Antoine Griezmann Dituduh Cuba Cetus Isu Perkauman

Penyerang Altetico Madrid, Antoine Griezmann dikritik hebat oleh peminatnya kerana didakwa cuba menimbulkan isu perkauman melalui gambar dari laman Twitter miliknya.

Beliau terpaksa memadam gambar itu yang menunjukkan dirinya berubah menjadi ‘hitam’ dan meniru gaya pemain pasukan bola keranjang Harlem Globetrotter selepas ia mencetuskan kontroversi, awal pagi tadi.

Dalam laman peribadi Twitter miliknya, Griezmann dilihat memakai jersi bola keranjang dan rambut palsu tatkala muka, kaki serta lengannya dihitamkan dengan bertulis ‘parti 80-an’.

Paparan di laman twitter Griezmann sebelum dipadam.

Kebanyakan pengguna Twitter di seluruh dunia mempersoalkan tindakan pemain berusia 26 tahun itu dengan ada yang menyifatkannya sebagai perkauman.

Pada awalnya , Griezmann hanya memberi komen balas terhadap kritikan itu dengan berkata:

“Bertenang kawan-kawan, saya peminat Harlem Globetrotters dan ini adalah era yang menarik, ia satu penghormatan.”

Griezmann akhirnya akur dan membuat permohonan maaf selepas itu.

“Saya sedar yang ia adalah kesalahan saya. Sekiranya ada yang tersinggung, saya mohon maaf,” katanya.

Dalam perkembangan lain, akhbar sukan Catalan, Mundo Deportivo melaporkan Barcelona bersedia menewaskan Manchester United untuk mendapatkan Antoine Griezmann pada musim panas akan datang dengan memenuhi klausa pembelian 100 juta euro (RM479 juta) yang terkandung di dalam kontrak bersama Atletico.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram