TS Annuar Musa Bayang Putrajaya Sertai Liga Malaysia

Kerjasama Semuanya BOLA

Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang cukup sinonim dengan kancah bola sepak tanah air jelas mencuri tumpuan ramai terutamanya buat para peminat bola sepak tempatan.

Hal ini kerana bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu telah menyuarakan pendapatnya menerusi ciapan di laman Twitter peribadinya pada petang semalam yang berbunyi:

‘Mungkin WP [Wilayah Persekutuan] Putrajaya turut mempunyai pasukan bolasepaknya sendiri musim depan dan bersaing di Liga M [Malaysia]’.

Bagai memberikan bola tanggung dalam permainan badminton, rata-rata para peminat bola sepak dan warga Twitter tampil membidas pendapat Tan Sri Annuar tersebut dengan pelbagai reaksi negatif.

Meskipun ia mungkin hanya sebagai pendapat atau cadangan daripada Ahli Parlimen Ketereh itu, netizen jelas tidak tertarik untuk menyokong apa yang telah disuarakannya itu.

Sebagai rekod, Putrajaya pernah memiliki sebuah pasukan yang berpengkalan di pusat pentadbiran kerajaan Malaysia tersebut dan beraksi dalam saingan Liga Malaysia apabila Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF FC) menyertai Piala FAM 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Musim 2018 menyaksikan kelab tersebut berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir tetapi dikecewakan oleh Terengganu City FC.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa bukanlah asing dalam bola sepak tempatan apabila beliau bertanggungjawab dalam mengepalai KAFA bermula tahun 2008.

Antara kejayaan manis yang dilakarkan Kelantan di bawah ‘pemerintahan’ beliau ialah meraih kejuaraan ‘treble’ Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2012.

Tan Sri Annuar kemudiannya meninggalkan KAFA pada 8 November 2016 dan selepas itu pelbagai ‘musibah’ melanda skuad Gomo Kelate Gomo itu.

Kredit featured image: Facebook rasmi Tan Sri Annuar Musa

Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan bola sepak semasa:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram