Apa Komen Pirlo Tentang Kalvin Phillips Yang Dianggap Sebagai Jelmaan Semula Dirinya

Andrea Pirlo akhirnya tampil memberi pandangan beliau berkait Kalvin Phillips yang digelar ‘Yorkshire Pirlo’ selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan di kejohanan Euro 2020.

Tidak dinafikan yang pemain utama Leeds United itu benar-benar mencuri perhatian peminat dengan aksi hebatnya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan England.

Kalvin Phillips juga merupakan antara pemain terbaik England sepanjang kejohanan tersebut dengan aksi hebatnya berjaya membawa skuad The Three Lions ke pentas perlawanan akhir.

Dari awal kejohanan, Phillips sentiasa dimandikan dengan puji-pujian dari para peminat, pundit dan semua media England atas persembahan yang beliau persembahkan.

Sayangnya beliau gagal membantu England mengakhiri kemarau kejuaraan dengan mereka tewas kepada negara Pirlo asli, Itali dalam aksi perlawanan akhir.

Pemain berusia 25 tahun itu ketika beraksi bersama Leeds, beliau dianggap sebagai ‘Yorkshire Pirlo’ dan nama tersebut di bawa ketika beliau beraksi bersama skuad kebangsaan England.

Pirlo tidak dinafikan sememangnya antara pemain midfield terhebat sepanjang zaman dengan skuad England sendiri pernah menjadi mangsanya ketika saingan Euro edisi 2012.

Pirlo ketika itu beraksi dengan sangat cemerlang dalam membantu Itali untuk menyingkirkan skuad The Three Lions di peringkat suku akhir.

Bekas pengurus Juventus itu walau bagaimanapun merasakan yang beliau mempunyai gaya permainan yang sedikit berbeza berbanding Phillips.

Ketika ditanya tentang perbandingan tersebut, Pirlo telah menyatakan bahawa:

“Ia betul. Di England, mereka memang tak pernah ada pemain jenis seperti ini. Mereka sememangnya mempunyai ramai midfield terhebat sepanjang zaman, namun kesemua mereka mempunyai skill yang berbeza.”

Jelas legenda bola sepak Itali itu kepada The Athletic.

“Ada seorang pemain yang beraksi bersama Leeds (Phillips), dia ada sikit corak permainan regista…”

“Tapi kami sedikit berbeza. Dia tak ada karakteristik yang sama dengan apa yang saya ada. Mereka sentiasa ada bakat hebat yang bermain box-to-box seperti Frank Lampard.”

Pirlo ketika ini sedang berusaha mencari kerja kosong selepas beliau sebelum ini dipecat oleh Juventus kerana mengharungi musim 2020/21 yang mengecewakan.

Legenda berusia 42 tahun itu sangat berharap agar beliau akan diberikan kesempatan untuk mengurus pasukan baru di luar Itali.

“Saya mahu keluar negara.”

Jelas Pirlo ketika berbicara soal masa depannya.

“Saya menghabiskan tiga tahun di US, jadi saya tak ada masalah untuk berbahasa Inggeris dan saya juga boleh bercakap dalam bahasa Perancis. Jadi saya rasa saya boleh pergi ke mana sahaja.”

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply