Ansu Fati Jadi Pemain Termuda Untuk Barcelona Sejak 1941

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pemain remaja, Anssumane Fati mencipta sejarah apabila tampil sebagai pemain termuda menyarung jersi skuad senior Barcelona di La Liga sejak 1941.

Fati berusia 16 tahun dan 298 hari dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 5-2 ke atas Real Betis pada hujung minggu lalu.

Tetapi Fati bukan pemain termuda sepanjang zaman pernah beraksi untuk kelab tersebut. Rekod sebagai pemain termuda masih dipegang oleh Vicenc Martinez yang berusia 16 tahun 280 hari ketika tampil buat kali pertama untuk kelab Catalan itu pada 1941.

Fati masuk menggantikan Carles Perez ketika perlawanan berbaki 15 minit dalam perlawanan menentang Betis.

Menariknya, disebabkan oleh peraturan La Liga mengenai pemain di bawah umur, Barcelona terpaksa mengemukakan surat kebenaran ibu-bapa sebelum dibenarkan beraksi untuk Barca.

Ini kerana di Sepanyol, pemain di bawah umur tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan lewat malam. Di Sepanyol, perlawanan jam 9 malam dianggap sebagai lewat malam.

Pemain kelahiran Guinea-Bissau ini beraksi dalam sembilan perlawanan di Kejohanan Liga Remaja UEFA pada musim lalu, dan mencuri tumpuan dengan empat gol dan tiga bantuan gol yang dihasilkan.

Fati adalah penuntut akademi La Masia sejak 2013 ketika masih berusia 10 tahun. Walaupun dijangka tidak akan terus memberikan impak untuk juara bertahan La Liga itu pada musim ini, krisis kecederaan yang menimpa bahagian serangan kelab itu akan memberikan lebih banyak peluang untuk beliau.

Semua pemain penyerang utama Barcelona seperti Lionel Messi, Luis Suarez dan Ousmane Dembele berada di dalam senarai kecederaan, dan Ernesto Valverde memulakan perlawanan dengan menurunkan Perez, Rafinha dan Antoine Griezmann di barisan hadapan.

Barcelona sudah mendahului Betis 5-1 pada ketika Valverde memasukkan Fati untuk menggantikan Perez.