Andik Vermansah Dan Paulo Rangel Kembali Berganding Menentang Bekas Pasukan

Bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Paulo Rangel kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia apabila bakal membuat penampilan pertamanya dengan pasukan Kedah pada aksi Liga Super bertemu Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Paulo yang sebelum ini pernah beraksi dengan Perak dan Selangor tiada masalah untuk membiasakan diri dengan corak permainan bola sepak tempatan dan kehadiran penyerang sensasi itu mampu menyuntik semangat baharu skuad Helang Merah.

Menariknya, seorang lagi pemain import Kedah, Andik Vermansah pernah beraksi bersama Rangel ketika mewakili Selangor sebelum ini dari tahun 2013 hingga 2014. Bercakap kepada Berita Harian, Andik tiada masalah untuk membentuk keserasian dengan pemain dari Brazil itu kerana sudah mengenali cara permainan Rangel.

“Hampir empat tahun saya tidak berjumpa dengan Rangel namun saya masih ingat gerakan berbahaya yang dia lakukan sewaktu kami beraksi untuk Selangor.

“Kini kami bertemu semula dalam pasukan Kedah dan saya rasa kami sudah semestinya mahu menggunakan persefahaman yang baik ini sebagai ‘senjata’ untuk kekuatan pasukan. Saya juga harap dia mengulangi kejayaan seperti sebelum ini.” katanya.

Paulo Rangel menjalani sesi latihan dengan skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman. FOTO: KFA

Selepas mencatat 2 kemenangan ke atas Negeri Sembilan dan Pahang baru-baru ini, Andik merasakan rakan sepasukannya semakin bersemangat untuk melakar lebih banyak kemenangan dalam perlawanan yang seterusnya.

“Saya lihat rakan sepasukan kian bersemangat selepas kami mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan dan Pahang sebelum ini dan dengan kemasukan penyerang baru Rangel, saya yakin jentera akan bertambah tajam dan semangat kami terus melonjak untuk terus memburu kemenangan.” ujarnya.

Sementara itu, pengendali pasukan itu, Nidzam Adzha Yusoff mahu anak buahnya meneruskan rentak cemerlang untuk memastikan 3 mata penuh dapat dibawa pulang ke Alor Star malam ini.

“Memang kami mahu terus mempertajamkan jentera serangan dengan kemasukan Paulo Rangel, namun aspek pertahanan juga akan dititikberatkan bagi perlawanan menentang Selangor.

“Saya berpuas hati dengan tahap disiplin benteng pertahanan sepanjang perlawanan menentang Pahang baru-baru ini dan saya mahu momentum ini berterusan.

“Kombinasi dan persefahaman yang ditunjukkan oleh pemain pemain muda dan senior harus diteruskan dan saya yakin semua pemain akan terus memberi sokongan yang baik dalam perlawanan seterusnya.” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram