Andrea Pirlo Akui Tolak Tawaran Kelab Serie A & EPL

Andrea Pirlo Juventus

Legenda Itali, Andrea Pirlo mengakui Juventus merupakan kelab yang sesuai buatnya untuk menimba pengalaman bagi memulakan karier sebagai seorang pengurus pasukan.

Seperti yang dilaporkan semalam, bekas pemain tengah berusia 41 tahun itu kini bergelar pengurus bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) Juventus selepas beliau menggantikan pengendali terdahulu, Fabio Pecchia.

Sedar beliau masih kekurangan pengalaman, Pirlo merasakan membimbing skuad simpanan Juventus itu adalah keputusan yang ideal buatnya dalam mengembangkan lagi potensinya sebagai pengurus.

Sehubungan dengan itu, Pirlo mengakui telah menolak beberapa tawaran dari kelab dalam saingan Serie A dan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

”[Ketika zaman bermain] saya memiliki ramai jurulatih, semuanya telah banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya,” ujar Pirlo menurut laporan Goal.

”[Carlo] Ancelotti, [Marcelo] Lippi, [Antonio] Conte dan [Massimiliano] Allegri tetapi saya merasakan semua orang perlu mempunyai jalannya sendiri.”

”Pasukan saya harus bermain dengan baik, selalu harus bermain untuk menang. Saya membenci banyak perkara ketika bergelar pemain bola sepak dan saya tidak mahu melihat perkara tersebut sebagai jurulatih.”

”[Mengikut jejak langkah] Guardiola dan Zidane? Semua orang mahu meniru jalan mereka tetapi anda perlu membuatkan diri anda layak untuk menjadi seperti mereka.”

”Saya juga mendapat tawaran daripada kelab Serie A dan Liga Perdana Inggeris tetapi saya merasakan ini adalah jalan yang tepat buat saya untuk memulakan karier kejurulatihan saya,” tambah Pirlo lagi.

Kredit featured image: Marco Luzzani/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Pirlo:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram