Antonio Conte: Romelu Lukaku Menyerang Seperti Pemain NFL

Romelu Lukaku Conte

Pengurus Inter Milan, Antonio Conte nyata berpuas hati dengan aksi ditampilkan penyerang utama, Romelu Lukaku yang berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu I Nerazzurri menang 3-0 ke atas Genoa di Stadio Luigi Ferraris, awal pagi tadi.

Dua jaringan itu juga bermakna Lukaku telah meledakkan 23 jaringan dalam saingan Serie A musim ini untuk menduduki tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Ciro Immobile dan Cristiano Ronaldo.

Melihatkan kepada kepantasan larian serta kekuatan tubuh badan yang dimiliki Lukaku, Conte menganggap pemain berusia 27 tahun itu kelihatan seperti seorang pemain National Football League (NFL).

”Romelu bukan pemain bola sepak yang tipikal kerana walaupun mempunyai ketinggian 1.90 meter, dia juga begitu pantas,” ujar Conte menurut laporan Goal.

”Dia berperanan sebagai titik fokus buat pasukan tetapi juga dari kawasan tengah padang, menyerang seperti seorang pemain ‘American Football’.”

”Saya tetap berkeras untuk membawanya ke sini dan dia masih boleh meningkat dengan sentuhan dan menyerang pintu gol pasukan lawan dengan begitu ‘jahat’.”

”Dia baharu berusia 27 tahun dan sekiranya dia mahu untuk terus meningkatkan prestasinya, dia mempunyai masa depan yang sangat penting,” tambah Conte lagi.

Conte merupakan individu yang bertanggungjawab dalam membawa masuk Lukaku ke Giuseppe Meazza dari Manchester United pada jendela perpindahan musim panas lalu dengan nilai berjumlah £74 juta.

Kredit featured image: Giuseppe Cottini/NurPhoto via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Lukaku:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply