Anugerah Bulanan Media: Koppa TV Dipilih Pemenang Kategori Media Elektronik Terbaik

Koppa TV

Malaysian Football League (MFL) meneruskan usaha menghargai peranan media dengan mengiktiraf sumbangan mereka menerusi Anugerah Bulanan Media (ABM) bagi bulan Mac dan April lalu.

Seramai lima pemenang dipilih daripada empat kategori iaitu Laporan Media Cetak Terbaik, Media Elektronik Terbaik, Media Online Terbaik dan Foto Terbaik ditentukan pada setiap bulan.

Bagi bulan Mac, Koppa TV dipilih sebagai pemenang ABM untuk kategori Media Elektronik Terbaik menerusi penyertaan mereka yang berjudul ‘Kenapa Perlis boleh masuk Liga Premier 2019’.

Bercakap mengenai ABM yang telah mula diperkenalkan sejak Februari lalu, Ahmad Muzammil Mohamad Haari selaku Editor Koppa TV mengakui pihaknya akan terus lebih agresif melakarkan laporan berkualiti dalam usaha membantu perkembangan bola sepak tempatan.

“Pertama kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Koppa TV.

“Sejujurnya pengiktirafan ABM ini membuatkan Koppa TV akan menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan laporan lebih berkualiti khusus untuk bola sepak tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, gandingan dua wartawan Berita Harian, Zulfaizan Mansor dan Muhammad Fitrie Muhamad telah dinobatkan sebagai pemenang ABM bagi kategori Media Cetak Terbaik hasil artikel bertajuk ‘Hasil pendekatan Irfan, Ismail wajar dicontohi’ susulan laporan khas berkaitan pemain import di Liga Malaysia.

Muhammad Fitrie Muhamad bersama Ketua Pegawai Operasi Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.

Fitrie yang meraih trofi pertama dalam karier kewartawannya optimis ABM anjuran MFL ini bukan sahaja mampu membentuk persekitaran lebih sihat sebaliknya mampu memupuk wartawan tempatan menghasilkan artikel positif untuk Liga Malaysia.

“Kami sangat bersyukur kerana inilah yang dimahukan oleh setiap agensi media tempatan di mana artikel mereka dihargai khususnya mendapat pengiktirafan daripada MFL sendiri.

“ABM adalah satu langkah yang wajar dipuji dan secara tidak langsung menunjukkan Liga Malaysia sebenarnya memiliki banyak platform positif untuk diketengahkan,” katanya.

Juara ABM kategori Media Online Terbaik pula dimenangi wartawan FoxSports, Muhammad Aiman Aminul dengan penyertaan artikel bertajuk ‘Faiz Nasir buktikan mat jenin juga menjadi raja’ manakala trofi ABM kategori Foto Terbaik menjadi milik jurufoto Malaysia Gazette, Affan Fauzi.

Bagi pemenang ABM bulan April, wartawan News Straits Times, Farah Azaharie dinobatkan sebagai pemenang ABM kategori Media Cetak Terbaik menerusi penyertaan bertajuk ‘Mad enough to fill PKNS FC boots’ disusuli wartawan Berita Harian biro Pahang, Asrol Awang yang memenangi kategori Media Online Terbaik hasil artikel berjudul ‘Lontaran jauh Anwar bawa tuah’.

Manakala Foto Terbaik dimenangi jurufoto dari Bernama, Muhammad Amirul Azmi.

Setiap pemenang menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM500.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN