Apa Sebenarnya Kontroversi ‘Project Big Picture’ Cadangan Liverpool & Man Utd?

Kerjasama Semuanya BOLA

Project Big Picture Liverpool Man Utd

Bola sepak Inggeris gempar apabila dua kelab paling berjaya dalam sejarah, Manchester United dan Liverpool yang dikatakan mewakili ‘kelompok kelab elit’ mencadangkan beberapa pembaharuan dalam piramid bola sepak negara tersebut yang dinamakan sebagai ‘Project Big Picture’.

Ia dikatakan direncanakan oleh pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) dan disokong oleh pemilik bersama Manchester United, Joel Glazer. Ia juga dikatakan telah dipersetujui oleh kelab ‘big six’ yang lain iaitu Manchester City, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Chelsea.

Dalam kertas kerja tersebut, dicadangkan agar sembilan kelab utama diberikan hak undian istimewa dalam sebahagian isu. Sebagai timbal baliknya, mereka akan melepaskan sebahagian wang hak penyiaran dengan memberikannya kepada kelab-kelab kecil di divisyen bawahan.

Kononnya ia bertujuan untuk membantu pasukan yang mengalami impak kewangan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda terutamanya kelab-kelab kecil di bawah Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Dalam kertas cadangan yang ‘bocor’ tersebut, antara usulnya adalah untuk memberikan kelab EFL 25 peratus daripada keuntungan keseluruhan EPL dan EFL dengan pendahuluan sehingga £250 juta sebagai bantuan sewaktu pandemik dan Persaatuan Bola Sepak (FA) England pula akan menerima ‘hadiah’ sebanyak £100 juta.

Kemudian dicadangkan juga untuk mengecilkan saiz pasukan yang bertanding di EPL daripada 20 kepada 18 kelab sahaja, namun Liga Kejuaraan, League One dan League Two masih kekal dengan 24 pasukan.

Dua pasukan tercorot (17 dan 18) akan tersingkir secara automatik sementara pasukan di tangga ke-16 akan beraksi perlawanan play-off (menentang pemenang play-off Liga Kejuaraan).

Selain itu terdapat juga cadangan mengenai Piala Liga sama ada dia dihapuskan atau hanya melibatkan pasukan yang tidak layak ke kejohanan Eropah dan menghapuskan juga Perisai Komuniti pada awal musim.

Ia bertujuan untuk mengurangkan jumlah perlawanan kerana kelab-kelab utama ini berdepan dengan jadual padat pada setiap musim terutamanya bagi pasukan yang layak beraksi dalam kejohanan Eropah.

Ketika ini, sesebuah kelab EPL terpaksa berhadapan dengan empat atau lima kejohanan dalam satu musim iaitu saingan liga, Piala Liga, Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) atau Liga Europa (UEL) serta Piala Kelab Dunia FIFA.

Sekiranya jumlah pasukan dikurangkan kepada 18 pasukan, jumlah perlawanan liga akan dikurangkan kepada 34 perlawanan sahaja berbanding 38 ketika ini dan ia akan memberi ‘nafas’ kepada kelab-kelab utama ini untuk mendapatkan masa  rehat yang cukup untuk pemain.

Kontroversi timbul selepas dokumen cadangan tersebut tidak dibincangkan secara secara rasmi tetapi didedah oleh sebuah syarikat media ternama British, The Telegraph. 14 daripada 20 pasukan EPL mengatakan mereka tidak tahu menahu tentang usul berkenaan.

Perkembangan tersebut telah mendapat reaksi berbeza daripada bebereapa pihak di mana ada pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju.

Pihak pengurusan EPL secara terbuka menegaskan cadangan tersebut hanya merosakkan ekosistem bola sepak Inggeris secara keseluruhannya, namun Pengerusi EFL, Rick Parry pula menyokong sepenuhnya kerana ia akan membantu kelab-kelab yang sedang bergelut ketika ini.

“Kita sudah pun melihat laporan media tentang cadangan perubahan bola Sepak Inggeris tersebut. EPL merupakan kejohanan bola spak paling banyak ditonton di dunia. Jadi amat penting untuk kita menjaga status tersebut,” ujar kenyataan rasmi EPL.

“EPL dan FA England terbuka dengan sebarang perbincangan untuk masa depan bola sepak Inggeris, termasuklah soal struktur serta impak kewangan akiat pendemik COVID-19. Tetapi buat masa ini EPL akan kekal seperti sedia ada.”

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri Britain, Boris Johson yang mengkritik kelab-kelab utama England supaya memberikan cadangan atau pakej yang lebih bersifat menyokong keseluruhan sukan berkenaan.

“Kami menggesa agar EPL dan EFL untuk terus bekerjasama dan berikan satu cadangan yang dapat membantu dan menyokong antara satu sama lain secara komprehesif,” ujar Boris Johnson melalui jurucakapnya.

“Jelas bahawa cadangan ini tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak EPL dan majoriti kelabnya dan ianya seakan-akan seperti satu rundingan ‘pintu belakang’ yang akan menjejaskan kepercayaan terhadap pengurusan bola sepak di negara ini.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram