Anugerah Pemain Terbaik Bulanan ‪PFAM-asiana.my Terus Hargai Para Pemain Yang Menyerlah

Keringat yang dicurahkan para pemain dalam saingan unifi Liga Super dan Liga Premier terus dihargai apabila penganjuran Anugerah Pemain Terbaik Bulanan ‪PFAM-asiana.my‬ diteruskan lagi bagi musim 2018.

Anugerah yang sudah memasuki tahun ke-4 penganjurannya menyaksikan 139associates dan MK bertindak sebagai rakan penaja utama.

Rakan-rakan penaja lain yang terlibat ialah PaddyGear, BB7, AY Sports dan Major Pomade.

Matlamat jelas kewujudan berterusan anugerah ini bertujuan dalam memartabatkan serta menghargai jasa dan sumbangan para pemain yang berjuang untuk pasukan.

Proses pencalonan pemain terbaik akan dilakukan oleh barisan panel yang terdiri dari pengamal media dan seterusnya para penyokong diberikan peluang untuk mengundi pemain pilihan mereka.

Jawatankuasa Pencalonan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – ‪asiana.my‬ yang terlibat adalah daripada pengamal-pengamal media sukan yang berpengalaman seperti Ahmad Muzzamil (Semuanya BOLA), Vijhay Vick (FourFourTwo), Aziman Rosdi (Harian Metro) Ahmad Fazil Yadi (Kosmo!) dan Saiyed Ismail (Media Prima – TV3).

Pemain Liga Super yang mendapat undian tertinggi akan menerima sebuah Trofi dan sebingkai gambar sumbangan ‪asiana.my‬ , wang tunai berjumlah RM1500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade.

Manakala bagi Liga Premier pula, sebuah Trofi dan sebingkai gambar sumbangan ‪asiana.my‬ , wang tunai berjumlah RM500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade menanti pemenang.

Mengulas mengenai anugerah tersebut, Presiden PFA Malaysia, Rezal Zambery Yahya berkata:

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada pemain yang telah menyumbang keringat dalam karier mereka dalam masa sama mewujudkan suasana persaingan yang positif.”

“Sehubungan dengan itu PFAM dan pihak ‪asiana.my‬ mengambil inisiatif untuk meneruskan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan ‪PFAM-asiana.my‬ untuk musim keempat bagi menghargai segala keringat yang dicurahkan pemain di atas padang.”

“Terima kasih diucapkan kepada 139 Associates, MK, PaddyGear, BB7, AY Sports dan Major Pomade kerana memberikan keyakinan dan komitmen untuk memastikan anugerah berprestij ini terus hidup dalam arena bola sepak di Malaysia,” jelas Rezal ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan Penaja Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – ‪asiana.my‬ 2018.

Cara pengundian

Undian akan dibuat melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my. Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser).

Sesiapa sahaja boleh mengundi calon-calon untuk anugerah tersebut.

PFAM akan memasukkan senarai pencalonan ke dalam laman web PFAM setiap bulan dan undian akan dibuka selama seminggu untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon kegemaran mereka.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram