksa berlegar-legar di kawasan middle third, 50 meter daripada penjaga gol Barcelona.

Selepas menerima hantaran Antonio Nocerino, Pato meledakkan kelajuan elektrik untuk membawa bola melepasi Sergio Busquet dan Eric Abidal. Ketika berada dalam situasi 1v1 dengan Victor Valdes, Pato menyudahkan peluang tersebut dengan tenang seperti imam yang sedang berzikir.

Semua ini berlaku dalam masa 24 saat sahaja.


 
Memecahkan rekod di usia muda

Gol Pato ketika menentang Barcelona pada 2011 adalah rumusan lengkap tentang kualitinya sebagai penyerang. Laju, mahir menggelecek dan tenang di depan gol.

Ketika usianya baru 16 tahun, Internacional menandatangani Pato untuk bersaing dalam kejohanan Campeonato Brasileiro Sub-20.

Walaupun terpaksa bermain denga pemain yang 4 tahun lebih tua daripadanya, Pato muncul penjaring terbanyak kejohanan dan membantu Internacional Sub-20 mengalahkan Grêmio 4–0 dalam final untuk muncul juara.

Nama beliau terus disenaraikan dalam skuad senior Internacional yang memenangi 2006 FIFA Club World Championship. Ketika inilah Pato memecahkan rekod Pele apabila menjadi penjaring gol termuda dalam kejohanan anjuran FIFA pada usia 17 tahun dan 102 hari.

Tabiat menjaringkan gol dalam debut

 
Ketika debut (kemunculan pertama) beliau dalam Campeonato Brasileiro Serie A (divisyen 1 Brazil) menentang Palmeiras, Pato menjaringkan gol pada minit pertama perlawanan! Selepas gol tersebut beliau menghabiskan masa di padang dengan menggelecek dan mengelirukan pertahanan Palmeiras.

Pato juga menjaringkan gol dalam debut beliau di Campeonato Gaúcho (liga negeri), Copa Libertadores (setaraf UEFA Champions League) dan Recopa Sudamericana (setaraf UEFA Super Cup).

Pada masa inilah perkembangan Pato sedang diperhatikan oleh kelab-kelab besar Eropah. Ketika majoriti kelab memilih untuk menunggu Pato matang di Brazil, AC Milan memilih untuk membayar £19.3 juta, 5.5 kali ganda daripada harga pasaran beliau pada waktu itu.

Era kegemilangan di AC Milan

Di AC Milan, Pato meneruskan tabiat menjaringkan gol dalam debut. Beliau menjaringkan gol dalam debut beliau di Serie A ketika Milan menewaskan Napoli 5-2 pada Januari 2008.

 
Ketika inilah beliau mula menempa nama di Eropah sebagai penyerang muda paling panas.

Mampu bermain sebagai penyerang dalam sistem 4-4-2 diamond Carlo Ancelotti, 4-3-1-2 Max Allegri dan penyerang kanan dalam sistem 4-3-3 Leonardo , Pato membuktikan beliau juga penyerang versatil dan mampu menyumbang gol kepada Zlatan Ibrahimovic, Robinho, Marco Boriello dan Filippo Inzaghi.

Pada zaman kemuncaknya pada 2007-2009, Pato pernah menjadi pemain Brazil pertama yang memenangi Pemain Muda Terbaik Serie A apabila melakukannya pada tahun 2009.

Di skuad senior Brazil, Pato meneruskan tabiat menjaringkan gol dalam debut. Beliau menjaringkan gol ketika debut menentang Sweden.

Entah mengapa selepas semua kegemilangan ini, karier Pato mula mengalami kemerosotan.

Era kemerosotan di AC Milan

Ada beberapa teori mengapa karier Pato mengalami kemerosotan:

1. Kecederaan yang berulang-ulang

 
Ini adalah teori paling popular yang digunakan peminat bola sepak dunia untuk menjelaskan mengapa Pato bukan lagi penyerang yang digeruni seperti dulu. Malah Pato sendiri menyalahkan masalah kecederaan beliau sebagai punca karier beliau merosot.

Dalam satu temu ramah beliau dengan media Brazil, Pato menyalahkan jadual latihan yang disusun Max Allegri sebagai punca beliau selalu cedera.

“Mereka (AC Milan) banyak melakukan senaman fizikal. Di kolam renang, sesi fisioterapi…kami terpaksa melakukan sesi latihan yang sepatutnya dilakukan dalam masa 20 hari dalam masa seminggu sahaja. Badan kami tak mampu bertahan dengan jadual latihan sebegini.”

Ketika diminta mengulas insiden Milan yang hanya mempunyai 13 pemain cergas untuk perlawanan Champions League menentang Celtic pada 2013 (ketika ini Pato sudah berpindah ke Corinthians), Pato menjawab:

“Milan mempunyai banyak kecederaan pada tahun ini (2013), dan ini menunjukkan bahawa kecederaan yang saya perolehi bukan salah saya. Saya main satu perlawanan, cedera, sembuh dan cedera semula. Ianya salah doktor (di AC Milan) dan jadual latihan yang membebankan.”

Ada juga laporan media mengatakan masalah kecederaan Pato berpunca daripada pertambahan ketinggian Pato. Dalam tempoh 2007 hingga 2012, ketinggian Pato bertambah 8cm. Ini mungkin memberi masalah kepada ototnya hingga menyebabkan beliau kerap cedera.

Kecederaan berulang-ulang ini bukan sahaja menjejaskan tahap kecergasan Pato, malah kelajuan, kelincahan dan yang paling penting – keyakinan beliau di hadapan gol.

2. Isu peribadi dengan perkahwinan

Pada tahun 2007, Pato bertunang dengan pelakon Brazil, Sthefany Brito tetapi berpisah pada 2009. Bagaimanapun mereka kembali bersama pada 2010 dan terus berkahwin. Tetapi perkahwinan mereka hanya bertahan selama 10 bulan.

Selepas bercerai, Pato pernah terlibat dalam hubungan romantik dengan Barbara Berlusconi (gambar bawah), anak pemilik AC Milan dan CEO AC Milan ketika ini. Tetapi selepas 2 tahun, mereka berpisah.

29B29F0700000578-3127769-image-a-15_1434534658618

Adakah isu peribadi Pato sebenarnya yang menyebabkan persembahan Pato merosot?

3. Tabiat suka berparti

Bekas isteri Pato, Sthefany Brito pernah memberitahu media Brazil punca perceraian beliau dengan Pato adalah kerana tabiat Pato yang suka keluar berparti (dengan Ronaldinho) walaupun sudah berkahwin.

Dijual ke Corinthians

AC Milan sedar masalah kecederaan Pato menyebabkan harga pasarannya jatuh merudum setiap tahun. Jadi sementara Pato masih mempunyai peminat, Milan membuat keputusan untuk menjualnya.

Akhirnya pada Januari 2013, Pato dijual kepada kelab Brazil, Corinthians dengan harga £12.2 juta – satu harga yang baik jika dilihat kepada rekod kecederaan Pato.

Di Corinthians, Pato mengekalkan reputasinya sebagai penjaring dalam debut apabila menjaringkan gol dalam debut di aksi liga. Bagaimanapun itu masih belum mencukupi bagi peminat dan media Brazil kerana mereka menyedari Pato sudah kehilangan sentuhannya tajamnya di depan gol.

Bagaimanapun jurulatih Corinthians, Tite, tetap mempertahankan Pato. Namun kemuncak detik epic fail bagi Pato dan Tite tiba selepas sepakan penalti yang teruk dari Pato ketika aksi Copa do Brasil 2013.

Beliau digelar ‘pembelian paling teruk dalam sejarah Corinthians’ oleh media Brazil dan dikutuk habis-habisan oleh penyokong Corinthians selepas penalti ini.

Akhirnya Tite dipecat dan digantikan dengan Mano Menezes, bekas jurulatih Brazil yang selalu memilih Pato sebagai penyerang utama Brazil. Bagaimanapun di Corinthians, Menezes memberitahu Pato tidak berada dalam perancangan taktikalnya. Pato perlu mencari kelab baru.

 
Pato ketika ini

Selepas diberitahu beliau tidak berada dalam perancangan Mano Menezes di Corinthians, Pato dipinjamkan ke Sao Paulo pada Februari 2014.

Di Sao Paulo, karier Pato mengalami sedikit peningkatan. Beliau tidak lagi mengalami kecederaan berulang seperti di Milan dan bermain lebih baik berbanding ketika di Corinthians.

 
Beliau bersaing dengan Luis Fabiano dan Alan Kardec untuk posisi penyerang tetapi masih mampu muncul penjaring kedua terbanyak Sao Paulo pada musim lepas.

Kesimpulan

Agak tak masuk akal sebenarnya bila memikirkan yang Pato baru berumur 26 tahun dan sudah merasa segala asam garam dalam dunia bola sepak.

Pada Piala Dunia 2018 akan datang, Pato akan berumur 29 tahun. Jika beliau mampu meningkatkan prestasi, melupakan kemerosotan karier beliau dan bebas kecederaan seperti sekarang, Pato berhak untuk mendapat tempat di skuad Brazil.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda rasa Pato boleh kembali ke kemuncak kariernya seperti yang kita pernah saksikan di AC Milan pada 2007-2009?

Baca juga: Ricardo Quaresma: Kisah Pemain Sayap Yang Gagal

 

Sumber: ESPNFC, Transfermarkt, Youtube

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN