Apa Yang Berlaku Di Kem Penang FC, Tiba-Tiba Hilang Beberapa Tonggak?

David Rowley Penang FC Kedah Liga Super 2021

Apa yang kita tidak tahu, yang sedang berlaku dalam kem Penang FC ketika aksi yang menyaksikan mereka tumbang 1-4 kepada Kedah Darul Aman FC, pada Selasa lalu?

Selain kisah terjahan keras penyerang Penang FC, Jafri Firdaus Chew terhadap Rabih Ataya, satu lagi perkara yang bermain di minda penyokong adalah kehilangan beberapa tonggak utama pasukan. Ini bukanlah aksi biasa-biasa, ini adalah Derbi Utara.

Penang FC sepatutnya hanya kehilangan khidmat dua pemain, Ryuji Utomo dan Khairu Azrin Khazali yang digantung perlawanan. Jadi, ke mana perginya yang lain seperti penyerang, Casagrande, kapten, Endrick dos Santos dan bek kental, Rafael Vitor?

Ketiga-tiganya merupakan pemain import buat pasukan yang juga digelar ‘The Brazlian Trio’ di kalangan para penyokong. Mereka memainkan peranan penting dalam skuad.

Menurut perkongsian sebelum aksi bertemu Kedah, ketiga-tiga pemain ini adalah nadi utama pasukan sejak tiga musim kebelakangan ini, bermula dengan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Premier dan meraih tiket kembali ke saingan Liga Super.

Untuk rekod mereka telah menyumbang 16 gol musim ini – lebih separuh daripada keseluruhan gol iaitu 28 gol. Penyerang Casagrande telah menyumbat lapan gol dan dua assist, Endrick (tiga gol, enam assist) serta Rafael Vitor (lima gol, satu assist).

Jika kita menulusuri laman sosial pasukan dan juga di laman-laman sosial penyokong, persoalan mengenai kehilangan secara tiba-tiba ketiga-tiga pemain ini masih menjadi persoalan utama mereka. Mustahil mereka bertiga sengaja tidak mahu bermain.

Menurut satu perkongsian daripada laman sosial penyokong, Penang Brotherhood, ketiga-tiga pemain itu dikatakan telah positif Covid-19 dan ia dikatakan turut telah melibatkan jangkitan di kalangan jurulatih yang tidak dinamakan identitinya.

Jika dakwaan ini benar, mengapa aksi antara Kedah dan Penang FC tetap diteruskan? Adakah pengurusan Penang FC tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak MFL?

Kehilangan yang dirasai. Itu yang dapat diungkapkan jika melihatkan prestasi skuad Harimau Kumbang tempohari. Mereka seperti kehilangan arah dan beraksi di bawah prestasi sebenar. Adakah ada perkara di luar padang yang menggangu fikiran?

Kedah mampu meledak lima gol di babak pertama jika Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman berjaya menyudahkan percubaan dengan baik, namun tiga gol yang terhasil sudah cukup untuk tuan rumah selesa memimpin perlawanan terlebih dahulu.

Dua kali Kipre Tchetche berjaya memperdaya dan melepasi kawalan kapten pelawat, Latiff Suhaimi untuk meledak dua gol menarik pada minit ke-17 dan ke-38. Baddrol Bakhtiar juga berhasil meledak satu gol pada minit ke-23 menerusi rembatan deras.

Pasukan pelawat akhirnya berjaya mencipta jaringan pertama menerusi asakan kedua mereka. Hantaran lintang Quentin Cheng berjaya menemui David Rowley yang hanya membuat sentuhan mudah menewaskan Ifwat Akmal di penghujung babak pertama.

Namun, skuad Hijau Kuning dilihat masih bernafsu dengan mencipta banyak asakan ke gawang pelawat. Penang FC mungkin bernasib baik apabila penyudah tuan rumah tampak kurang menjadi walaupun gol mampu dilakar menerusi asakan tersebut.

Hasilnya di minit ke-55, Kpah Sherman meledak gol ke-4 apabila telah memanfaatkan hantaran lintang Rizal Ghazali sebelum menewaskan Sam Somerville di gawang gol.

Dalam sidang media sejurus perlawanan berakhir, pengendali pasukan, Tomas Trucha menjelaskan kehilangan mereka menjejaskan kualiti berpasukan di dalam skuadnya.

Begitupun situasi menjadi sedikit tegang apabila pihak media berterusan bertanya tentang kehilangan tonggak import dan mempersoalkan jawapan pengendali kelahiran Republik Czech itu yang dilihat seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu.

“Anda membuat andaian yang salah. Saya telah cuba memberikan jawapan kepada anda. Anda akan lebih memahami jika anda faham kita sedang hidup di zaman yang bagaimana ketika ini,” ungkap Tomas Trucha dalam nada yang sedikit tegas.

“Anda tahu yang pemain-pemain tidak dapat melihat ahli keluarga mereka selama berbulan-bulan? Anda tahu tentang perasaan mereka? Saya tidak katakan yang kita tak gembira dapat bermain bola sepak, sekurang-kurangnya kita dapat bermain.

“Tetapi situasi ketika ini tidak mudah untuk semua industri. Jadi, apa kata kita hargai yang kita masih dapat berjumpa sebegini. Jangan terlalu fikirkan perkara yang tak sepatutnya. Sekurang-kurangnya, kita dapat bermain,” jelas Tomas Trucha.

Apa yang penting padanya ketika ini adalah beliau mahu melupakan keputusan pada malam tersebut seterusnya cuba melakukan yang terbaik dalam aksi seterusnya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply