Anthony Martial: Pernah Jadi Sanjungan Di Old Trafford, Kini Menuju Kehancuran?

Anthony Martial nyata mempunyai masalah besar mengenai masa depan beliau bersama Manchester United. Dalam debut menentang Liverpool, nama Martial disanjung kerana jaringan cantiknya menewaskan seteru utama United itu di Old Trafford. Mekarlah harapan di hati kebanyakkan penyokong Man United pada ketika itu bahawa Martial akan menerajui generasi baharu Red Devils mendominasi bola sepak Inggeris.

Lima tahun berlalu, keadaan kini berbeza. Nama Martial sering menjadi nama pertama yang akan dipersalahkan setiap kali Man United tewas.

Tiada jaringan, tanpa assist, langsung tiada hantaran utama, hanya satu percubaan tepat, dengan hanya 52 hantaran dilakukan sepanjang 90 minit perlawanan. Statistik buruk ini juga ditambah dengan purata hantaran tepat yang rendah iaitu 25% dan 11 kali kehilangan bola.

Baiklah. Mungkin ada yang berkata tidak adil untuk menilai prestasi seorang pemain dengan hanya satu perlawanan. Ayuh kita lihat bagaimana pencapaian Martial untuk tempoh musim 2020/21, dan mengapa kami percaya masa semakin suntuk buat pemain ini.

Prestasi 2020/21 yang merudum

Untuk menilai pencapaian keseluruhan pada musim ini, salah satu cara terbaik ialah dengan membandingkan pencapaian beliau dengan prestasi pada musim lalu.

Tatkala rakan sepasukan Marcus Rashford hanya memerlukan tujuh gol lagi untuk menyamai jumlah jaringan peribadi pada musim lalu (2019/2020), Martial pula masih jauh ketinggalan. Musim lalu Martial menjaringkan 25 gol dalam semua pertandingan. Ini bermakna penyerang dari Perancis ini memerlukan 18 gol lagi pada musim ini untuk menyamai rekod beliau sendiri pada musim lalu.

Dari lima gol yang Martial hasilkan pada musim ini, hanya dua dijaringkan di dalam perlawanan Premier League. Dua lagi gol pula dijaringkan di pertandingan Champions League – pertandingan di mana Martial dipersalahkan kerana United tersingkir di peringkat kumpulan selepas pemain itu gagal menyempurnakan deretan peluang dalam perlawanan menentang Paris Saint-Germain.

Prestasi buruk Martial pada musim ini bukan sahaja berkisar kepada kemampuan menjaringkan gol. Tidak keterlauan jika prestasi Martial secara amnya pada musim ini amat lemah. Sebagai seorang penyerang, Martial sepatutnya juga cemerlang dalam melibatkan diri dalam permainan walaupun tidak menjaringkan gol. Namun beliau tidak berbuat demikian, menyebabkan Martial dilihat seperti liabiliti kepada pasukan.

Gagal balas kepercayaan Solksjaer

Tidak boleh dinafikan dalam beberapa perlawanan Martial dilihat masih mampu mempengaruhi perlawanan walaupun tidak menjaringka gol. Perlawanan menentang Leeds di mana Man Utd menang besar, dan kemenangan di tempat sendiri menentang RB Leipzig adalah di antaranya. Tidak ketinggalan ialah gol melalui tandukan dalam perlawanan menentang Aston Villa. Dalam perlawanan ini, Martial mengingatkan Ole Gunnar Solksjaer dan ramai daripada kita mengenai potensi dan kemampuan dirinya.

Namun selebihnya ia sering kali berakhir dengan kekecewaan. Apatah kekecewaan itu berlaku pada ketika Solksjaer berharap agar pemain itu mampu menyumbangkan sesuatu pada musim yang aneh tanpa kehadiran penonton dan jadual perlawanan yang berdekatan. Dalam perlawanan-perlawanan ini,

Martial sering kali bertanggungjawab menyebabkan permainan menjadi perlahan, cubaan menggelecek membabi-buta, selain percubaan-percubaan liar yang membazir gerakan-gerakan yang telah dihasilkan oleh rakan sepasukan.

Apa yang dikatakan oleh Solksjaer selepas kekahalan menentang Sheffield United pada awal pagi tadi jelas mencerminkan kekecewaan terhadap pemain penyerang itu.

“Saya berpendapat seluruh pasukan akan dikritik pada malam ini, termasuk diri saya. Saya tidak melihat bagaimana Anthony [Martial] terkecuali.” Apabila seorang pengurus sengaja menyebut nama seseorang pemain selepas kekalahan, ia jelas petanda yang tidak bagus.

Kehadiran Cavani malukan Martial

Untuk menjadikan keadaan lebih teruk buat Martial, Edinson Cavani yang dibawa masuk pada jendela perpindahan lalu telah menunjukkan kepada ramai kualiti beliau sebagai penyerang yang berada di tahap berbeza berbanding pemain seperti Martial.

Mungkin ada di kalangan anda yang tidak bersetuju untuk membandingkan seorang penyerang yang telah terbukti keupayaannya sejak sedekad lalu dengan seorang pemain muda. Tetapi Martial kini sudah berusia 25 tahun! Beliau bukannya seorang pemain muda yang tidak mempunyai pengalaman beraksi di tahap tertinggi. Logiknya, pembelian Anthony Martial oleh  Man United pada 2015 adalah kerana mereka yakin pemain ini mampu mencapai pretasi pemain setaraf Cavani.

Namun selepas lima tahun berlalu, tiada indikasi prestasi Martial akan bertambah baik. Sebaliknya Martial sepatutnya berasa malu dengan kemampuan Cavani yang sudah berusia 33 tahun dan tidak pernah mempunyai pengalaman beraksi di Liga Inggeris. Sebagai perbandingan sebelum perlawanan menentang Liverpool, pemain antarabangsa Uruguay itu hanya merekodkan 506 minit perlawanan pada musim ini, berbanding 1062 minit yang dimiliki oleh Martial.

Jumlah percubaan Cavani juga lebih sedikit, iaitu 18 berbanding Martial 32 pada musim ini. Namun demikian penyerang dari uruguay itu sudah berjaya menjaringkan empat gol dalam saingan liga pada musim ini (dua kali ganda berbanding jumlah Martial)

Gol terakhir Cavani untuk United ialah gol mudah dalam perlawanan menentang Fulham selepas penjaga gol gagal menampan kemas bola hasil hantaran lintang. Walaupun Martial dikenali dengan gol-gol spektakular, pemain ini sebenarnya memerlukan lebih banyak gol-gol mudah sebegini untuk membantu kariernya sebagai No.9.

Kebangkitan Mason Greenwood

Pada usia 33 tahun, kehadiran Cavani di Old Trafford ibarat seorang mentor. Greenwood pula pada usia 19 tahun adalah seorang bakat muda. Kedua-duanya pada usia yang sempurna untuk Man United. Pada ketika Cavani mulai memasuki usia 30 an dan akan menamatkan karier, Greenwood pula pada awal usia 20 an kelihatan bersedia untuk membuka lembaran baru untuk United. Pemain yang lebih muda sentiasa boleh belajar dari pemain yang lebih senior melalui latihan dan pengalaman ketika perlawanan.

Buat masa ini Greenwood dilihat berada pada landasan yang betul. Di sebalik usia mudanya, penyerang antarabangsa England ini tidak pernah gentar dan segan silu menewaskan pemain pertahanan lawan yang jauh lebih berpengalaman dan menjaringkan gol.

Satu gol dan satu assist oleh Greenwood dalam perlawanan Piala FA menentang Liverpool adalah sekilas kemampuan yang mampu dihasilkan beliau.

Dengan prestasi sedemikian, Greenwood semakin mendesak Solksjaer untuk diletakkan di dalam kesebelasan utama. Kelebihan Greenwood yang versatil dan boleh beraksi di kiri, kanan atau tengah serangan juga memudahkan Solksjaer. Beliau sudah pasti akan berada di dalam kesebelasan utama Man United secara tetap dalam tempoh setahun dua lagi. Persoalannya di manakah Martial pada ketika itu?

Tiadanya posisi tetap

Atau mungkinkah Anthony Martial sebenarnya adalah mangsa keadaan di Old Trafford? Pada musim penuh pertamanya di Old Trafford, Martial yang berusia 19 tahun diberikan jersi No.9 di Old Trafford dan cemerlang menjaringkan 11 gol dari 29 penampilan. Pada musim kedua, Zlatan Ibrahimovic didatangkan. Jersi No.9 diberikan kepada pemain dari Sweden itu, dan Martial pula terpaksa menerima jersi No.11.

Bukan sahaja Martial hilang posisi sebagai penyerang utama pada ketika itu. Beliau juga terpaksa berkompromi beraksi sebagai penyerang sayap kiri atai pun kanan. Namun kebangkitan Marcus Rashford selepas itu juga turut mejadi salah satu cabaran buat Martial. Seperti Martial keupayaan Rashford juga lebih baik ketika beraksi di sebelah kiri.

Bagaiman jika Martial bermain sebagai penyerang sayap kanan? Beliau turut pernah diberikan peluang oleh Jose Mourinho dan Solksjaer di posisi sebelah kanan, dan nyata sekali posisi penyerang tengah dan kiri adalah posisi yang lebih sesuai untuk beliau. Pada masa yang sama Greenwood semakin hari semakin mahu membuktikan kemampuannya dan klaim posisi penyerang sayap kanan itu menjadi miliknya.

Jadi di mana Martial harus beraksi? Beliau kelihatannya seperti tiada posisi yang tetap. Pada usia 25 tahun beliau dianggap tertalu tua untuk tidak mempunyai posisi tetap.

Atau adakah beliau benar-benar mangsa keadaan kerana sepatutnya dibangunkan sebagai No.9 suatu ketika dahulu? Van Gaal dan Mourinho lebih gemarkan pemain seperti Ibrahimovic pada ketika itu. Ketika tibanya Solskjaer, ia mungkin sudah terlambat untuk berbuat demikian di sebalik usaha dan kepercayaan oleh jurulatih dari Norway itu.

Penutup

Apa yang akan berlaku kepada Martial selepas ini. Kesabaran pasti ada garis akhirnya di Manchester United.

Di pihak Martial, pilihan semakin tipis. Jika mahu mengekalkan tempat di dalam skuad Manchester United, maka beliau harus membalas kepercayaan yang telah diberi.

Di pihak Manchester United pula, kos penjualan Martial untuk membawa pemain lain seperti Jadon Sancho, Emi Buendhia, Ousmane Dembele, Raphina atau David Brooks pasti sesuatu yang lebih mengujakan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN