Apa Rahsianya Perubahan Permainan Penang FC Ketika Tundukkan Sri Pahang?

endrick-dos-santos-Penang-sri-pahang-2021-rahsianya

Selepas sembilan perlawanan, permainan Penang FC ketika menewaskan Sri Pahang FC dalam aksi minggu ke-10 adalah yang paling menghiburkan, apa rahsianya?

Manakan tidak, selama ini skuad Harimau Kumbang beraksi dengan fokus diberikan untuk membuat seberapa banyak hantaran lintang ke dalam kotak penalti lawan dan menanti Casagrande untuk cuba menghasilkan sesuatu daripada asakan tersebut.

Dan disebabkan itulah acapkali prestasi Casagrande yang menjadi sasaran persoalan daripada pihak media kerana beliau terlepas banyak peluang untuk memberikan Penang kemenangan dalam perlawanan yang mereka boleh merekodkan tiga mata.

Dan pada minggu lalu, pengendalinya, Tomas Trucha sehingga mempersoalkan di sidang media mengapa soal prestasi Casagrande sentiasa menjadi soalan utama.

Barulah dimaklumkan bahawa, penyerang tinggi lampai itu sedang bergelut dengan kecederaan dalam beberapa perlawanan. Berdepan Sri Pahang FC, Tomas Trucha akhirnya telah mengambil risiko untuk merehatkan penjaring terbanyaknya itu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi penyerang import, Sheriddin Boboev dan beliau dibantu kapten, Endrick dos Santos dalam usaha untuk menggerakkan jentera serangan mereka. Hasilnya, Penang tampil dengan permainan yang berlainan.

Permainan yang pantas, banyak menggerakkan bola di bawah dan kerap menyusup masuk ke kubu lawan memberikan dimensi berbeza dalam permainan mereka semalam. Tiada lagi lambakan hantaran lintang ke dalam kotak penalti pihak lawan.

Apakah rahsianya Penang? Adakah ketiadaan Casagrande, Penang boleh bermain sebegitu? Jika dilihat, musim lalu di Liga Premier, inilah trademark permainan Harimau kumbang sehingga cemerlang menjuarai liga dan meraih tiket ke Liga Super.

Menurut Tomas Trucha, beliau telah mengadakan perbincangan bersama pemainnya selepas keputusan mengecewakan bertemu PJ City FC – seri 1-1 di Stadium MBPJ. Selain itu, Penang juga mengadakan latihan intensif untuk menukar gaya permainan.

“Saya mahu permulaan yang bertenaga, rentak yang lebih baik dan kepantasan. Pada masa yang sama, kami mahu berikan ‘hiburan’ kepada para penyokong. Ini yang kami sedang usahakan dalam sesi latihan dan cuba memperbaikinya,” ungkapnya.

“Jadi, saya yakin para penyokong menikmati permainan kami pada malam ini. Saya gembira dengan prestasi pemain saya dan mereka berusaha memberikan yang terbaik, cuma kita kepenatan sedikit selepas itu,” jelas Tomas Trucha lagi mengenainya.

Selepas dua keputusan seri – yang sepatutnya menang, Penang kembali dengan kemenangan dan Sri Pahang menjadi mangsa kebangkitan mereka dengan keputusan 3-0. Gol Penang dijaringkan Endrick dos Santos, Danial Ashraf dan Jafri Firdaus Chew.

Sebenarnya mudah untuk beliau mengubah gaya permainan Penang seperti semalam disebabkan masih terdapat pemain musim lalu dalam pasukannya dan kesebelasan utama semalam, enam pemain adalah daripada skuad musim lalu yang bermain corak sebegitu seperti Endrick dos Santos, Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar.

Apa yang perlu diusahakan mereka ketika ini adalah membentuk kesefahaman dalam membuat gerakan bersama pemain-pemain baharu. Jelas, selepas ketiadaan pemain seperti Khairu Azrin, Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar, Penang sedikit bergelut.

KREDIT FEATURED IMAGE: NSTP/Danial Saad

Baca lagi artikel lain mengenai Tomas Trucha dan Penang FC:

Liga Super: Penang Mudah Benam Sri Pahang Di Bandaraya

Janganlah Buat ‘Lecey’, Penyokong Penang Perlu Belajar Terima Teguran

Tomas Trucha: Saya Gembira Dengan ‘Attitude’ Pemain Penang FC

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply