Analisis Taktikal EPL 2015/16: Manchester City 3-0 Chelsea

Ketika semua pemain Manchester City beraksi dengan baik untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Chelsea, David Silva dan Sergio Aguero pula beraksi cemerlang.

Kelicikan dan kelajuan Aguero kerap kali mendatangkan bahaya kepada Gary Cahill dan John Terry. Ditambah pula dengan kebijaksaan Silva mencari ruang di antara jentera tengah dan pertahanan Chelsea, City sentiasa kelihatan mampu menjaringkan gol setiap kali mereka menyerang.

Seawal minit 1, Aguero sudah menguji Asmir Begovic melalui hantaran Silva – yang bertukar posisi dengan Raheem Sterling – dari sayap kiri. Perubahan taktikal baru City pada musim ini menyumbang kepada pertambahan peluang demi peluang kepada City semalam.

Perubahan taktikal City

Pada musim lepas, City jarang menggunakan pemain sayap sebenar untuk bermain di bahagian sayap. Sebaliknya, Manuel Pellegrini gemar mengarahkan David Silva dan Samir Nasri untuk melakukan larian diagonal (cut inside) dari bahagian sayap ke tengah padang.

Untuk mengekalkan keluasan (width) City ketika Nasri dan Silva menyerang, Pellegrini juga mengarahkan bek kiri dan kanannya untuk membuat larian overlapping.

Alternatif kepada Nasri dan Silva adalah James Milner atau Jesus Navas – dua pemain yang boleh bermain sebagai pemain sayap – tetapi kedua-dua mereka tidak boleh menjadi pemain sayap kiri.

Maka atas sebab itulah Pellegrini membawa masuk Raheem Sterling. Persembahan Sterling semalam belum lagi boleh dikategorikan sebagai persembahan sempurna, tetapi dengan kehadirannya, City kini mempunyai pemain sayap tulen yang boleh bermain di sayap kiri.

Sterling kerap kali mendedahkan kelemahan Branislav Ivanovic dengan menggunakan kekuatannya – ledakan pecutan larian yang kerap meninggalkan Ivanovic di belakang. Di sayap kanan, Jesus Navas melakukan perkara sama kepada Cesar Azpilicueta.

Pergerakan Sterling dan Navas di bahagian sayap bermakna lebih banyak ruang di tengah untuk dieksploit oleh Silva, Aguero dan Yaya Toure.

Ramires perlu bergandingan dengan Matic

Seperti biasa, Oscar pasti tidak akan bermain dalam perlawanan besar di luar Stamford Bridge kerana Jose Mourinho gemar menggunakan Ramires dalam perlawanan besar.

Tidak sukar untuk mengetahui logik Mourinho menggunakan Ramires. Beliau seorang pemain tengah yang mampu melakukan dua kerja pada satu-satu masa – menyerang dan bertahan dengan baik. Dengan stamina yang tinggi dan kesanggupannya berkorban untuk pasukan (bermain di pelbagai posisi).

Bagaimanapun, keputusan Mourinho meletakkan Ramires sebagai pemain sayap kanan dan Cesc Fabregas di tengah bersama Nemaja Matic adalah satu kesilapan (bagi kami).

Seperti biasa, Matic kelihatan berseorangan di tengah ketika Chelsea bertahan. Ini tidak dibantu dengan hakikat Fabregas yang kurang rajin bertahan dan kerap meninggalkan ruang besar di belakangnya, sekaligus menyukarkan kerja Matic untuk membendung David Silva.

Bahaya Chelsea berjaya dibendung pertahanan City

Tidak boleh dinafikan pujian turut harus diberikan kepada Vincent Kompany dan Elaguim Mangala terutamanya, yang sentiasa ‘mempunyai Diego Costa di poketnya’.

Costa kelihatan terasing dan mudah dibendung pertahanan City. Tetapi persembahan bawah prestasi sebenarnya semalam ada kaitannya dengan ketiadaan servis daripada Willian, Ramires dan Eden Hazard.

Dua pemain pertahanan City lagi juga turut cemerlang. Jika pada musim lepas Pablo Zabaleta bergelut untuk menyaingi kelajuan Eden Hazard, kali ini Bacary Sagna berjaya memastikan City tidak mempunyai masalah di bahagian tersebut.

Sebagai bek kiri, Aleksander Kolarov mungkin bukanlah pemain pertahanan yang kukuh, tetapi kebolehannya memberikan hantaran lintang leret yang laju dan tepat merupakan komponen penting kepada pelan serangan City.

Ditambah pula dengan hakikat Ramires bermain di kawasannya, Kolarov tidak perlu terlalu risau akan diserang dalam serangan balas kerana Ramires bukanlah pemain sayap tulen – yang akan menyerang beliau dari garisan tepi padang (byline).

Terry digantikan Zouma

Selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama, Mourinho membawa masuk Kurt Zouma untuk menggantikan John Terry. Inilah kali pertama dalam 177 perlawanan berturut-turut, John Terry dibawa keluar dan digantikan pemain lain.

Tindakan Mourinho ini ada kaitannya dengan perubahan strategi Chelsea pada separuh masa kedua yang lebih menyerang. Untuk mengejar gol, Chelsea terpaksa meninggikan garisan defensif mereka, sekaligus meninggalkan banyak ruang di belakang pertahanan tengah yang boleh dieksploit oleh pemain laju seperti Aguero.

Kali terakhir Chelsea bermain garisan defensif yang tinggi dengan John Terry, mereka bolos 5 gol kepada Arsenal di Stamford Bridge (Arsenal menang 5-3).

Kemasukan Zouma membantu Chelsea untuk mengekalkan tekanan serangan kepada City, tetapi ia tidak membantu organisasi pertahanan mereka ketika situasi set-pieces kerana kehilangan pemimpin mereka, Terry, di belakang.

Masalah City

Satu-satunya masalah City adalah di jentera tengah. Dengan Fernandinho yang dilayangkan kad kuning dan kecenderungan Yaya Toure untuk naik menyerang, jentera tengah City hampir mengulangi kesilapan sama yang dilakukan Chelsea.

Fernandinho kerap keseorangan di tengah di kala Toure meninggalkan banyak ruang di belakangnya.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Pellegrini membawa masuk Martin Demichelis – yang menggantikan Fernandinho – di jentera tengah untuk mematahkan serangan Chelsea dan melindungi Kompany dan Mangala.

Kesimpulan

Mouriho mungkin berkeras mengatakan dalam sidang media selepas perlawanan bahawa 3-0 bukanlah refleksi adil kepada kebangkitan Chelsea pada separuh masa kedua. Tetapi beliau perlu ingat; dengan 3 percubaan Aguero yang diselamatkan pada awal-awal separuh masa pertama, City sudah boleh mendahului Chelsea 3-0.

Baca juga: JERMAN BAWAH-20 MEMPERKENALKAN TAKTIKAL BOLA SEPAK BARU

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN