Andy Robertson: Dahulunya Buangan Di Celtic, Kini Menjadi Pemain Kegemaran Liverpool

Sejak mengambil alih posisi pertahan kiri Liverpool dari Alberto Moreno, Andy Robertson kini telah menjadikan dirinya sebagai pertahanan kiri yang cukup ampuh dalam skuad Jurgen Klopp.

Prestasi yang diberikan oleh beliau saban minggu membuatkan penyokong Liverpool teruja dengan kehadiran beliau.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau merupakan pertahanan kiri terbaik Liverpool selepas John Arne Riise.

Namun begitu, perjalanan Robertson untuk mencapai nikmat di Anfield bermula dengan ranjau sewaktu beliau di Scotland.

Terlalu kecil

Perjalanan karier Robertson mungkin tidak seindah rakan sepasukan beliau iaitu Trent Alexander-Arnold.

Hal ini kerana, jika Alexander-Arnold naik dari pasukan muda ke pasukan senior. Robertson terpaksa mengambil jalan yang lebih jauh untuk sampai ke puncak.

Di peringkat remaja, Robertson berjaya menyertai pasukan remaja Celtic.

Sudah pastinya menjadi impian untuk menyertai pasukan seperti Celtic bukan? Memandangkan beliau sendiri berasal dari Glasgow.

Namun langit tidak selalunya cerah, jodoh Robertson bersama Celtic berakhir selepas beliau dilepaskan dari skuad B-15 mereka.

Semuanya kerana Celtic berasakan beliau terlalu kecil untuk bermain bola sepak.

Beliau kemudiannya membawa diri ke sebuah kelab amatur di Glasgow iaitu Queens Park namun bukan sebagai pemain tetapi sebagai pekerja di pejabat kelab tersebut.

Tugas beliau di sana adalah sebagai operator kelab yang menjawab segala panggilan masuk ke kelab tersebut.

Karier bola sepak Robertson seakan berakhir apabila beliau ditawar masuk ke universiti untuk melanjutkan pelajaran pada 2012, namun Queens Park datang menyelamatkan beliau.

Menuju puncak

Robertson berubah jawatan di kelab tertua Scotland itu dengan bermula sebagai operator kelab kepada pemain skuad utama kelab tersebut.

Oleh kerana Queens Park merupakan kelab amatur, jadi beliau tidak dibayar untuk beraksi buat kelab.

Namun itu tidak menghalang cita-cita Robertson untuk maju. Beliau melakukan penampilan pertama untuk kelab tersebut dalam aksi Scottish Challenge Cup menetang Berwick Rangers.

Andy Robertson sewaktu beraksi untuk Queens Park.

Dedikasi yang diberikan oleh Robertson berjaya membantu Queens Park memperoleh tempat ketiga dalam Scottish Third Divison.

Semusim kemudian, Dundee United datang melamar beliau. Dalam masa semusim, Robertson bertukar divisyen dari Scottish Third Division kepada Scottish Premiership!

4 Prospek Muda Dundee United

Menyertai Dundee United selepas semusim di Queens Park, Robertson terus menjadi pilihan pengurus Jackie McNamara dalam skuad Dundee United.

Kehadiran Robertson ketika itu nyata memberikan keseronokan kepada penyokong Dundee United. Hal ini disebabkan pada waktu itu, terdapat 3 lagi prospek muda terhangat selain Robertson.

Selain Robertson, Dundee United ketika itu turut dibarisi Gary Mackay-Steven, Stuart Armstrong dan juga Ryan Gauld yang digelar sebagai Scottish Messi.

Kuartet pemain muda ini berjaya memberikan cabaran sengit dalam saingan Scottish Premiership, malah mereka turut disebut sebagai calon juara pada ketika itu.

Walaupun melompat tinggi dari divisyen terbawah ke divisyen tertinggi Scotland, Robertson tetap berjaya menampilkan prestasi terbaik.

Hasilnya, beliau memenangi anugerah PFA Scotland Young Player of the Year pada tahun 2014 dan disenarai masuk ke dalam PFA Scotland Team of the Year bersama-sama Virgil Van Dijk dan juga Fraser Forster.

Aksi Robertson bersama Dundee United ketika perlawanan akhir Scottish Cup 2014.

Selepas semusim bersama Dundee United, Robertson berhijrah ke Hull City di England.

Pujaan Kopites

Selama 3 musim di Hull City, Robertson berjaya menyesuaikan diri dengan situasi bola sepak England.

Bermain di EFL Championship, kejayaan terbesar Robertson pastinya adalah berjaya membawa kelabnya ke Premier League selepas memenangi EFL Championship Play-Off pada 2016.

Nama Robertson sudah lama dikaitkan dengan Liverpool sejak beliau beraksi di Premier League dan Liverpool sendiri mengalami masalah di bahagian pertahanan kiri.

Spekulasi itu akhirnya menjadi realiti selepas Robertson berpindah ke Liverpool pada 2017.

Jika di 3 kelab sebelumnya, Robertson menjadi pilihan utama pengurus pasukan namun tidak di Liverpool.

Beliau menjadi pertahan kiri pilihan kedua dibelakang Moreno. Malah, beliau juga pernah menjadi pertahanan kiri pilihan ketiga sewaktu James Milner beraksi di posisi tersebut.

Kebangkitan Robertson di Liverpool bermula selepas beliau bertemu Klopp.

Berbanding pergi ke pengurus dan mengadu tentang kurangnya masa bermain, Robertson bertemu Klopp meminta nasihat bagaimana untuk tingkatkan prestasi beliau.

“Saya bukanlah pemain yang akan pergi kepada pengurus dan katakan padanya yang saya patut bermain.”

“Sebaliknya saya pergi bertanya kepada Klopp mengenai kekurangan permainan saya dan apa yang saya perlu lakukan untuk dapat tempat dalam skuad utama.”

Sejak kecederaan Moreno, Robertson menggunakan peluang beraksi sepenuhnya dan kini beliau menjadi pertahanan kiri utama Klopp.

Lihat saja tekanan tinggi yang diberikan oleh beliau sewaktu menentang Manchester City. Tindakan beliau itu telah berjaya memenangi hati para peminat Liverpool!

Terbaik di Scotland

Masa kini, Scotland dilimpahi dengan ramai pertahanan kiri yang berbakat.

Selain Robertson, Scotland turut mempunyai Kieran Tierney, Greame Shinnie dan pemain veteran Lee Wallace yang boleh mencabar beliau untuk posisi tersebut di pasukan Scotland.

Robertson kini menjadi pertahanan kiri utama Scotland di hadapan Kieran Tierney.

Namun Robertson berada di satu aras yang lebih tinggi, dan ini dibuktikan oleh kata-kata bekas pengendali Scotland – Gordon Strachan.

“Pertama kali beliau beraksi untuk Scotland, benda pertama beliau lakukan di atas padang adalah berlari sejauh 30 meter. Pada saya, itu satu tindakan yang mantap.”

“Aksi yang beliau tunjukkan sangat sempurna, dan saya amat gemar akan sentuhan pertama beliau.”

Dalam masa 6 tahun, Robertson berjaya mengubah kariernya dari menjadi pemain amatur di Queens Park kepada pemain pujaan di Liverpool.

Lebih menarik, pada 2013 Robertson berada dalam skuad Queens Park yang tewas 2-0 di tangan Annan Athletic dalam saingan Scottish Third Division pada 10 April 2013.

Maju pada tarikh yang sama pada tahun 2018, beliau bersama-sama Liverpool menumbangkan Manchester City dalam saingan UEFA Champions League di Etihad.

Perjalanan karier Robertson ini boleh dijadikan inspirasi oleh semua pihak. Jangan berputus asa pada impian anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN