Annuar Musa Diingatkan Yang Sukan & Politik Adalah 2 Entiti Yang Berbeza

Annuar Musa

Berikutan ciapan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa cadangan untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak untuk warga Putrajaya bagi bersaing di saingan Liga Malaysia (Liga M), muncul kisah sebuah kelab Rakyat United yang secara tiba-tiba ditubuhkan dan sedang giat merekrut pemain untuk musim hadapan.

Bagaimana sebuah kelab yang baru ditubuhkan boleh giat mencari pemain-pemain sedangkan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula menerusi Setiausaha Agungnya hari ini, Stuart Ramalingam menafikan yang kelab tersebut bakal menggantikan FELDA United dalam saingan musim hadapan. Pelik bukan?

Stuart Ramalingam turut menjelaskan yang FELDA United sudah mengemukakan dokumentasi yang diperlukan kepada FAM dan pihaknya akan memutuskannya selepas ini. Sama ada diluluskan atau tidak, jelas yang The Fighters masih berjuang dan mahu kekal beraksi. Bagaimana ada kelab lain mahu ambil tempatnya?

Dalam pada itu, Annuar Musa turut mengakui perjumpaan dengan pengurusan Rakyat United, namun masih belum membuat sebarang keputusan. Katanya yang dipetik daripada Sinar Harian, “Memang betul saya bertemu dengan pengurusan Rakyat United yang asalnya FELDA United dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu.”

“Saya hanya meninjau dan buat masa ini tiada apa-apa keputusan, kalau ada rezeki dan jodoh, harapan saya agar ada pasukan yang mewakili rakyat dan warga Putrajaya,” tambahnya lagi mengenai isu yang semakin tular dikalangan warganet ketika ini.

Turut tampil untuk memberikan kenyataan adalah Persatuan Bolasepak Putrajaya yang menjelaskan yang mereka tidak tahu hujung pangkal mengenai ciapan Menteri Wilayah Persekutuan tersebut. Menerusi kenyataan media selepas itu, mereka berkata yang mereka langsung tidak diberikan gambaran jelas mengenai hal tersebut.

“Putrajaya FA ingin menegaskan bahawa badan ini tidak mendapat sebarang gambaran yang jelas serta tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan kemungkinan Putrajaya bakal mempunyai pasukan sendiri dan bermain di Liga Malaysia.

“Putrajaya FA mempunyai kelab-kelab di bawahnya. Setiap keputusan yang Persatuan ambil mestilah melalui proses-proses yang telah dipersetujui oleh ahli jawatankuasa dan mengambil kira pandangan kelab-kelab gabungan,” kenyataan Putrajaya FA.

Semuanya BOLA telah menghubungi Bendahari Kehormat Putrajaya FA, Muhammad Harith untuk bertanya lanjut mengenai hal ini. Katanya, “Putrajaya FA sudah ditubuhkan sejak Mei 2011 dan mempunyai lima kelab gabungan. Kami kecewa atas tindakan Tan Sri Annuar Musa yang dilihat telah membelakangkan persatuan sukan tempatan.”

“Tindakan ini tidak mencerminkan semangat sukan. Urusan politik dan sukan tidak boleh bercampur aduk. Kita harap YB Menteri dapat memberi penjelasan lanjut. Harus diingat, politik dan sukan adalah entiti yang berbeza,” ujarnya lanjut mengenainya.

Setakat ini, beliau berkata yang masih belum ada mana-mana pihak tampil untuk berbincang bersama mereka dan menegaskan yang Rakyat United bukanlah ahli gabungan di bawah Putrajaya FA. Jelasnya sinis mengenai kelab tersebut, “Mana datang pun tak tahu [Rakyat United], tiba-tiba muncul. [Mungkin] layanan istimewa.”

Oleh itu, pihaknya mengharapkan agar akan ada penjelasan daripada pihak sepatutnya mengenai hal tersebut kerana ianya boleh dikatakan tetap mempunyai kaitan dengan mereka yang mewakili warga Putrajaya. Mereka juga sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama membangunkan bola sepak di Putrajaya.

Untuk rekod, Putrajaya pernah diwakili oleh Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF FC) dalam saingan Piala FAM pada musim 2014 sehingga 2018.

KREDIT FEATURED IMAGE: BERNAMA

Baca lagi mengenai Annuar Musa dan Putrajaya FA:

Stuart Ramalingam: Rakyat United Belum Sah Lagi

TS Annuar Musa Bayang Putrajaya Sertai Liga Malaysia

Tan Sri Annuar Musa Masih Tidak Terfikir Mahu Melakukan ‘Comeback’

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN